Wednesday, July 23, 2008

Gerbang SMS Kerajaan - mySMS sumbangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada Rakyat

Sepanjang hari pada hari ini saya menghadiri sesi latihan hand on bagi aplikasi SMS agensi-agensi kerajaan anjuran MAMPU di Glenmarie. UiTM adalah diantara 50 agensi kerajaan yang terpilih dalam fasa satu untuk projek Gerbang SMS Kerajaan - mySMS. Diantara IPTA yang terpilih ialah UKM, UM dan UPM. Ia akan dilancarkan di PICC pada 31 Julai 2008 ini.

Dalam ucapan alu-aluan Pn. Norhalina Abdul, Timbalan Pengarah, Seksyen Pentadbiran Infrastruktur e-KL daripada MAMPU semasa sesi taklimat disebelah pagi menyatakan bahawa Inisiatif Gerbang SMS adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempelbagaikan saluran-saluran penyampai perkhidmatan. Kemajuan teknologi sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Saluran SMS ini membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan mudah dan cepat.

Justeru itu, selari dengan Bengkel Pengurusan NR semalam dan kemarin, saya akan mencadangkan kepada pengurusan universiti untuk menggunakan SMS sebagai tool komunikasi interaktif antara Unit Pengurusan NR HEP dengan mahasiswa NR, dengan cara ini sistem penyampaian antara HEP dan mahasiswa nr akan lebih baik dan berkesan.



Sebagai permulaan... SILA TAIP UITM dan hantar kepada 15888 anda akan menerima jawaban daripada 15888 seperti berikut RM.20 UiTM:Universiti Teknologi MARA, 40450 Shah Alam, Selangor. Tel:03-5544 2000 Web:http://www.uitm.edu.my maksudnya 20 sen charge dikenakan keatas air-time anda dan anda mendapat maklumat alamat, no tel, alamat UiTM dan web site UiTM.

Langkah di atas boleh diulangi untuk semua agensi kerajaan yang terpilih dalam projek ini. Contohnya dengan menaip JPN dan menghantar ke 15888 anda akan memperolehi maklumat mengenai Jabatan Pendaftaran Negara, menaip UM dan menghantar ke 15888 anda akan memperolehi maklumat mengenai Universiti Malaya dan sebagainya.

Saya menyokong projek mySMS kerana ini adalah langkah brilliant kerajaan untuk mendekatkan diri dengan pelanggan kerajaan iaitu RAKYAT. Pendek kata disinilah gerbang maklumat dan aduan rakyat bermula.UiTM wajar menyambut projek mySMS dan mengembangkannya dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif melalui R n D.

1 comment:

Ahmad Rais Johari said...

TEKS UCAPTAMA YBHG TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KETUA-KETUA PEGAWAI MAKLUMAT (CIO)
SEKTOR AWAM TAHUN 2008 31 JULAI 2008 (KHAMIS), 9.00PAGI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam sejahtera.
Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Y. Bhg. Dato’ Normah Md. Yusof
Ketua Pengarah MAMPU
Y. Bhg. Dr. Nor Aliah Mohd Zahri
Ketua Pegawai Maklumat Sektor Awam
Ketua Setiausaha Kementerian
Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-
Tuan Dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat
kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan Nya, kita dapat berhimpun dalam satu lagi majlis yang, pada saya, penuh bermakna pada pagi ini.

2. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada MAMPU, selaku penganjur, kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Persidangan Ketua Pegawai Maklumat, atau CIO Sektor Awam Tahun 2008 serta melancarkan Gerbang SMS Kerajaan.

Saudara-saudari sekalian,

3. Tema persidangan kali ke-5 ini, iaitu “E-Government:A Life Style Simplified” amatlah tepat dan bersesuaian pada masanya. sepertimana yang kita sediamaklum,tuntutan stakeholders dan pelanggan kita pada ketika ini telah jauh meningkat akibat perubahan semasa dalam landskap politik, sosial, ekonomi mahupunteknologi. Kita juga berhadapan dengan cabaran kenaikan kos sara hidup yang meningkat tinggi akibat peningkatan harga minyak secara mendadak di seluruh dunia. Keadaan ini memerlukan perubahan serta inovasi dalam gaya hidup.Kita perlu berbelanja secara berhemah, disamping memastikan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan supaya lebih cekapdan berkesan.

4. Pelanggan sentiasa menuntut penyampaian perkhidmatan yang mudah, cepat dan selesa yang boleh dicapai tanpa mengira tempat,masa dan kaedahnya. Sistem penyampaian yang dituntut oleh pelanggan memerlukan pengukuhan perancangan dan strategi secara bersepadu oleh jabatan dan agensi Kerajaan supaya dapat menghasilkan manfaat perkhidmatan yang optimum disamping penjimatan kos yang maksimum.

Saudara-saudari sekalian,

KOS PELAKSANAAN PROJEK ICT

5. Walaupun sistem penyampaian perkhidmatan awam telah menunjukkan peningkatan, namun banyak lagi
penambahbaikan yang perlu kita fikirkan dan dilaksanakan. Tidak dinafikan pelaksanaan projek-projek ICT telah membantu dalam pemantapkan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih telus dan lebih efisien; namun rata-rata kos pelaksanaan inisiatif ICT oleh Kerajaan, pada hemat saya, adalah terlalu besar. Sebagai contoh, terdapat beberapa projek ICT Kerajaan yang pada mulanya dilaksanakan secara perintis, apabila hendak diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara akan melibatkan kos sehingga beratus-ratus juta ringgit kepada Kerajaan dan kepada rakyat.

6. Pada hemat saya, salah satu faktor mengapa perkara ini berlaku ialah kebergantungan jabatan dan
agensi Kerajaan kepada pihak pembekal atau vendor. Kita serahkan kerja-kerja pembangunan dan pelaksanaan projek kepada vendor tanpa pengawasan yang rapi. Proses pembelajaran atau transfer of technology yang sepatutnya berlaku,tidak berlaku atau
berlaku pada tahap amat minima. Oleh sebab itu,walaupun setelah selesai projek perintis dilaksanakan,sepatutnya kita sendiri boleh melaksanakan roll-out keseluruh negara, namun ini tidak berlaku; kita masih lagi memerlukan perkhidmatan vendor untuk
melaksanakannya. Oleh yang demikian,kos menjadi tinggi, dan kadang kala tidak terkawal.

7. Saya berpandangan bahawa sudahsampai masanya jabatan dan agensi Kerajaan membina keupayaan dankepakaran dalaman bagi melaksanakan projek-projek ICT, khususnya yang berbentuk aplikasi dan sistem ICT, dan kurangkan kebergantungan kepada vendor.Dimana berkaitan, mungkin kita boleh menggunakan aplikasi yang sama yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh sebuah agensi Kerajaan yang lain. Melalui cara ini, saya percaya kos pembangunan dan pelaksanaan projek ICT oleh Kerajaan dapat dijimatkan.

8. Dalam hubungan ini,peranan dan tanggungjawab CIO adalah penting dalam merancang pembangunan dan pelaksanaan projek-projek ICT yang cost effective.Jabatan dan agensi Kerajaan perlu berhati-hati dalam membelanjakan peruntukan bagi memastikan optimisation dan valuefor money dalam pelaksanaan projek-projek ICT. Oleh itu, Ketua-ketua Jabatan dan CIO perlu ada akauntabiliti terhadap projek-projek yang dilaksanakan di agensi masing-masing.

INISIATIF KERAJAAN ELEKTRONIK DAN SISTEM PENYAMPAIAN
Para hadirin sekalian,

9. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Waseda University, kedudukan penarafan Malaysia dalamPelaksanaan Kerajaan Elektronik pada tahun 2008 adalah pada kedudukan ke 18. Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada enam indikator iaitu network,preparedness, required, interface-functioning, applications, management optimisation, homepage,CIO dan promotion of e-Government. CIO mempunyai peranan yang penting dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Elektronik kerana ianya dilihat sebagai suatu strategi untuk merapatkan jurang pengurusan dan teknologi,khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

10. Kejayaan Portal myGovernment menerima anugerah World Information Technology and Services Alliance(WITSA) Global ICT Excellence Awards bagi kategori Public Sector ICT Excellence Award pada 20 Mei 2008 adalah sesuatu yang amat membanggakan. Syabas diucapkan kepada MAMPU dan agensi-agensi yang terlibat dalam meningkatkan kualiti laman-laman web di agensi masing-masing. Penganugerahan ini telah menarik perhatian 86 negara yang menghadiri Persidangan Kongres ICT Sedunia 2008 di Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Mei 2008. Ia juga telah menarik minat negara-negara serantau untuk melihat Malaysia sebagai negara contoh dalam menambah baik portal perkhidmatan awam.

11. Kecemerlangan ini perlu dikekalkan dan komitmen daripada semua CIO adalah penting bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan dengan mengambil kira kehendak pelanggan dan amalan terbaik laman web dalam carta Global Electronic Government oleh Brown University. CIO Sektor Awam perlu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai perkembangan semasa ICT bagi memastikan kandungan yang relevan dan terkini, serta berkaitan dengan peranan dan fungsi agensi masing-masing. Pemantapan dan pemerkasaan institusi CIO secara langsung akan dapat membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam sistem penarafan global.

PERANAN CIO SEKTOR AWAM
Saudara-saudari sekalian,

12. Peranan CIO Sektor Awam adalah untuk menyampaikan tujuan dan menetapkan bidang serta kaedah mengapa Kerajaan Elektronik perlu dilaksanakan. CIO bukan sahaja perlu bertindak secara pro-aktif tetapi juga perlu membuat follow-up terhadap tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi memastikan inisiatif Kerajaan Elektronik memperoleh kejayaan.

13. Para CIO adalah juga bertanggungjawab untuk menjayakan dasar No Wrong Door. Amalan pendekatan ini harus dibudayakan dengan kerjasama dan persefahaman secara kolektif. Amalan tersebut akan merubah pandangan masyarakat supaya lebih mempercayai dan menghargai serta memanfaatkan perkhidmatan Kerajaan yang disediakan.

14. Dasar No Wrong Door telah dapat direalisasikan khususnya melalui pelaksanaan projek-projek di bawah inisiatif eKL. Inisiatif eKL adalah suatu usaha untuk menyediakan perkhidmatan bersepadu melalui penggabungan proses dan prosedur yang merentasi agensi di kawasan Lembah Klang. Bagi meningkatkan fokus kepada keperluan pelanggan, perkhidmatan merentasi semua agensi telah digembleng dan disampaikan secara mesra pelanggan. Antara projek projek yang telah dilaksanakan termasuk myBayar,
myForms, One Number Call Center, myGovernment Portal, myGovInfo atau Portal Berita Kerajaan Malaysia, mySMS 15888, Jobs Malaysia,myGov XChange(Government Information Exchange Bus) dan kajian-kajian Business Process Reengineering.

15. Kesediaan perkongsian sumber, termasuk maklumat,antara CIO adalah kunci untuk menjayakan usaha ini. Berbekalkan pengetahuan yang tinggi dan kesediaan untuk bekerjasama akan dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berasaskan ICT kepada pelanggan. Oleh yang demikian, CIO yang dipimpin oleh Ketua Jabatan masing-masing haruslah merancang dan melaksanakan
inisiatif Kerajaan Elektronik secara sistematik dan holistik. Bagi mendapat impak yang lebih tinggi,CIO perlu melibatkan pelanggan dan stakeholders yang mempunyai hubungan langsung dengan agensi masingmasing sama ada dalam perancangan, pelaksanaan mahupun pemantauan perkhidmatan yang disediakan.

16. Para CIO juga perlu sentiasa peka terhadap teknologi terkini dan amalan terbaik dalam melaksanakan perkhidmatan berasaskan ICT. Kita perlu memanfaatkan perkhidmatan seperti Internet, SMS,teknologi mobile, interactive voice response, wireless application protocol dan sebagainya. Peningkatan diri secara berterusan akan memastikan daya saing Malaysia dapat diletakkan di antara yang terbaik dalam mana-mana sistem penarafan global.

17. Di samping itu,tumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan sistem, aplikasi dan saluran penyampaian perkhidmatan yang kurang menggunakan kertas dan tenaga sejajar dengan dasar perbelanjaan berhemah serta membantu meringankan beban kos pengguna.Dengan amalan sedemikian, gaya hidup kita akan menjadi lebih mudah, senang serta ringkas untuk bergerak ke arah mencapai matlamat yang satu, negara yang gemilang dan terbilang.

PENUTUP
Hadirin yang dihormati sekalian,

18. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kecemerlangan penyampaian perkhidmatan merupakan impian pelanggan dan stakeholders. CIO adalah pendukung kepada penggunaan ICT, yang merupakan enabler bagi memastikan kejayaan dalam sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Banyak projek ICT telah diperkenalkan tetapi perkhidmatan kerajaan masih lagi menjadi rungutan masyarakat, khususnya,dalam aspek karenah birokrasi yang melibatkan pelbagai undang-undang dan peraturan yang terlalu rumit untuk dipinda dan diubahsuai.

19. Untuk mengatasi pelbagai cabaran dalam pelaksanaan projek-projek ICT dalam sektor awam, CIO perlu menerokai bidang ini secara sistematik dan merancang pelaksanaannya secara holistik. CIO perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan berdaya saing untuk meletakkan perkhidmatan awam Malaysia di kalangan antara yang terbaik di dunia.

20. Dengan kata-kata itu, dan dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim,saya dengan ini merasmikan. Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumaat Sektor Awam Tahun 2008 dan seterusnya melancarkan Projek
mySMS 15888.
Sekian.

Wabillahittaufik walhidayah
Waslamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.