Tuan-Puan patut baca ini. Ucapan Profesor Matematik Melayu pertama Shaharir Mohd Zain ketika menerima gelar Profesor Emeritus daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Universiti yang ditubuhkan dengan keringat dan air mata untuk menyaksikan menerbitkan ilmu dan sains dalam bahasa sendiri.
PENILAIAN ILMU MENERUSI WARISAN SENDIRI.
Bersyukurlah kita kepada Allah SWT yang masih mengizinkan kita bersama melangsungkan majlis ini.
Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Pusat Pengajian Sains Matematik dan khususnya Dekan Fakulti Sains yang berusaha memuliakan saya hingga saya berada di sini. Kata-kata manis dan menjulang tinggi budi dan sumbangan keilmuwan saya baharu sekejap tadi sungguh menyerba-salahkan saya dan tiadalah dapat dibalas dengan lebih daripada terima kasih jua.
Saya pastinya juga berterima kasih amat kepada kepemimpinan utama universiti yang menyanjungi saya sehingga menyantuni saya seperti hari ini lalu meluncurkan saya ke awangan.
ORANG UNJUR KITA TADAH
ORANG BERTUTUR KITA BERMADAH
Pohon ikutilah ceritera rasa saya ini selanjutnya.
Jika menggunakan istilah bahasa Melayu yang terpahat pada batu bersurat Talang Tuwo di Sumatera bertarikh 684 M, UKM pada saya sebuah parlak keilmuwan. Ini metafora perlak saya daripada makna asalnya, sebuah taman botani diraja yang indah permai dengan anak-anak sungainya dan dipastikan mengandungi segala pokok yang boleh dimakan buah atau isinya untuk subahagia rakyatnya. Itulah ibaratnya kerana bagi saya, UKM berupa tempat yang ada pelbagai muara imu daripada sebuah sungai yang berliku yang anu hulunya dan berpencarlah anaknya yang berlubuk dan bermengabang mencipta kubang menjadi tempat-tempat bermandi-manda dan kekadang menyelam ke lubuk setelah puas berkubang dan bermandi-manda berpuisi, berprosa, berujikaji dan bercanda kata, mencipta pusaka.
Saya seorang daripada warga ilmuwan itu yang pernah berada di muara bernama Fakulti Sains dan berlubukkan sains matematik, bermengabangkan matematik fizik dan berkubangkan mekanik quantum dan matematik kewangan. Itulah sebabnya setelah berkelana dari UKM hampir sedasawarsa dan hari ini ditatangi dan disantuni oleh pemegang amanah institusi ini, maka saya terasa begitu sebak di hati dalam mengenang baik hati dan budi dalam rindu.
Saya percaya penghargaan ini bukan suatu pembanggaan atau penyanjungan terhadap saya dalam nirvana keilmuwan saya tetapi saya anggap suatu pertaruhan tahap kepercayaan terhadap kekuatan hati-budi saya yang mungkin menjanjikan harapan dan gapaian lebih tinggi dalam beberapa impian bersama. Dua daripada unsur kepercayaan itu saya kira adalah terhadap perkara yang sudah disebut dalam ucapan Dekan Fakulti Sains tadi, iaitu yang saya ingin ungkapkan semula sebagai wahana pewarisan ilmu UKM, dan penilaian semula ilmu di muara-muara yang selama ini dianggap tidak mungkin berhulukan di pergunungan sendiri.
