Tuesday, April 14, 2015

'selective amnesia' atau buat-buat lupa oleh YB Budiman Mohd Zohdi

DALAM sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 April lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali secara sinis dalam menyindir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menghidap penyakit hilang ‘selective amnesia’ atau kehilangan daya ingatan dan hanya mengingati serta menyimpan apa yang dimahukan.

Sindiran Mohamed Azmin itu dilihat seolah-olah merujuk tindakan Abdul Khalid yang ketika membahaskan usul titah Sultan Selangor pada 2 April lalu mengkritik tindakan Menteri Besar itu yang didakwa tidak konsisten dalam memuktamadkan perjanjian penstrukturan industri bekalan air Selangor sebelum ini yang membuktikan kelemahan sebenar pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Dalam perbahasan itu, Abdul Khalid turut menyatakan gesaan­nya supaya Mohamed Azmin berundur dari jawatannya sekiranya gagal memuktamadkan perjanjian utama itu dengan memberikan kepada individu yang layak.

Namun kritikan Abdul Khalid terhadap pentadbiran negeri itu tidak terhenti setakat itu apabila beliau sekali lagi mengeluarkan kenya­taan menerusi akaun Facebook miliknya pada 6 April lalu membuat sindiran bahawa amat mudah menjadi pemimpin oportunis dengan membuat keputusan popular tanpa memikirkan impak dalam segala segi dan gambaran sebenar situasi dan kemampuan hakiki.

Penulis tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai perbalahan di antara Abdul Khalid dengan Mohamed Azmin ini. Namun, satu perkara yang amat menarik perhatian adalah tentang sindiran Menteri Besar terhadap Abdul Khalid itu yang mengaitkan dengan penyakit ‘selective amnesia’.
Barangkali Mohamed Azmin juga mungkin tidak sedar beliau mungkin mengalami simptom penyakit tersebut apabila lupa mengenai janji untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM1,500 sebulan. Barangkali terlalu teruja dengan jawatan Menteri Besar yang disandang, janji itu mungkin dibuat-buat lupa.

Jika Menteri Besar sukar untuk mengingati janji itu kerana mungkin menghidap ‘selective amnesia’, penulis mungkin boleh mengambil peluang ini dengan mengingatkan bahawa janji untuk menaikkan elaun guru KAFA adalah antara yang terkandung dalam manifesto bersama PKR, DAP dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM1,500 sebulan itu adalah sebahagian daripada rancangan peningkatan gaji melibatkan seluruh warga kerja sekolah agama di negeri ini yang turut disusuli de­ngan strategi memperbanyakkan aktiviti pengajaran yang setimpal dengan gaji yang dibayar.

Bagaimanapun, hampir dua tahun lebih PRU-13 berlalu, kerajaan negeri seolah-olah hilang ingatan untuk melaksanakan kenaikan elaun guru KAFA sebagaimana yang dijanjikan sedangkan kerajaan ne­geri telah membentangkan dua Bajet Negeri masing-masing pada 2014 dan 2015 melibatkan peruntukan kewangan yang besar yang bernilai berbilion ringgit.

Pada 20 November 2013, kerajaan negeri mengumumkan Bajet Selangor 2014 melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.8 bilion yang mana dari segi pecahannya 66.2 peratus atau RM1.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus yang terdiri dari perbelanjaan bekalan dan perbelanjaan tanggungan manakala selebihnya iaitu 33.78 peratus diperuntukkan untuk per­belanjaan pembangunan dengan nilai sebanyak RM624.9 juta.

Peruntukan kewangan dalam Bajet negeri itu bagaimanapun bertambah pada 2015 kepada RM2.42 bilion yang mana RM1.28 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.13 bilion adakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Malah, Menteri Besar ketika membentangkan Bajet Selangor 2015 pada 24 November tahun lalu turut mengumumkan kutipan hasil negeri pada tahun ini dianggarkan meningkat pada kadar 6.49 peratus kepada RM 1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.

Melihat dari angka-angka kewang­an bajet kerajaan negeri bagi kedua-dua tahun tersebut, seolah-olah Se­langor begitu gah dari segi kedudukan kewangannya. Namun, amat malang sekali apabila kedua-dua bajet negeri itu tidak dimasukkan dengan janji pakatan pembangkang untuk menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,500 sebulan.

Ketika ini, guru KAFA di Se­langor menerima elaun sebanyak RM1,300 setiap bulan yang mana RM800 daripadanya adalah dibiayai oleh Kerajaan Pusat manakala bakinya RM500 bayar oleh kerajaan negeri. Jika mengikut Pendapat­an Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan negeri, seramai 6,742 orang guru KAFA di Selangor berada di bawah kategori miskin.

Mengenai insiden seorang guru KAFA dari Sekolah Rendah Agama Pekan Kapar, Klang, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang dilaporkan dihalang daripada menyerahkan surat untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan negeri menaikkan elaun itu pada 8 April lalu, penulis merasa simpati atas kepayahan yang dialaminya dek kerana sikap pentadbiran Selangor yang seolah-olah ‘hanya tahu berjanji tetapi tidak ditunaikan’.

Nasib yang dialami oleh Ekhsan Bukharee itu mungkin turut dirasai sebilangan besar guru KAFA lain di negeri ini apatah lagi beliau me­nyatakan ada rakan seperjuang­an terpaksa melakukan kerja lain seperti tukang cuci dan sebagai­nya untuk menampung kehidupan mereka.

Namun, penulis amat kesal de­ngan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika sesi pertanyaan dalam DUN Selangor pada 9 April lalu yang menyatakan kenaikan elaun RM1,500 kepada guru KAFA di negeri ini masih lagi dalam pe­ringkat kajian termasuklah masih meneliti kesesuaian penambahan peruntukan untuk tujuan itu.

Persoalannya, mengapa kerajaan negeri mengambil tempoh masa yang terlalu lama untuk melaksanakan kajian kenaikan itu sedangkan pada masa sama pentadbiran Selangor difahamkan mendabik dada mengumumkan pertambahan dalam hasil kerajaan negeri. Apakah kerajaan ne­geri merasakan guru KAFA ini taraf­nya tidak sama dengan guru tetap di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) yang ada di Selangor ketika ini.

Jika demikian, ini satu pengabai­an serta diskriminasi yang serius dalam sistem pendidikan agama di Selangor. Penulis menolak sama sekali jika perkara ini benar-benar berlaku kerana guru KAFA ini juga memainkan peranan besar dalam pembangunan insan yang berteraskan agama Islam di negeri ini. Apakah sebenarnya tumpuan kerajaan negeri dalam membela nasib para guru KAFA ini?

Ternyata penyakit ‘selective amnesia’ dihidapi oleh mereka yang benar-benar memilih tindakan. Dalam kes guru KAFA ia menyerlahkan sikap sebenar kerajaan negeri yang bersifat selektif dalam soal membela rakyat. Apakah ini dasar kepedulian yang sering dibanggakan oleh kerajaan negeri selama ini?

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Panjang dan Setiausaha ADUN BN Selangor.

Thursday, April 2, 2015

UMNO dan PRU 14 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.
2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.
3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.
4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.
5. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.
6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.
7. Kononnya aset 1MDB berjumlah 52 billion sedangkan hutang hanya 42 billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa hutang dari Ananda Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang. Kenapa wang Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?
8. Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Di mana pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini tidak diguna untuk bayar faedah 2 billion.
9. Kononnya disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara punca wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai penuh oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
10. Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi Kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencermin harga pasaran.
11. US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak.
12. Jho Low dilapor dalam New York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Sri Najib. Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato Sri Najib.
13. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi.
14. Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?
15. Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara.
16. Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.
17. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai Ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit, Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik Kerajaan.
18. Cara pembelian tidak dapat menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian ini. Jika syarikat bukan Kerajaan yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease (sewa) lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.
19. Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.
20. Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.
21. Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan Negara saya terpaksa dedah semua ini.
22. Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.
23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.
(Sumber rujukan : http://www.chedet.cc/)