Monday, March 19, 2012

Wujudkan Kerangka Governans Baru

Oleh Saifuddin Abdullah Twitter - @saifuddinabd

Mutakhir ini, kajian-kajian oleh beberapa pihak menunjukkan bahawa penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah tinggi. Majoriti berpuas hati dengan prestasi beliau. Tetapi, penerimaan rakyat terhadap kerajaan tidak sebaik itu.

Pelbagai faktor telah diutarakan bagi menerangkan jurang persepsi tersebut. Dua daripada perkara utama di hati rakyat ialah, pertama, kos kehidupan yang berkait dengan gaji dan pendapatan, dan kedua, demokrasi matang yang berkait dengan transformasi politik.

Perdana Menteri komited terhadap kedua-dua perkara tersebut. Kerana itu, beliau mengumumkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan Akta Perhimpunan Aman 2011 (PA2011). Sambutan rakyat terhadap kedua-dua pengumuman itu amat menggalakkan.

Tetapi, malangnya, akibat perundingan yang kurang oleh agensi-agensi kerajaan yang bertanggung jawab atas kedua-dua inisiatif itu dengan pihak-pihak berkepentingan, maka, terdapat kelemahan dalam PA2011, manakala SBPA dibatalkan.

Kedua-dua kes ini mewakili naratif jurang persepsi itu. Maknanya, rakyat menerima baik dasar-dasar Najib, tetapi musykil terhadap pelaksanaannya oleh agensi-agensi kerajaan.

Soalnya, apakah yang perlu dilakukan untuk merapatkan jurang persepsi tersebut? Pada saya, satu daripada jawapannya ialah mewujudkan “kerangka governans baru”.

Apa yang lazim dibincangkan ialah governans baik. Governans baik, seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban, adalah sebahagian daripada kerangka governans baru. Tetapi, kerangka governans baru adalah lebih luas daripada governans baik.

Kerangka governans baru merujuk pengurusan negara yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Apa yang ada sekarang ialah kerangka yang terlalu berorientasikan kerajaan.

Kerangka ini tidak sesuai lagi. Ini kerana dalam sistem bernegara hari ini, di samping kerajaan, terdapat dua lagi sektor pembangunan, iaitu perniagaan dan masyarakat sivil.

Kerangka governans baru melibatkan ketiga-tiga sektor itu, iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan pembangunan yang sinergi dalam struktur dan proses membuat keputusan bagi semua bidang di setiap peringkat.

Kerangka governans baru bertitik tolak daripada beberapa pemikiran politik kontemporari. Ini termasuk seperti yang sering diungkapkan Perdana Menteri, iaitu hari-hari di mana kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir dan pengiktirafannya terhadap pertubuhan masyarakat sivil; demokrasi tidak terhad kepada pilihan raya sahaja; dan rakyat mahu bersuara dan berpartisipasi dalam membuat keputusan.

Hari ini, sektor perniagaan dan masyarakat sivil hanya dilibatkan dalam struktur dan proses membuat keputusan secara terbatas. Model kerangka governans baru yang sempurna sukar didapati.

Antara contohnya ialah Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang ditubuhkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 1972. Kini, ia telah diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah. Terbaru, ia akan diperluaskan sebagai Parlimen Belia.

Apakah relevan kerangka governans baru dengan jurang persepsi rakyat terhadap Najib dan kerajaan? Jawabnya ialah, kerangka ini akan memberi peluang ketiga-tiga sektor pembangunan itu untuk mengadakan perundingan tulen, iaitu menjelaskan dasar, mendapatkan maklum balas dan seterusnya menghasilkan keputusan yang terbaik. Ia akan mengurangkan kemungkinan berlakunya jurang antara dasar yang diumumkan dengan pelaksanaannya.

Di samping itu, malahan apa yang lebih penting ialah, kerangka governans baru adalah sebahagian daripada amalan “politik baru”, iaitu budaya politik yang lebih sihat dan segar ke arah demokrasi yang matang dan progresif serta sesuai dengan landskap politik hari ini.

No comments: