Friday, May 29, 2009

Sifat Rahman dan Rahim ALLAH Melahirkan Rahmat dan Nikmat ILAHI - Petikan daripada Tafsir Al-Azhar (Part A)

(1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang (2). Segala Puji-Pujian untuk Allah, Pemelihara semesta alam (3). Yang Mempunyai Hari Pembalasan (4). Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan (5). Tunjuki kami jalan yang lurus (6). Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat atas mereka; bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah dimurkai atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.

Al-Fatihah artinya ialah pembukaan. Ia juga dinamai Fatihatul Kitab yang bererti pembukaan kitab, surah 7 yang diulang-ulang, dia adalah ibu Al-Quran, minimum 17 kali dibaca semasa pertemuan fardhu antara hamba dan Tuhan sekalian alam dalam satu hari.

Surah ini dimulai dengan (1). Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang Allah memulakan seruan dengan namaNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Nama Allah Ar-Rahman mengambarkan sifatNya Yang Maha Pemurah dan PerlakuanNya yang diselaputi kepemurahanNya. Dzat Yang Maha Pemurah kepada semua makhlukNya termasuk kita manusia.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang ertinya, aku mulai perkerjaanku ini, menyiarkan wahyu Ilahi kepada insan, di atas nama Allah itu sendiri, yang memerintahkan daku menyampaikannya, ini adalah contoh teladan yang diberikan kepada kita , supaya memulakan sesuatu pekerjaan penting dengan memulakannya dengan nama Allah.

Laksana yang teradat bagi sesuatu kerajaan bila menurunkan sesuatu perintah, menjadi kuatlah dia jika disampaikan di atas nama pemerintah yang tertinggi, umpamanya Perdana Menteri. Surat arahan yang memakai nama Perdana Menteri bukan sahaja mengandungi arahan tetapi juga pertanggungjawaban dari penerimanya.


Nabi Muhammad S.A.W disuruh menyampaikan wahyu itu kepada manusia dengan menyebut nama Allah. Dia, Rasulullah tidak lebih daripada manusia biasa, tetapi ucapan yang keluar daripada mulutnya bukanlah keluar semena-mena diatas kehendaknya sendiri tetapi Allah lah yang memerintahkan. Dari empunya nama itu, iaitu Allah, Nabi Muhammad mengambil kekuatan didalam menyampaikan wahyuNya.Allah adalah dzat Yang Paling Tinggi, Maha Mulia, Maha Kuasa. Dzat Pencipta seluruh alam, langit dan bumi, bulan dan matahari, dan seluruh yang ada.

Dengan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim iaitu Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Yang kedua sifat nama itu datang dari satu rumpun iaitu RAHMAT, yang bererti murah, kasih, sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya. Allah bukanlah Tuhan yang bengis, kejam, haus darah, pendendam dan pembenci. Maka apabila bacaan dimulai dengan menyebut nama Allah, dengan kedua-dua sifatNya Ar-Rahman dan Ar-Rahim, mulailah Nabi Muhammad menentukan perumusan baru yang benar mengenai Tuhan. Sifat utama Tuhan yang diketahui dan dirasai oleh manusia ialah Allah itu, DIA ialah Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

"Segala puji-pujian untuk Allah" (pangkal ayat 2) Hamdan, ertinya pujian, sanjungan. Alhamdu bermaksud mencakupi segala jenis pujian, pujian besar, pujian kecil, ucapan terima kasih, tahniah, atau puja-pujaan. ALHAMDULILLAHI bererti segala puji-pujian hanya untuk ALLAH. Tidak ada yang lain yang berhak mendapat pujian itu.

Meskipun misalnya ada seseorang yang berjasa baik kepada kita, meskipun kita memujinya, namum hakikat puji hanya kepada Allah. Sebab orang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan Yang Maha Murah dan Penyayang tadi. Kita puji seorang engineer mekanikal kerana ilhamnya membina sebuah kapal terbang berkuasa tinggi yang laju dan hebat, tetapi kalau kita selidiki lebih dalam, dari mana dia mendapat ilham untuk membina kapal terbang tersebut kalau bukan bersumberkan ilham daripada Tuhan. Oleh sebab itu, jika kita dipuji oleh seseorang maka janganlah kita lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.

Nabi kitaMuhammad S.A.W. ketika dengan sangat jayanya menakluki negeri Mekah, baginda masuk ke ibu kota itu dengan menunggang untanya yang terkenal, al-Qashwa', sahabat-sahabat baginda gembira dan bersyukur disebabkan impian nabi telah menjadi kenyataan, namun baginda tidak mengangkat muka dengan angkuh kerana kemenangan tersebut, tetapi baginda merundukan wajahnya ke bawah, lekat dekat leher unta kesayangan baginda, mensyukuri nikmat Tuhan dan mengucapkan puji-pujian kepada Allah S.W.T

"Pemelihara semesta alam" ujung ayat 2. Atau Tuhan dari sekelian makhluk, atau Tuhan sarwa sekalian alam. Umumnya erti alam ialah segala yang ada ini selain dari Allah, kalimat 'alamin bererti segala yang ada, termasuk di alam jin,di alam malaikat dan di alam syaitan. Setelah terlebih dahulu kita dikenal kepada Allah yang Tunggal, sekarang kita dikenalkan kepada tuhan yang Rabbun.

Kata Rabbun meliputi segala macam pemeliharaan,penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Allah itu bukan sahaja pencipta tetapi juga pemelihara, bukan sahaja menjadikan tetapi juga mengatur, seumpama matahari, bulan,langit,bumi, bintang dan sebagainya,sesudah semuanya dijadikan, tidaklah dibiarkan begitu sahaja, melainkan dipelihara dan dikuasai terus menerus.

Betapa matahari, bulan, bintang dan bumi beredar begitu teratur dari tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, jam ke jam, minit ke minit dan detik ke detik, berjalan teratur telah berjuta-juta tahun, kalau bukan pemeliharaan daripada Allah sebagai Rabbun?

Manusia pun begitu, Dia bukan semata-mata dijadikan, bahkan sejak masih dalam nuthfah, sampai ke alaqah dan mudhghah , sampai muncul ke dunia, sampai menjadi manusia yang berakal, dan sampai meninggal kelak, tidaklah lepas daripada tilikan Allah sebagai Pencipta dan Pemelihara. Untuk semua pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan perlindungan itulah kita diajar untuk mengucapkan pujian kepada Nya "Rabbul Alamin".

Sifat Rahman dan Rahim ALLAH Melahirkan Rahmat dan Nikmat ILAHI - Petikan daripada Tafsir Al-Azhar (Part B)

"Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang"( ayat 3) atau boleh diertikan sebagai yang pengasih lagi penyayang. Ayat ini menyempurnakan maksud dari ayat sebelumnya. Jika Allah sebagai Rabb, sebagai Pemelihara dan Pendidik bagi seluruh alam, tidak lain, maksud dan isi pendidikan itu , melainkan kerana kasih sayangNya semata dan kerana murahNya belaka. Tidaklah dalam memberikan pemeliharaan dan pendidikan itu, menuntut keuntungan bagi diriNya sendiri. Pemeliharaan yang Dia berikan adalah pertama kerana Ar-Rahman maksudnya ialah bila sifat Allah Yang Ar-Rahman itu telah membekas dan berjalan ke atas hambaNya, bertambah tinggi kecerdasan hambanya itu, bertambah terasa olehnya betapa Ar-Rahman Allah terhadap dirinya, dan sifat Ar-Rahim ialah sifat yang tetap kepada Allah. Maka Ar-Rahman ialah setelah sifat itu terpaksa pada hamba, dan Ar-Rahim ialah pada keadaannya yang tetap dan tidak pernah padam-padamnya pada Tuhan. Dan keduanya itu adalah sama mengandung akan sumber kata yaitu Rahmat.

