Semalam saya menulis entri yang sengaja ditinggalkan.
“Selain belajar bahasa Arab, saya suka berbincang beberapa isu yang menarik perhatian. Memandangkan beliau seorang lulusan pengajian hadis maka saya gemar bertanya tentang kepakaran beliau.
Misalnya, saya pernah bertanya tentang hadis ini,
Rasulullah bersabda: “Puasa yang paling Allah cintai ialah puasa Nabi Daud, iaitu dia berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Solat yang paling Allah sukai ialah solat Nabi Daud, iaitu dia tidur hingga pertengahan malam lalu bangun mendirikan shalat pada sepertiga malam dan tidur lagi di akhir seperenam malamnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3167].
Soalan saya agak kritikal, kenapa agaknya Allah mencintai puasa nabi Daud? Ia mesti ada penjelasan yang boleh difikirkan.”
Ia perbincangan bersama Walid dan Hearsi, dua pemuda Somalia. Namun jauh di sudut hati saya ingin berdakwah kepada mereka berdua dengan cara yang cukup halus.
Hakikatnya, banyak soalan yang tidak mempunyai atau memerlukan jawapan. Lalu mungkin ada yang berkata ia perkara remeh-temeh. Ulamak tidak melihat ia isu besar yang perlu diperjelaskan.
Saya selalu terfikir, ilmu Allah ada pada setiap orang. Ia boleh berlaku kerana mereka ke sekolah atau universiti, menadah kitab, mendengar ceramah dan kuliah atau melalui pengalaman yang telah dilalui.
Malah ibu, ayah dan keluarga memberi ilmu yang tidak ternilai. Jika ia melalui pengalaman, maka ia menjadi milik mereka yang telah melalui pengalaman tersebut. Jika tidak dibukukan atau diceritakan, ilmu tersebut akan turut berkubur bersama mereka.
Benarlah firman Allah melalui surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud,
”…….yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya) ……..”
Walid merenung saya. Tentu sekali beliau tidak menyangka saya bertanya soalan “bodoh” yang mungkin tidak ditanya oleh bijak pandai yang lain.
Adakah ia soal kuantiti? Tidak mungkin kerana Rasululullah SAW melarang mereka yang ingin berpuasa sepanjang masa. Akhirnya, saya bertanya beliau, “mahukah tuan memikirkan jawapan yang ingin saya sampaikan?”.
Walid dan Hearsi melihat dan mendengar hujah saya dengan tekun. Lalu saya mulakan dengan nada yang sangat berhati-hati,
“Ini kali kedua saya menyampaikan pendapat ini. Pertama kepada isteri saya dan kedua kepada tuan-tuan berdua. Saya fikir ada ilmu yang diperolehi melalui praktikal.
Allah cintakan puasa Nabi Daud yang selang sehari berpuasa. Tuan-tuan kena cuba dahulu berpuasa sebagaimana Nabi Daud berpuasa, InsyaAllah Dia akan bagi ilmu tersebut. Lakukan secara konsisten.
Ramai di antara kita belajar dan mengetahui tentang amalan ini. Saya bukan pakar hadis tetapi saya tahu amalan ini sejak empat tahun yang lepas. Namun jika orang bertanya soalan yang sama - pada ketika itu – sudah pasti saya tidak mampu menjawab.
Kini sudah sebulan lebih saya berpuasa selang sehari (nota: ampunkan saya ya Allah jika ia lahir dari rasa riyak takbur dan angkuh. Aku tidak mahu begitu ya Allah, aku mohon izin bercerita untuk menyampaikan sedikit ilmu yang Kau pinjamkan kepada daku).
Pernah dengar orang menulis, susah dan senang, sakit dan sihat, suka dan duka, cantik dan hodoh, kaya dan miskin serta pelbagai sifat yang berlawanan mempunyai nikmat yang sama?
Pada satu tahap, ia sesuatu yang sukar diterima. Apatah lagi untuk merasai perasaan tersebut. Mana mungkin lapar dan kenyang mempunyai nikmat yang sama.
Realitinya, bila manusia berduka, sakit, hodoh dan miskin maka ia lebih mudah untuk merayu dan merintih kepadaNya. Jika sifatnya berlawanan manusia akan lebih rileks, santai dan sedikit jauh daripada Allah SWT”.
Tentu sekali saya tidak menghadapi masalah untuk memahamkan mereka dengan hujah-hujah yang saya ingin kemukakan. Pertama saya berhadapan dengan ilmuan agama dan kedua dengan seorang jurutera yang mempunyai syarikat perniagaan sendiri.
Tinggal lagi mereka tidak pernah mencuba dengan apa yang dicintai Allah itu. Ia kelihatan sangat sukar.
Lalu saya sambung, “bila saya berpuasa selang-sehari, tiada lagi nilai kenyang dan lapar. Hari berpuasa dan tidak berpuasa mempunyai nilai yang sama dari sudut kenyang dan lapar. Tuan-tuan akan dianugerahkan perasaan dan nikmat tersebut.
Maksud saya, nilai kenyang dan lapar hilang sehingga wujud nilai baru yang terlalu abstrak.
Dan perasaan ini akan membawa kita melihat tentang kebesaran Allah. Perasaan cintakan Allah pada setiap waktu. Bagaimana? Entah. Berpuasalah dahulu… bukankah Allah paling mencintai puasa ini? Bukankah Allah mencintai orang yang cintakan Dia?
Bukankah selangkah kita hampir denganNya, beribu langkah Dia hampir dengan kita?”
“MasyaAllah… MasyaAllah… MasyaAllah…”
Saya memberi pendapat. Mereka lebih berilmu, bijak dan pandai daripada saya. Alhamdulillah, akhirnya saya bersyukur kerana Hearsi sudah memulakan puasa Nabi Daud selang sehari selepas perbincangan ini.
Ia tidak memerlukan modal yang besar.
NotaMKI: Begitulah…. jika kita masih tertanya-tanya bagaimana mahu solat malam… lakukan… lakukan dan rasailah nikmat tidak tidur yang sama manisnya dengan nikmat tidur. Ia hanya berlaku (mengikut aturannya) selepas melepasi tahap-tahap tertentu. Pastinya ia memerlukan langkah pertama sebelum ada langkah kedua.
(Prof. Muhd. Kamil ialah Profesor Perakaunan di Taibah Universiti Madinah, Arab Saudi. Nukilan beliau boleh dilayari di http://muhdkamil.org. Beliau juga pernah berkhidmat di UiTM dan memegang beberapa jawatan penting disepanjang berkhidmat di UiTM)
No comments:
Post a Comment