Pernahkah anda mengunjungi bangunan Parlimen dan menyaksikan sesi perbincangan di Dewan Rakyat? Jika anda belum pernah, anda wajar mengambil peluang untuk melakukannya. Lebih-lebih lagi apabila dijangkakan sesi yang sedang berlangsung kini mungkin adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum. Jika berminat, anda boleh menghubungi Ahli Parlimen anda kerana mereka dibenarkan membawa tetamu ke Parlimen.
Jika pernah menyaksikan sesi Parlimen, kemungkinan besar anda akan kecewa dengan apa yang dilihat. Wakil rakyat yang anda pilih ke Parlimen, lebih cenderung untuk terpekik dan terlolong bagai tidak bertamadun daripada berdebat dengan berhemah. Ketika berdebat pula, kualitinya pula rata-rata di tahap yang rendah. Kebanyakan Ahli Parlimen sering membangkitkan perkara-perkara yang langsung tidak ada kena-mengena dengan apa yang dibincangkan.
Contohnya, pada minggu lalu Parlimen kecoh dengan Ahli Parlimen berlumba-lumba untuk menunjukkan kebencian mereka terhadap negara Israel. Ada seorang Ahli Parlimen sehinggakan membuat dakwaan kononnya Israel cemburu dengan keharmonian kita. Macamlah Israel itu pedulikan apa yang berlaku dalam Parlimen kita.
Hanya minggu lalu, ada Ahli Parlimen berbincang tentang ikan arowana, penjual tomyam dan hubungan di antara coklat dan penyakit kencing manis. Ya, perkara picisan seperti inilah yang dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen kita.
Keadaan ini sedikit sebanyak melunturkan kepercayaan rakyat kepada proses perundangan. Parlimen dilihat sebagai sarkas dan Ahli Parlimen sebagai badut-badut yang dibiayai oleh rakyat. Daripada 222 Ahli Parlimen yang ada, hanya segelintir sahaja benar-benar menjalankan tanggung jawab mereka sebagai Ahli Parlimen. Kita hanya boleh bangga dengan bangunan Parlimen dan kemudahan yang ada, tampak begitu gah dan canggih. Tidak lebih dari itu.
Adakah kita sepatutnya menerima Parlimen dengan seadanya, bahawa kualiti Ahli Parlimen kita tidak akan meningkat daripada takuk sedia ada? Ataupun kita percaya bahawa Malaysia yang lebih baik hanya akan wujud dengan adanya Ahli Parlimen yang lebih berkualiti.
Sebenarnya salah kita. Kita yang memilih, memberi mandat kepada mereka dan angkat mereka daripada rakyat biasa menjadi wakil kita. Kelakuan mereka mencerminkan perwatakan dan mentaliti kita sendiri.
Pilihan raya yang akan datang sewajarnya kita jadikan batu loncatan untuk mewujudkan Parlimen kelas pertama. Kita harus sedar, tanggungjawab utama seorang Ahli Parlimen adalah dalam proses perundangan negara. Bukannya untuk menjaga longkang kita, atau menjadi tempat aduan sekiranya ada pokok terhempas di jalan di belakang rumah kita. Tanggung jawab Ahli Parlimen bukanlah melawat kawasan mahupun memastikan kebahagiaan rakyat yang diwakilinya. Ketika Parlimen berjalan, tidak ada sebab mengapa seorang Ahli Parlimen itu tidak boleh hadir. Ingat, saraan mereka adalah dibiayai oleh rakyat. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya ‘ponteng’ dewan.
Parlimen kelas pertama hanya akan wujud sekiranya ia dipenuhi dengan Ahli Parlimen kelas pertama, yang mempunyai intelek, telus dan bersih serta mempunyai pengetahuan am luas supaya dapat berdebat, berbincang tentang pelbagai jenis bidang. Ahli Parlimen yang bersopan dan bersantun, walaupun bersemangat dalam mengetengahkan suara rakyat diwakilinya. Ini bermakna, kita tidak boleh lagi memilih Ahli Parlimen semata-mata kerana sering melihatnya ‘turun padang’. Apa yang penting adalah sama ada dia dapat menyumbang secara membina kepada kelangsungan perundangan negara.
Kita memerlukan pencerahan budaya dan minda dalam pemilihan wakil rakyat. Barulah kita dapat berbangga dengan Parlimen yang kita ada.
(Sumber - http://www.sinarharian.com.my)
No comments:
Post a Comment