Saya terlibat secara tidak langsung dalam Majlis Pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Dewan Tuanku Agong Canselor (DATC) sebentar tadi kerana dipertangungawabkan untuk membawa 200 orang mahasiswa perubatan tahun 1 dan tahun 2 bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.
Sebaik sahaja memasuki DATC, dibahagian belakang kelihatan sepanduk "We Love Dato' Seri Najib", "Warga UiTM mengalu-alukan kedatangan Dato' seri Najib" dan banyak lagi sepanduk-sepanduk yang membawa erti bahawa mahasiswa menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Dalam ucapan alu-aluan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa adalah bertepatan dengan masanya kerana ia memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelaan didalam ataupun diluar negara secara lebih sistematik dan terancang. Mahasiswa wajar menjadi agen perubahan masyarakat dan menjadi nadi pengerak pembangunan masyarakat, justeru, penubuhan yayasan ini, adalah satu pengiktirafan kerajaan kepada mahasiswa ke arah itu.
Diantara objektif yayasan ialah membantu masyarakat dunia yang memerlukan bantuan dan khidmat sukarelawan disamping mempromosikan persefahaman masyarakat dunia tentang keamanan sejagat. Peluang ini harus diambil oleh setiap mahasiswa untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan pengalaman baru yang tidak dapat digarapi didalam kuliah dan kelas sahaja melalui aktiviti kesukarelaan yang dijalankan oleh yayasan.
Dalam ucapan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa melancarkan Yayasan Sukarelawan Mahasiswa menyatakan bahawa beliau merasa terharu dengan sambutan yang luar biasa diberikan oleh mahasiswa kepadanya sebaik sahaja memasuki pintu utama UiTM sehinggalah ke dalam DATC. Ia mengesahkan bahawa, Perdana Menteri bukan keseorangan dan warga universiti berada dibelakang beliau dan sentiasa menyokong beliau menelusuri pahit getir dan pancaroba memimpin negara.
Tegas beliau lagi, dalam demokrasi, kita tidak boleh mendapat 100% sokongan kerana adalah mustahil ianya dicapai, segala perkara yang kita lakukan, ada positif dan ada negatif. Kerajaan berkeyakinan bahawa mahasiswa mampu menggunakan akal dan berfikiran rasional dalam membuat penilaian kritikal terhadap sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan memberikan kebebasan kepada mahasiswa tetapi dengan tanggungjawab. Jangan bertindak umpama melempar batu sembunyi tangan. Diatas prinsip ini, kerajaan bersetuju meminda AUKU dan membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian tetapi menumpukan perhatian untuk menuntut ilmu apabila berada dalam universiti.
Saya mengharapkann penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa akan memberikan impak yang besar kepada mahasiswa dan mendekatkan diri mahasiswa dengan masyarakat.
1 comment:
like this
Post a Comment