Bagaimana jadinya hidup kita didunia jika 2 hari matahari tidak terbit? Kita manusia kadang-kadang mudah lupa akan Rahmat Tuhan, kerana kita tidak pernah dipisahkan daripada RahmatNya, seumpamanya, bila terjadi 'blackout' sehingga seluruh UiTM tidak menerima bekalan elektrik kerana kerosakan berlaku pada intake 33kV Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada ketika itu, baru kita sedar, bahawa tenaga elektrik adalah tulang belakang yang mengerakkan operasi UiTM. Diwaktu biasa semua beres, kerap kita lupa, tetapi setelah terganggu baru kita teringat. Demikian juga halnya apabila bekalan air dirumah kita terganggu kerana kerosakan paib yang menyalurkan air ke rumah kita telah pecah, maka ketika itu baru kita terasa betapa air itu penting dalam kehidupan kita.

Rahmat Ilahi, pancaran daripada sifatNya Yang Rahman dan Yang Rahim, yang Murah dan Kasih Sayang dapat kita rasai apabila melihat seekor ibu ayam sedang mengkais-kais makanan untuk anak-anaknya, dipecah-pecahkannya rimah nasi, dipanggil anak-anaknya untuk memakan makanan tersebut. Tiba-tiba datang seekor anjing, cuba menganggu anak-anaknya yang sedang memakan makanan tadi, si ibu ayam dengan garangnya menyerang anjing itu demi untuk mempertahankan anak-anaknya, sehinggakan ibu ayam itu tidak takut kepada anjing tersebut, walhal anjing itu lebih besar saiznya daripada ibu ayam, sehingga anjing itu ketakutan dan melarikan diri. Dikala kesejukan dimalam hari, si ibu ayam melindungi anak-anaknya dibawah naungan sayapnya, dan ada kalanya, anak-anak ayam itu memanjat ke atas punggungnya, namum dibiarkannya demi kasih dan sayangnya pada anak-anaknya itu. Itulah Rahmat Ilahi.

Demikianlah halnya ketika kita dilahirkan oleh ibu kita, beratnya penderitaan mengandung dan melahirkan tidak terperi payahnya, bidan telah sedia menolong, dan setelah ditunggu dengan harap dan cemas, lahirlah kita, apabila ibu kita mendengar tangisan kita, maka dengan kedengaran tagisan kita itu, wajah ibu jadi lega, hilang kepayahannya, kadang-kadang matanya tertidur sejenak, diliputi Rahmat Ilahi. Demikian juga sang ayah, yang tadinya menunggu penuh debaran, dipengaruhi rasa cemas dan harap, cemas kalau-kalau isteri yang disayangi ditimpa bahaya sehingga maut kerana melahirkan, dan harap moga-moga anak dan isteri selamat dalam melalui detik-detik kritikal itu. Bila mengetahui isterinya telah selamat melahirkan, maka rasa lega dihatinya. Demikianlah Rahmat Tuhan telah dimasukan ke dalam jiwa kita semua.

Dengan melihat kasih sayang diantara suami isteri, ayah terhadap anaknya, dengan melihat kasih sayang diantara binatang, burung-burung dengan pelbagai jenisnya, dapatlah kita ketahui bahawa betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah ke atas makhluknya, dan akan sirnalah rasa dengki, hasad, benci dan dendam daripada diri kita. Sampai kepada masyarakat, pergaulan hidup yang adil dan makmur di atas dunia, Rahmat Allah melalui sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memancarkan MARHAMAH, iaitu kasih mengasihi, cinta-mencintai, bantu-membantu yang timbul daripada kemurahan dan kasihsayang Nya.

"Yang menguasai hari pembalasan" (ayat 4) Kita ertikan yang menguasai atau mempunyai hari pembalasan, disini dapatlah kita memahami bahawa ad-din yang selalu kita ertikan sebagai agama juga bermaksud pembalasan, menurut islam, segala gerak geri hidup kita yang kita lalui sehingga hari ini, tidak lepas daripada lingkungan agama, iaitu wajib, sunat, makruh, jaiz dan haram. Dan semuanya kelak akan diperhitungkan dihadapan Allah S.W.T di akhirat. Baik akan dibalasi dengan kebaikan dan buruk akan dibalasi dengan keburukan. Yang memberikan pembalasan itu adalah Allah sendiri dengan jalan yang seadil-adilnya.

Didunia ini yang ada hanya penilaian, tetapi tidak ada pembalasan manusia. Banyak orang tercengang melihat orang yang zalim dan curang tetapi kerana pandainya main maka tidak terkesan miskipun orang tahu juga, dan banyak juga orang yang jujur, berbuat baik, namun penghargaan tidak ada, atau sengaja tidak dihargai kerana kepentingan-kepentingan politik. Di dunia tidak ada pembalasan yang sebenar dan disini tidak ada perhitungan yang adil.

Bila sampai disini, kalbu kita mula bertanya, jika tadi seluruh jiwa kita diselaputi oleh rasa Rahmat yang terpancar daripada Rahman dan rahim Allah, ia harus dibatasi oleh KEINSAFAN, bahawa betapa un Rahmat dan Rahim Allah itu, Dia adalah adil juga. Rahman dan Rahim tidak sempurna jika ia tidak dilengkapi dengan Adil. Memang ada manusia, yang jiwanya telah dipenuhi dengan sifat Rahman dan Rahim itu, maka dia berbalas balas kasih sayang dengan Tuhannya, memberi dan menerima, lalu dia pun beribadat kepada Tuhannya dengan seikhlas hati dan berbuat bakti. Tetapi ada juga manusia yang tidak peduli Rahman dan Rahim Tuhan, jiwanya diselimuti oleh perasaan benci, dendam, hasad, dengki dan kianat. Tidak ada rasa syukur, tidak ada terima kasih. Jahatnya lebih banyak daripada baiknya. Kadang-kadang pandai dia menyembunyikan keadaan yang sebenarnya, sampai dia mati keadaan tetap demikian. Tentu sekali orang ini akan menerima pembalasan dihari kemudian kelak.

Maka apabila, Ar-Rahman dan Ar-Rahim disambungkan dengan maliki yaumiddin maka barulah seimbang pengabdian dan pemujaan kita kepada Tuhan. Hidup tidak terhenti setakat dialam ini sahaja, akan ada sambungannya lagi, iaitu dihari pembalasan. Kalau kita telah rasai dan kita percaya bahawa Dia Maha Murah dan Penyayang, tetapi kita masih melanggar segala yang diperintahkanNya, melakukan segala macam maksiat dan pelbagai kekufuran, maka ingatlah bahawa Dia mempunyai hari pembalasan, lantas kemana lagi kita mahu lari? Kita mengharapkan kasih sayang dan kemurahanNya, dan kita pun takut akan pembalasanNya, jiwa kita terombang diantara Khauf, artinya takut dan Raja' ertinya harap.

Maka lanjutan bunyi ayat "Engkaulah yang kami sembah, dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan" (ayat 5) Kalimah Iyyaka bererti Engkaulah, disini Iyyaka disebutkan dua kali, jadi maksudnya, hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan. Kata na'budu kita ertikan sebagai kami sembah dan nasta'inu sebagai tempat meminta pertolongan. Dalam lain perkataan, kita boleh ertikan bahawa hanya kepada Engkau kami beribadat dan kami memohon bantuan dikala senang mahupun susah, dengan ayat ini kita menyatakan pengakuan kita bahawa Allah adalah Tuhan Yang Mencipta dan Memelihara, Dia adalah Rabbun, sebab itu Dia adalah Ilahi. Tidak ada Ilah yang lain, melainkan Dia, oleh kerana Dia Yang Mencipta dan Memelihara maka hanya kepada Dia yang patut disembah. Adalah hal yang tidak wajar, kalau Dia Yang Memelihara dan Menjadikan, lalu kita menyembah selain daripada Nya. Itu namanya musyrik. Menerima nikmat dari Allah, berterima kasih kepada berhala.

Maka mengakui bahawa yang patut disembah sebagai Ilah hanya Allah, dinamainya sebagai Tauhid Uluhiyah, manakala, mengakui yang patut untuk memohon pertolongan sebagai Rabbun hanya Allah, dinamai Tauhid Rubudiyah.

Sekarang kita teruskan kepada erti ibadat. Erti yang luas tentang IBADAT ialah memperhambakan diri dengan penuh keinsafan dan kerendahan. Dan dipatrikan lagi oleh cinta.Kita mengakui bahawa kita hambaNya, budakNya. kita tidak akan terjadi kalau bukan dia yang menjadikan. Kita beribadat kepadaNya disertai raja', iaitu pengharapan terhadap kasih sayangNya, cinta yang hakiki, tidak terbahagi dengan yang lain, sehingga jikapun kita cinta kepada yang lain, hanya lah kerana yang lain itu nikmat daripada Dia. Contohnya kita mencintai isteri, anak, harta dan benda atau tanah air atau yang lain-lain, semuanya itu adalah nikmat daripadaNya jua. Tidak dapat kita mencintai yang lain langsung, disamping mencintai Dia, kerana kalau ada cinta lain selain daripada cinta kepada Nya, itulah cinta yang terbahagi. Apabila telah terbahagi itulah pangkal kepada syirik.

Selanjutnya kita huraikan tentang 'meminta pertolongan'. Setiap orang berusaha mengikut bakatnya, Doktor menolong orang sakit. Guru menolong muridnya belajar membaca, mengira dan menulis, dalam perhubungan sesama manusia, sewajarnya yang kuat menolong yang lemah, yang kaya menolong yang miskin, dan semua itu adalah dalam rangka meminta tolong kepada Allah jua. Maka tolong menolong dalam urusan kehidupan harian semacam ini tidaklah dilarang kerana itu bukan dalam rangka memandang bahawa tempat manusia minta tolong itu sebagai tempat ibadat. Diatas manusia yang bertolong-tolongan itu ada lagi kekuasaan yang tertinggi yang memutuskan dengan mutlak samada berakhir dengan kejayaan atau kegagalan. Itulah kekuasaan Tuhan, yang kekuasaanNya meliputi akan seluruhnya.

Memohon pertolongan daripada Tuhan supaya diberikan kekuatan meneruskan perjuangan, memohon petunjuk, dihasilkan yang dicita-cita, dituntun sebaik-baiknya kejalan yang baik dan benar akan memberikan kita kekuatan pada diri sendiri kerana kita memohon pertolongan langsung dengan Tuhan, terus kepada Allah, yang menjadi sumber dari segala kekuatan. Memohon pertolongan kepada Tuhan bukanlah kelemahan tetapi disanalah terletaknya kekuatan. Hanya manusia yang bodoh dan tolol sahaja yang mengaku bahawa dirinya sanggup berbuat segala yang dia kehendaki. Adapun bagi orang-orang yang berilmu, maka ilmunyalah yang menunjukan kepada nya bahawa dia tidak mengetahui semua hal.

Memohon pertolongan berdasarkan konsep Tauhid Uluhiyah dan Rubudiyah itulah yang masuk akal, sebab itu kita tidak meminta pertolongan misalnya kepada kuburan seorang guru atau orang alim yang dikenal keramat, atau meminta pertolongan kepada berhala, meminta bantuan kepada keris pusaka untuk menarik duit, dengan kalimat Iyyaka nasta'inu tadi, yang bererti "Hanya kepada Engkau saja aku meminta pertolongan", jelaslah bahawa kita tidak akan meminta pertolongan kepada yang lain dengan cara demikian, sebab yang lain itu tidak masuk akal bahawa dia dapat menolong.