Thursday, November 13, 2014

1BESTARINET DIJELASKAN


Projek 1BestariNet adalah untuk tempoh 15 tahun berjumlah RM4.077 billion secara keseluruhannya. YTL pula telah dianugerahkan sebahagian daripada projek ini untuk RM663 juta bagi tempoh masa 2 1/2 tahun dan kontrak mereka tamat pada bulan Jun 2014. Tuduhan pembangkang yang menyatakan bahawa YTL telah menerima keseluruhan RM4.077 billion ini adalah tidak benar sama sekali. Pada akhirnya, YTL hanya menerima RM663 juta dan telah didenda sebanyak RM2.4 juta kerana gagal melengkapkan keseluruhan 10,000 buah sekolah seperti di dalam kontrak perjanjian.
RM663 juta tersebut adalah untuk melengkapkan sambungan internet, akses wifi, perkhidmatan hosting, perkhidmatan pemantauan jaringan, anti virus dan perkhidmatan tapisan kandungan dan sokongan teknikal dan penyelenggaraan selama 2 1/2 tahun.
RM663 juta itu juga adalah untuk dimanfaatkan oleh 10,000 buah sekolah dengan anggaran 10 juta pelajar, ibu bapa dan guru. Setiap ibu bapa, pelajar dan guru dibekalkan dengan ID pengguna bagi memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan tersebut/
Dengan nisbah 10,000 buah sekolah dan juga 10 juta pengguna, purata bagi setiap sekolah hanyalah RM26,500 setahun ataupun RM27 setahun untuk setiap pengguna.
Namun begitu, 1BestariNet ini telah menghadapi beberapa cabaran yang perlu diatasi atas pelbagai faktor. Masalah utama yang dihadapi oleh 1BestariNet ini setelah 2 1/2 tahun, tidak semua sekolah dapat disiapkan dengan perkhidmatan tersebut. Hanya 88.9% sahaja sekolah berjaya dilengkapi dengan 1BestariNet. Bermakna 8,886 buah sekolah daripada 9,889 buah sekolah telah dilengkapkan. Masalah ini berpunca daripada kelewatan mendapatkan kelulusan dari pihak sekolah, kerajaan negeri ataupun kerajaan tempatan terutamanya di negeri Sarawak, Pulau Pinand dan Kelantan. Sekolah yang tidak berjaya diselesaikan oleh YTL mengikut tempoh masa yang ditetapkan telah diberikan sambungan internet secara alternatif.
Masalah kedua yang dihadapi pula adalah kelajuan Internet yang terlalu perlahan. Sesetengah sekolah hanya mampu dilengkapi dengan infrastruktur 2Mbps sahaja. Kebanyakan daripada sekolah lain pula menerima 4Mbps sehingga 10Mbps, yang masih lagi perlahan untuk penggunaan. Hanya beberpa sekolah sahaja yang mendapat 50Mbps yang merupakan kelajuan yang boleh diterima pakai.
Akses 1BestariNet di sekolah pula diberikan kepada pelajar melalui Wifi. Bayangkan sekiranya semua pelajar di setiap sekolah membuat sambungan ke 1BestariNEt secara berterusan dan pada masa yang sama melayari emel, Whatsapp, Facebook dan sebagainya. Ini telah memberikan beban kepada sambungan 1BestariNet.
Seperti mana yang pernah Kerajaan Pulau Pinang katakan sebelum ini untuk melaksanakan Penang Free Wifi, projek tersebut gagal dengan teruk kerana terlalu banyak pengguna dan pada masa yang sama bandwidth yang dibekalkan tidak mencukupi.
Masalah yang ketiga pula adalah berhubung dengan aplikasi VLE yang tidak gunakan sepenuhnya oleh guru akibat daripada tiada polisi yang jelas dan tiada pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan serta pihak sekolah. Pendedahan yang sangat kurang kepada guru dan juga ibu bapa di rumah tentang kebaikan VLE juga tidak diberikan. Kekurangan latihan dan alat bantuan pengajaran seperti projektor juga membantutkan penggunaan VLE ini. Ibu bapa pula tidak berminat dan tidak mengambil inisiatif untuk menggunakan VLE di rumah melalui ID pengguna yang dibekalkan dan mereka juga tidak menggalakkan anak mereka untuk mengakses aplikasi ini.
Pihak kementerian dan jabatan pendidikan juga tidak menjadikan penggunaan VLE ini sebagai satu kewajipan. Walaubagaimana pun, langkah untuk menjadikan VLE ini satu kewajipan mungkin merupakan satu hikmah kerana sambungan internet yang terlalu perlahan akan menggagalkan usaha ini.
1BestariNet ini merupakan projek yang sangat besar bagi tempoh 15 tahun. Sekiranya dilaksanakan dengan sebaik mungkin, 1BestariNet akan memanfaatkan 1/3 daripada penduduk Malaysia.
Projek ini juga harus diberikan peluang untuk berjaya dan janganlah dihentikan hanya kerana dakwaan pembangkang menyatakan bahawa RM4 billion tersebut telah digelapkan dan hanya 5% penggunaan menjadikan projek ini seperti gajah putih.
Apabila kaedah latihan atau aplikasi IT yang baharu diperkenalkan, biasanya kadar penggunaan pada permulaannya adalah rendah seperti mana emel, Twitter, Whatsapp dan lain-lain. Ia memerlukan beberapa tahun untuk pengguna berminat untuk menggunakannya.
Usaha untuk menaiktaraf kelajuan internet untuk semua sekolah di Malaysia ini adalah sangat diperlukan bagi menjayakan projek ini. Sekolah adalah tempat yang mempunyai sekurang-kurangnya 2,000 sehingga 3,000 pelajar, dan ini tidak dapat ditampung dengan infrastruktur yang sedia ada.
Tidak kira sama YTL ataupun syarikat lain yang akan mengambil alih, projek ini perlu diteruskan dan penambahbaikan harus berterusan.
(Sumber - http://klxpress.com.my/?p=20139)

No comments: