Sunday, January 6, 2019

Ulasan Buku Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki Karya Dr. Mat Rofa Ismail oleh Muhammad bin Hashimee

KERDIPAN BINTANG MELAYU DI LANGIT TURKI, oleh Mat Rofa Ismail. 2015. Grup Buku Karangkraf Sdn.Bhd: Selangor. Hlm. 380. ISBN 978-967-86-0486-4.

Sebelum memulakan perbahasan tentang kandungan buku ini, pengulas ingin mendahulukan pengenalan ringkas tentang penulis buku “Kerdipan Bintang Melayu Di Langit Turki”. Penerangan ringkas tentang latar belakang penulis dapat membantu dalam memahami dengan lebih mendalam tentang isi kandungan buku ini. Beliau Mat Rofa bin Ismail adalah bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia UPM, Selangor. Penglibatan beliau di UPM bermula semenjak tahun 1979 di mana beliau dilantik sebagai tutor di Jabatan Matematik Fakulti Sains UPM. Beliau meneruskan kerjaya beliau sebagai pensyarah di UPM dan dilantik sebagai Professor Madya pada tahun 2001. Pencapaian

beliau di dalam bidang Etnomatematik melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Ketua Laboratori Etnomatematik dan Didaktik di Institut Penyelidikan Matematik UPM. bermula dari tahun 2010 dan menjadi penyelidik bersekutu dari awal penubuhan institusi tersebut.


Bidang kepakaran beliau ialah Mantik dan Etnomantik, Falsafah Sains Pendekatan Kualitatif, dan Etnosains Dan Etnomatematik Alam Melayu dan sebagainya.  Secara umumnya, buku ini merupakan cetusan perbahasan tentang sejarah hubungan Kerajaan Uthmaniyyah dengan Alam Melayu. Ianya dipecahkan kepada sebelas bab. Bab pertama berjudul Perjalanan Ilmiah ke Turki. Di dalam bab ini kelihatan penulis hanya merakamkan coretan santai tentang lawatan beliau ke Bumi Turki. Lawatan tersebut adalah hasil jalinan kerjasama antara Universiti Putra Malaysia dengan Universiti Yaldiz pada tahun 2013.Namun di dalam perkongsian penulis tentang lawatan beliau di Turki penulis tidak lupa untuk menyelitkan fakta-fakta bersejarah khususnya yang berkaitan tentang penyelewengan yang dilakukan oleh para orientalis di dalam karangan-karangan sejarah mereka.

Menurut beliau sejarah yang diubahsuai ini dicipta oleh para orientalis yang dilatih khusus bagi memperlekehkan sumbangan Islam terhadap pemikiran dunia. Malahan, mereka turut memperbesarkan salah laku sultan pemerintahan Uthmaniyyah yang boleh dianggap sebahagian kecil jika dibandingkan dengan Sistem Khilafah yang dibawa oleh kerajaan Islam itu sendiri. Penulis juga tidak lupa untuk membawa perbincangan tentang Hubungan Sosial Malaysia Turki, di mana jalinan Turki Malaysia ini masih boleh dilihat dari segi lawatan pelancongan dari Malaysia yang menjadikan Turki sebagai destinasi utama perjalanan mereka. Perkara ini jelas mencetuskan pertembungan budaya Malaysia Turki. Penulis juga kelihatan amat terkilan melihat peniaga Turki yang mampu berbahasa Melayu, bahkan mereka menggunakan produk automotif Malaysia.

Dalam bab dua hingga bab sembilan, kelihatan penulis mengambil pendekatan ilmiah yang serius di dalam pembawaan beliau fakta sejarah hubungan Turki- Melayu. Asas utama hubungan Turki Melayu tercetus demi mengekang penjajahan kuasa besar barat yang cuba meluaskan jajahannya. Oleh itu, Usaha sama Melayu Turki ini diwujudkan bagi menentang kemaraan tentera penjajah barat melalui beberapa aspek:



1. Aspek Ketenteraan: Misi Kerajaan Uthmaniyyah yang mahu melindungi negara Umat Islam daripada jajahan barat dilaksanakan dengan menghantar pelbagai jenis bantuan ketenteraan ke Tanah Melayu. Kerajaan Uthmaniyyah telah menghantar bantuan logistik ketenteraan termasuk pakar persenjataan, alat peperangan dan pelbagai jenis bantuan ke Tanah Melayu.Ini dilakukan demi memastikan penaklukan Portugis Kota Melaka dipatahkan. Namun begitu usaha ini tidak berhasil apabila Portugis bertindak melantik tali barut dari penduduk Tanah Melayu untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan Umat Melayu itu sendiri. Hasil dari rancangan jahat ini, berlakunya permusuhan antara Kesultanan Aceh dan Johor yang menjejaskan seruan Jihad Umat Islam untuk menentang penjajah. Portugis juga berjaya mendapat kerjasama dari Kerajaan Perak dan Pahang dalam mengekalkan penjajahan Melaka.

2. Aspek Diplomasi: Visi kerajaan Uthmaniyyah untuk mewujudkan Sistem Khilafah yang menjamin perlindungan bagi negara Islam juga dilaksanakan dengan mewujudkan rangkaian diplomasi Turki – Melayu. Lebih menarik lagi wakil diplomasi Turki-Melayu ini dilantik dari kalangan Ulama tersohor seperti Sheikh Ahmad Al Fatani yang telah mengunjungi Sultan Abdul Hamid II untuk memohon bantuan bagi mengusir British dari Tanah Melayu. Sheikh Ahmad Al Fatani juga amat digeruni oleh British kerana keteguhan beliau dalam menyebarkan seruan Jihad untuk menentang penjajah. Sheikh Ahmad Al Fatani telah berjaya membentuk rangkaian Kesultanan Tanah Melayu yang bersatu untuk memerangi jajahan British dan tali barutnya. Beliau turut mencipta aksara tulisan Melayu berbentuk aksara Sanskrit Moden di dalam mengurus rancangan pembebasan Tanah Melayu supaya tidak dikesan oleh pihak British. Antara usaha Sheikh Ahmad Al Fatani di dalam melawan penjajahan British juga adalah dengan mewujudkan jalinan kerjasama antara persatuan Islam dan Negara serantau. Usaha ini sekali gus mengukuhkan jalinan Ulama dan pemerintah di dalam mengekang cengkaman British di Tanah Melayu. Beliau menjadikan Universiti Al Azhar di Mesir sebagai Pusat utama bagi menggerakkan usaha pembebasan Tanah Melayu. Galakan untuk menghantar pelajar dari Tanah Melayu ke university Al Azhar dijadikan platform utama di dalam menghasilkan tokoh Ulama yang berwibawa seperti Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi di Selangor dan Paduka Nik Mahmud di Kelantan. Ideologi Jihad dalam menentang penjajahan British disebar luas melalui pemikir tersohor ini yang juga merupakan bekas pelajar di Universiti Al Azhar.


3. Aspek Pendidikan: Pembebasan tanah air tidak akan tercapai tanpa pembebasan minda. Sistem Madrasah Sulaimaniyyah dijadikan sebagai tonggak utama di dalam penghasilan sebuah tamadun ilmu yang agung bagi Kerajaan Uthmaniyyah Turki. Ianya diasaskan oleh Sultan Sulaiman yang mahukan sistem Pendidikan syumul dari aspek kerohanian dan keilmuan. Sistem Pendidikan Madrasah Sulaimaniyyah dibahagikan kepada 11 tahap pengajian. Ianya merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti pengajian Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Siasah, Pentadbiran, Ekonomi, Pelayaran, Geografi, Perubatan, Farmakologi, Falak, Matematik dan Sains Tabii. Dengan terbentuknya Sistem Pendidikan Madrasah Sulaimaniyyah, khazanah ilmu Turki telah berkembang dengan begitu pesat. Tokoh agung seperti Ebusuud Affandi di dalam bidang Fiqh dan Tafsir, Ibnu Kemal di dalam bidang Hadis, Lutfi Pasha di dalam bidang Siasah dan pakar-pakar yang lain adalah hasil didikan dari Sistem Madrasah Sulaimaniyyah. 

Infrastruktur ilmiah turut dinaikkan taraf demi menyokong perkembangan ilmu. seperti Balai cerap kajian astronomi untuk kajian Ilmu Falak, loji rawatan air yang menggunakan teknologi Hidrolik Yunani, hasil ciptaan alat-alat baharu seperti jam saku, jam dinding turut menjadi simbol kemajuan ilmu di bawah pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Bahkan, segala kemajuan yang dikecap Barat ketika ini boleh dianggap hasil usaha dari tokoh ilmuwan Kerajaan Uthmaniyyah. Ilmu Farmakologi ubat ubatan adalah hasil dari kajian Ibnu Al Baitar yang telah mengkaji tumbuh-tumbuhan bagi tujuan rawatan penyakit. Kajian Ibnu Al Baitar turut digelar sebagai Ilmu Al Nabat yang memberi makna Ilmu Tumbuhan. Karya agung Ibnu Al Baitar Aqrabazin turut menjadi cetusan di dalam bidang teknologi di mana beliau telah menghasilkan minyak zaitun yang mampu menyerap cahaya matahari di siang hari untuk dijadikan lampu pada waktu malam. Ianya memberi cahaya walaupun tanpa dinyalakan api, Lampu-lampu ini dijadikan sumber cahaya menerangi masjid-masjid di Turki.


4 Aspek Kerohanian: Jika di Tanah Melayu ada Sheikh Ahmad Al Fatani maka di Turki ada Badiuzzaman Said Nursi sebagai pemegang obor jihad di dalam melawan penjajah barat. Namun begitu, pendekatan Badiuzzaman Said Nursi lebih berkonsepkan Tasawuf iaitu penyucian hati.Ini kerana beliau amat mementingkan kekuatan iman sebelum kekuatan luaran, baginya punca lemah umat Islam adalah kerana hilangnya sifat ikhlas di dalam perjuangan, saling berbalah dan berpecah belah dan juga menyukai permusuhan. Penyakit hati ini haruslah diubati dengan Tasawuf agar kemenangan itu direstui Allah S.W.T. Badiuzzaman Said Nursi sangat tegas di dalam agama, beliau kerap memerangi konsep sekularisme yang dibawa Barat demi memisahkan agama dari kehidupan. Beliau kerap  kali berhujah dan berdebat dengan tokoh barat dan pendukung konsep sekularisme dalam masyarakat. Antara karya agung Badiuzzaman Said Nursi adalah Rasail Al Nur, ianya merupakan karya yang menghimpunkan buah fikiran Badiuzzaman Said Nursi tentang keesahan Allah S.W.T dan memanifestasikan Syahadah di dalam kehidupan. Karya yang setebal lima ribu halaman ini telah menjadi obor pembakar semangat bagi gerakan Jihad di dalam menentang penjajahan Barat sehingga ianya telah diharamkan pada era pemerintahan Ataturk. Namun begitu karya ini berjaya disembunyikan oleh pelajar Badiuzzaman Said Nursi lalu ianya ditanam dan disembunyikan.



Secara keseluruhan, pengulas menyimpulkan bahawa Mat Rofa Ismail telah berjaya memberikan pencerahan yang jelas berkenaan dengan hubungan Melayu-Turki di zaman pemerintahan Uthmaiyyah. Gaya bahasa santai dan istilah yang mudah difahami berjaya menarik minat pembaca untuk mendalami rahsia-rahsia hubungan Melayu-Turki ini. Namun pengulas berpendapat kronologi peristiwa yang disebut di dalam penulisan ini didapati tidak begitu jelas dan tersusun. Ini mungkin atas pendirian penulis untuk mengelakkan unsur bosan di dalam karya beliau. Kaitan hubungan Melayu-Turki juga tidak kelihatan dengan begitu jelas pada beberapa bab, amatlah baik jika penulis mengaitkan konsep Madrasah Sulaimaniyyah dengan Madrasah Melayu Nusantara dan konsep Tasawuf Badiuzzaman Said Nursi dengan konsep Tasawuf Ulama Tanah Melayu. Namun begitu karya Kerdipan Bintang Melayu Di Langit Turki merupakan karya yang amat istimewa di dalam membahaskan hubungan peranan Turki Uthmaniyyah di rantau Tanah Melayu.



Muhammad bin Hashimee
Pusat Pengajian Teras,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

No comments: