Tuesday, December 20, 2011

PEMBANGUNAN PERSONALIA PELAJAR DINAMIK BERDASARKAN MODEL CHICKERING

Oleh: Bahman Bin Jamaluddin, Pengetua Kolej, Kolej jasmine, UiTM Kampus Puncak Perdana
Shah Alam, SELANGOR DE.

Model Chickering telah diasaskan oleh Arthur W. Chickering, seorang lulusan dari Harvard University yang juga merupakan seorang penyelidik dalam pendidikan dan hal ehwal pelajar universiti dan kolej dan telah banyak menghasilkan teori-teori berkenaan pembangunan pelajar. Teori pertamanya telah diterbitkan pada tahun 1969 semasa betugas dengan Goddard College bertajuk “Project on Student Development in Small Colleges” . Pada tahun 1993 beliau telah memperbaharui teorinya dengan kerjasama Linda Reisser. Chickering kini masih bertugas di George Mason University dan Goddard College.

Model Chickering (1993) terdiri daripada 7 vektor iaitu:

1. Membangunkan kompetensi
2. Mengurus emosi
3. Bergerak melalui autonomi ke arah interdependence
4. Membangun hubungan interpersonal matang
5. Mengukuhkan identiti
6. Membangunkan tujuan dan fungsi
7. Membangunkan integriti

Model ini sangat menggalakkan pembelajaran yang berterusan melalui ilmu, pengalaman dan persekitaran dalam membangunkan personaliti pelajar.

(a) Membangunkan kompetensi

Chickering berpendapat bahwa ada tiga jenis kompetensi di alam menara gading iaitu kompetensi intelektual, kompetensi kemahiran fizikal dan manual dan kompetensi interpersonal.Vektor ini mencadangkan agar kompetensi para pelajar dibangunkan melalui program-program berdasarkan kepada kualiti 3 perkara tersebut. Kualiti di dalam personaliti para pelajar dapat memacu mereka untuk terus berdaya saing dan memikul tugas dan peranan sebagai elitis yang bergelar mahasiswa atau mahasiswi. Ia merangkumi perkara-perkara yang berikut:

(i) Aspek kompetensi dari segi tahap intelektual yang melibatkan penggunaan akal untuk membina kemahiran berfikir secara analitikal, keupayaan mensintesis dan komprehensif serta membangunkan pandangan yang bernas di dalam menghadapi pengalaman kehidupan khususnya di dalam kampus dan juga ketika berhadapan masyarakat dalaman dan sekitar

(ii) Aspek fizikal dan manual yang melibatkan kejayaan di bidang sukan atau kesenian dalam masa yang sama mengukuhkan disiplin diri, kekuatan, kecergasan, daya saing dan termasuk penghasilan idea-idea baru dan inovasi.

(iii) Aspek karektor interpersonal yg melibatkan kemahiran mendengar, memahami, berkomunikasi dan berfungsi di dalam pelbagai perhubungan. Ia juga melibatkan keupayaan yang lebih kompleks iaitu menyesuaikan diri dan bertindakbalas terhadap orang lain sebaiknya, menyesuaikan agenda peribadi dengan matlamat kumpulan dan memilih pelbagai strategi untuk menyuburkan perhubungan dan fungsi kumpulan.

(b) Mengurus emosi

Pengurusan emosi pelajar sangat penting terutamanya bagi para pelajar baru supaya gangguan seperti rasa khuatir, takut, tidak yakin, kemurungan, rasa bersalah, malu dan segala perasaan negatif dapat dibendung dari awal-awal lagi menjejakkan kaki ke menara gading.

Trauma yang dialami generasi hari ini yang terganggu talian hayatnya dek terlalu bergantung kepada ibu-bapa sebelum memasuki universiti akan menyebabkan hilangnya daya saing mereka sebagai seorang pelajar jika aspek emosi dikesampingkan.

Segala gangguan ini tidak boleh diperkecilkan dan dianggap norma kehidupan kampus begitu sahaja kerana ia adalah signal atau petunjuk kepada masalah yang lebih besar yang ditanggung pelajar. Maka itu, mereka harus dipandu untuk mengenalpasti dan mengguna saluran untuk merencat dan seterusnya menghilangkan masalah atau halangan sebelum ia membarah atau meletup.

Pengurusan emosi di peringkat kampus melibatkan perkara-perkara berikut:

(i) Pendedahan kepada persekitaran tempat belajar beserta kemudahan yang ada

(ii) Memupuk minat terhadap bidang pengajian yang diceburi

(iii) Menyediakan talian hayat alternatif iaitu hubungan rapat dengan senior dan pensyarah

(iv) Meningkatkan kemudahan kebajikan bagi pelajar yang memerlukan (pelajar dari kalangan Orang Istimewa atau Kurang Upaya, miskin, yatim-piatu dan lain-lain)

(v) Melatih para pelajar mengenali jenis-jenis emosi serta kaedah-kaedah menanganinya.

(c) Bergerak melalui autonomi ke arah interdependence

Kunci kepada kerangka pembangunan pelajar ialah belajar untuk berfungsi secara relatifnya lebih berkendiri, bertanggungjawab mengejar matlamat yang telah dipilih dan ditetapkan, di samping mengurangkan ikatan terhadap pendapat orang lain. Namun, kaedah yang dinamik memerlukan kebebasan emosi dan instrumental, pelajar juga harus mampu mengenal pasti dan menerima “interdependence”.

Kebebasan emosi bermaksud kemerdekaan dari keperluan yang menekan dan berterusan terhadap kepastian, kemanjaan dan kebenaran. Vektor ini boleh melatih dan memandu pelajar untuk mengurangkan pilihan autonominya terhadap kebergantungan kepada ibu-bapa sebaliknya membuka ruang bantuan melalui pensyarah, staf universiti seperti kaunselor, pegawai agama, mungkin juga dari hanya seorang tukang kebun atau pengawal keselamatan, dari pelajar senior atau rakan-rakan sekuliah secara sukarela. Misalnya apa yang boleh dibuat jika pelajar menghadapi kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan kerja kursus. Sudah pasti pelajar harus cepat menghidu peluang bantuan kebajikan yang disediakan pihak unibersiti seperti tabung kebajikan dan kecemasan atau zakat.

Manakala kebebasan instrumental di sini mempunyai dua komponen iaitu keupayaan untuk menganjurkan aktviti dan menyelesaikan masalah sendiri dan komponen kedua, keupayaan untuk bergerak, iaitu sentiasa boleh bergerak ke sana kemari untuk mendapatkan maklumat atau bantuan samada dengan atau tanpa disuruh, samada dari institusi dalaman mahupun dari agensi luaran. Kedua-dua komponen inilah yang boleh menjadikan idea kepada realiti.

Membangunkan autonomi juga perlu kesedaran bahwa seseorang tidak boleh hidup dalam persekitaran vakum. Harus menerima hakikat kita tidak boleh hidup sendiri, kita memerlukan orang lain, sehingga mati pun orang lain itulah yang akan menguruskan kita. Sebaliknya sifat autonomi yang sihat akan menggalakkan kepada hubungan “interdependence”. Oleh itu pelajar diasuh untuk menilai semula penglibatan ibu bapa dalam menentukan hala tuju dan keputusan yang dibuat sebaliknya hubungan dua hala dengan orang di persekitaran universiti ditingkatkan. Hubungan ini kemudiannya dikembangkan lagi dengan masyarakat atau komuniti setempat sehinggalah ke peringkat dunia.

Pelajar kemudiannya harus juga diasuh untuk mematuhi arahan dan pilihan yang dibuat oleh atau bersama orang lain. Pelajar, contohnya, juga mesti boleh melupakan kebebasan untuk memilih berambut panjang atau berpakaian seksi tetapi akur dan patuh kepada peraturan sahsiah yang ditetapkan universiti agar model graduan yang diharapkan mampu dilahir. Pelajar malah dilatih untuk bersedia menerima secara terbuka jika pendapat mereka ditolak dan kehilangan rakan atau sekutu dalam mempertahankan pendapat mereka.

Acuan ini boleh dicapai jika:

(i) Pelajar dilatih dan boleh menganjurkan aktiviti di pelbagai peringkat masyarakat setempat dan sekitar

(ii) Pelajar dilatih dan boleh menyelesaikan masalah sendiri dengan penyediaan rujukan-rujukan mencukupi seperti akses kepada pelbagai bahagian dan unit di dalam universiti dan sebagainya

(iii) Pelajar dilatih berfikir dan boleh merancang dan melaksanakan perancangan yang dibuat.

(d) Membangun hubungan interpersonal matang

Membangunkan hubungan yang matang melibatkan:

(1) toleransi dan apresiasi terhadap perbezaan
(2) kapasiti intimasi atau keukhwahan.

Toleransi boleh dilihat melaui konteks antara budaya dan juga interpersonal yang terpancar melalui keupayaan bertindak balas terhadap keperluan orang lain secara tertib melangkaui keperluan sendiri atau stereotaip. Menghormati perbezaan di kalangan komuniti pelajar boleh dipanjangkan kepada perbezaan bangsa, agama, negara dan sebagainya. Kesedaran, pengalaman, keterbukaan dan tanda tanya sebenarnya bisa membantu pelajar memperhalusi penampilan, mengurangkan bias dan sifat kepuakkan sebaliknya meningkatkan empati, memperkayakan diversiti dan menghasilkan perhubungan yang jujur lagi sentiasa sihat.

Kapasiti ukhwah melibatkan kualiti hubungan di kalangan rakan dan orang yang hampir dengan pelajar. Tetapi ia mesti lari dari kebergantungan terlampau atau dominasi terlampau sebaliknya ke arah keseimbangan di antara keduanya. Pembangunan ukhwah bermaksud lebih berkongsi dari lebih meminta, memaafkan kekurangan dan menghargai kemudahan, memberi lebih pilihan di dalam menyuburkan perhubungan, membina perhubungan yang berdaya tahan dan mempu menghadapi krisis, jarak dan perpisahan.
Melalui vektor ini, para pelajar dilatih untuk mewujudkan jaringan komunikasi, rakan atau sekutu dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat yang berlainan bagi memupuk sikap kematangan mereka dalam menghadapi realiti kehidupan mendatang. Ia memerlukan 2 perkara iaitu sikap toleransi dan menghargai perbezaan dan kapasiti untuk intim terhadap jaringan sekutu yang telah diwujudkan itu.

Ia boleh dicapai melalui:

(i) Pendedahan kepada pelbagai budaya, bangsa, agama dan latarbelakang dan
(ii)Memperkukuhkan ikatan dengan orang sekeliling

(e) Pengukuhan identiti

Pembentukan identiti bergantung antara satu sama lain di antara satu vektor dengan vektor lain yang telah dibincangkan di atas: kompetensi, kematangan emosi, autonomi dan perhubungan positif. Ia seperti melengkapkan aturan batu bata semasa membina sebuah dinding. Jika satu bahagian susunan ada lompang sudah pasti dinding yang dibina juga rapuh. Pembinaan identiti merupakan satu proses penemuan pelbagai pengalaman, intensiti dan kekerapan sama ada ia membahagiakan, membina atau merosakkan.

Betapa ramai para pelajar yang sedang mengikuti pengajian masih keliru dengan jantinanya, mencintai pasangan sejenis, mengalami krisis keagamaan, terperangkap dalam fahaman politik melampau dan sebagainya. Ada pula yang berpakaian seperti pendatang asing, yang siswi pula seperti perempuan jalanan manakala siswa terlibat dengan rempit motosikal yang menunjukkan mereka secara serius sedang mengalami krisis identiti. Betapa ramai pula para pelajar yang gagal membezakan nilai mulia bilik kuliah dengan taraf sebuah bilik air di mana hanya menggunakan selipar yang sama untuk ke dua bilik yang berbeza tersebut.

Oleh itu pelajar perlu dibimbing untuk membawa identiti sebagai mahasiswa dan mahasiswi, yang mana identiti ini mudah dikenal pasti masyarakat, mengundang rasa hormat dan meninggikan nilai sesebuah universiti sesuai dengan kedudukannya. Setelah identiti ini dikenalpasti, ia perlu diperkukuhkan supaya para pelajar tidak mudah mengikut telunjuk anasir yang merosakkan seperi gerakan seks bebas, pluralisma agama, fahaman komunisma dan lain-lain.

Mengukuhkan identiti pula boleh dilaksanakan yang melibatkan:

(i)Keselesaan pelajar terhadap anggota badan dan penampilan
(ii)Keselesaan pelajar terhadap perbezaan gender dan orientasi seks
(iii) Pewujudan ikatan kekitaan dari segi konteks sosial, sejarah dan budaya
(iv)Pengiktirafan kepada tanggungjawab dan cara-hidup
(v) Tindak balas pelajar terhadap maklumbalas orang lain serta penilaian terhadap mereka
(vi) Mempercayai kemampuan diri dan mempertahankan maruah
(vii) Tingkah laku yang stabil dan boleh berintergrasi
Pengukuhan identiti juga perlu mencermin dan mempertahankan kekeluargaan, akar umbi budaya, kesucian keagamaan, perkembangan sejarah bangsa dan negara masyarakat setempat.

(f)Membangunkan tujuan

Ramai pelajar universiti masih keliru ke mana mereka hendak tuju dan mengapa mereka berada di situ walaupun jiwa mereka sedang membara dan tenaga sedang melimpah-ruah. Mereka cuma dapat mengaitkan diri mereka dengan profesyen yang mereka impikan misalnya seorang pelajar perubatan hanya boleh mengaitkan dirinya dengan kerjaya sebagai seorang doktor tetapi bukan dengan kualiti yang perlu ada untuk menjadi seorang doktor malah jarang mengaitkan diri mereka dengan tokoh-tokoh doktor terbilang.

Berapa ramai pelajar perubatan ingin jadi seperti Tun Dr. Mahathir? Rata-rata pelajar hanya menyangka bahwa sijil yang mereka perolehi akan melayakkan mereka mendapatkan kerja yang bagus sedangkan secara realitinya majikan hari ini melihat banyak aspek yang lain seperti kemahiran insaniah di dalam memilih bakal pekerja mereka.

Maka adalah menjadi fungsi kolej untuk membina skil-skil yang diperlukan, mendedahkan sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran, penguasaan dan pertambahan ilmu, mencari dan mempunyai falsafah tentang kehidupan dan akhirnya memupuk pelajar menjadi pelajar seumur hidup. Bukankan ilmu Allah itu sangat luas dan nilai ilmu pengetahuan pula sangat tinggi di sisiNya.Sebagaimana yang telah dititipkan oleh I mam Al Ghazali di dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin tentang keutamaan mereka yang menimba ilmu melalui Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

“Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari limu pengetahuan, maka Allah akan menempuhkan suatu jalan untuknya ke syurga”, - ( Hadis riwayat oleh Muslim)

Membangunkan tujuan dan fungsi memerlukan kepada keupayaan mencapai maksud, menilai minat dan pilihan yang ada, menggariskan tujuan, merangka perancangan, dan memacu usaha dan mematahkan halangan. Pelajar dlatih untuk mengadakan pelan perancangan dan serta keutamaan yang mengintergrasikan tiga elemen utama iaitu:

(1) pelan vokasional dan aspirasi seseorang pelajar
(2) minat dan matlamat personal pelajar tersebut
(3) komitmen interpersonal seperti kepada masyarakat, negara dan keluarga

(f) Membangunkan integriti

Membangun integriti sangat berhubung-kait dengan pengukuhan identiti dan memperjelas dan membangunkan tujuan. Nilai utama dan kepercayaan, menyediakan asas bagi menafsirkan segala pengalaman, memandu perlakuan, dan mengekalkan rasa hormat pada diri pelajar. Membangunkan intergriti melibatkan 3 turutan fasa yang bertindan iaitu:

(1) Menginsankan nilai di mana mengalihkan aplikasi otomatik bagi kepercayaan yang rapuh dan menggunakan pemikiran berprinsip di dalam menyeimbangkan kepentingan diri-sendiri dengan keperluan manusia lain, bangsa, agama ataunpun Negara

(2) Pemilikan nilai di mana mengukuhkan secara sedar nilai dan kepercayaan tetapi dalam masa yang sama menghormati pendapat orang lain

(3) Membangunkan kesamaan iaitu memadankan nilai personal dengan tanggungjawab kelakuan sosial

Penulis masih teringat akan coretan seorang pelajar UiTM yang mempertikaikan peraturan rambut pendik siswa dengan kaitan pencapaian akademik di laman Facebook Naib Canselor UiTM yang menimbulkan perdebatan menarik. Ramai pelajar yang menyokong pendapat pelajar tersebut namun lebih ramai yang kontra. Hujah-hujah dan gaya pendapat dikeluarkan mencerminkan intergriti pelajar yang terlibat di dalam polemik. Yang menyokong kelihatan terbawa-bawa dengan kebebasan hak asasi sedangkan yang menentang pendapat pelajar tersebut menggenggam erat matlamat dan tujuan penubuhan UiTM yang antara lain untuk menghasilkan cerdik-pandai dan profesional di kalangan bumiputera. Malah hasil amatan rambang juga boleh dilihat daripada penampilan gaya dan bahasa badan pelajar tahun akhir. Ada yang kelihatan seperti mereka yang sudah bekerja dan boleh memikul tanggungjawab besar manakala selebihnya masih seperti anak ingusan!

Menginsankan nilai beerti mengalihkan kepercayaan sendiri atau literal kepada pandangan yang lebih berkaitan dan nyata, di mana perhubungan terjalin antara peraturan dan matlamat yang sepatutnya. Walaupun peraturan perlu, namun peraturan boleh di ubah mengikut kesesuaian masa dan situasi yang kadang kala terpaksa mengubah prinsip asal sesuatu peraturan penting misalnya dalam konteks negara kita telah ada cadangan agar pemindaan dilakukan ke atas Akta Universiti dan Kolej (AUKU). Perubahan ke atas prinsip boleh diumpamakan sebagai “pembebasan” ke atas “super-ego” atau “enlightenment of conscience”.

Pelajar biasanya terjun ke alam universiti membawa bersama kekeliruan dan igauan tentang apa yang betul apa yang salah, apa yang tulen apa yang palsu, apa yang baik apa yang jahat dan apa yang penting apa yang tidak. Bagi pelajar baru, kebanyakan pegangan mereka adalah apa yang diamalkan oleh ibu-bapa, guru sekolah, imam masjid, media seperti majalah dan jangan lupa pengaruh ASTRO. Ketidak patuhan dan pengubahan kepercayaan ini akan menyebabkan timbulnya rasa bersalah, kekesalan dan kekeliruan walaupun kadang-kadang kepercayaan itu agak karut seperti penggunaan tangkal, minum air Yaasin untuk lulus periksa, gangguan makhluk halus yang menyebabkan histeria sedangkan pelajar tersebut terlalu tertekan kerana tidak bersedia atau tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Ada pelajar baru yang meminta pensyarah mengadakan tusyen untuk skor A seperti mereka skor SPM dahulu!

Melalui penginsanan nilai, diharapkan bebanan terhadap kepercayaan ini dapat dilonggarkan. Isu, masalah dan penyelesaian diteliti dan dikenal pasti. Sebagai contoh ramai pelajar dari Fakulti Seni Persembahan mengalami histeria sedangkan pelajar dari fakulti lain tidak pula, ustaz dan imam malah bomoh pun jadi buntu sedangkan apabila disiasat di dapati pelajar kurang rehat dan makan kerana latihan yang mereka jalani untuk pementasan teater terlalu memerlukan komitmen fizikal

Pemilikan nilai perlu bersandarkan kepada bidang yang mereka ceburi, misalnya jika ingin jadi wartawan mereka tidak boleh jadi pemalu dan penakut, kalau ingin menjadi peguam tidak boleh pula pendiam, kalau mahu jadi pengurus sukan mestilah boleh bersukan walaupun tak berapa bagus! Jika bercita hendak bekerja dengan konglomerat mestilah berjiwa besar, berketrampilan dan ingin jadi usahawan, sifat oportunis dan berani mengambil risiko perlu ada. Pemilikan nilai akan membangunkan kesamaan nilai di mana kejayaan kelakuannya nanti akan bergantung kepada kelompok dan khalayak yang mereka anggotai. Bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembik dan masuk kandang harimau kena mengaum, kalau tak mengaum kenalah kita mengucap!

Fasa terakhir untuk para pelajar yang hampir menamatkan pengajian ini sepatutnya telah dapat mengurangkan perdebatan di kalangan pelajar dan pentadbir universiti kerana kesefahaman telah dicapai, akibat dan pilihan telah pun jelas, malah tanggungjawab juga telah ditentukan. Setelah pelajar dilatih agar mempunyai integriti terhadap kepercayaan , nilai dan tujuan hidup, sepatutnyalah juga mereka sudah boleh menghormati diri sendiri dan orang lain.

Begitulah huraian berkenaan tujuh vector pembangunan personalia yang terdapat di dalam Model Chickering (1993). Setiapnya mempunyai komponen tambahan dan pengubahsuaian mengikut perkembangan semasa.