Perkara wahana pewarisan ilmu UKM , iaitu pengantar ilmu kepada para pelajar UKM, sejak dalam sedasawarsa kebelakangan ini, sering menjadi igauan dan tangisan rakyat terbanyak terutamanya mereka yang mengikuti sejarah dan matlamat penubuhan universiti ini. Mereka sudah menangis dan sekali sekala meraung sejak UKM menyahut dasar PPSMI pada 2003 dahulu lagi tetapi berhenti terisak-isak pada 2011 apabila kerajaaan mengisytiharkan pemansuhan dasar tersebut di sekolah dan mengeluarkan juga Pelan (Tindakan) Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi 2011-2015 dengan harapan UKM dengan penuh kebijaksanaannya meniti Pelan tersebut. Mereka memerhati sesaujana akan penitian UKM ini dan sehingga kini isakan mereka masih belum dapat dihentikan, walaupun mereka juga menerima desiran gemalai pemimpin baharu UKM yang meniup wawasan mengembalikan wahana ilmu UKM, sesuai dengan Pelan Tindakan tersebut yang tinggal hanya setahun sahaja lagi tetapi mereka mengharap-harap akan disambung dengan Pelan Tindakan Kedua dan seterusnya. Penghargaan yang diberi kepada saya hari ini memberi harapan impian baharu saya sendiri pula tentang kealangkahan manisnya pula rasanya jika saya dicekau untuk dipergunakan atau diperhambakan saya bagi tujuan merealisasikan impian murni kepemimpinan baharu UKM kini.
Perkara penilaian semula ilmu memang menjadi perjuangan dalam buana keilmuwan saya sejak 1980-an dan tugas paling berat hingga kini ialah meyakinkan sarjana kesebidangan dengan saya, sains matematik, menerima hakikat sarat-nilainya ilmu. Bukan sahaja kerana ajaran agama Islam tidak memisahkan ilmu dengan iman (agama), iaitu “ilmu” yang terpisah atau tidak mempedulikan iman tidak diiktiraf Islam sebagai ilmu tetapi cuma bertaraf pengetahuan sahaja (yang perlu dipertingkatkan martabatnya ke singhasana ilmu), menyebabkan ilmu semestinya sarat nilai iman itu.
Bukti sarat-nilainya atau tidak semestanya ilmu pasti akan terbukti jika seseorang menilai ilmu yang diajar kepada pelajarnya atau yang diselidikinya sendiri itu dalam acuan sistem kepercayaan batinnya sendiri. Yang termudahnya, tetapi kini semakin sukar kerana wahana ilmu dipaksa dalam bahasa Inggeris sahaja, ialah melihat istilah penting dalam sesebuah ilmu itu dalam bahasa Melayu. Contohnya, istilah optimum yang menjadi satu istilah besar dalam matematik tulen dan ekonomi dan pengurusan yang maknanya dalam bahasa Inggeris biasa ialah “the best” dan matematiknya begitu canggih itu, amatlah sukar menyedari tidak semestanya konsep optimum itu.
Akan tetapi sebaik sahaja istilah optimum ini dijelaskan dalam bahasa Melayu sebagai model untuk melaksanakan makna yang dimaksudkan dengan kata sifat “yang paling baik” hampir dengan serta-mertalah rasanya seseorang akan menyedari yang kita ada makna “paling baik” yang amat berbeza dan yang memerlukan matematik yang berbeza. Bahkan “paling baik” dalam kebudayaan Melayu ialah “berpada-pada” (buat baik tidak dinasihatkan supaya seoptimum mungkin) dan apabila dihayati nilai islam pula maka “yang terbaik” ialah “yang wusta” sehingga memerlukan matematik baharu yang layak dinamai matematik pewustaan bagi menggantikan matematik pengoptimuman itu.
Begitulah juga halnya istilah “pembangunan” dengan development yang selama ini kita dikelabui dengan kebenaran teori pembangunan yang berasaskan kepada konsep development, bukannya pembangunan dalam pengertian sebenar istilah dalam Bahasa Melayu yang berasal daripada “bangun” itu dan adanya sejarah dasar pembangunan kita yang asli pada zaman Sriwijaya yang bermatlamatkan subahagia, bukannya bermatalamatkan kebendaan atau kejasmanian secara dominannya.
Penilaian ilmu menerusi aspek lainnya mungkin lebih sukar lagi, tetapi tetap perlu diterokai, iaitu menerusi pemeriksaan falsafah sesebuah ilmu yang besar kemungkinannya akan menerbitkan falsafah ilmu kita yang berhulukan sungai Thames itu betentangan dengan falsafah keagamaan kita seperti falsafah dalam fizik teori ialah ateisme, deisisme (tuhan tak relevan) atau apedulisme (falsafah tak peduli apa agama pun) atau peduli agama bukan Islam seperti Hinduisme dalam sebuah teori mekanik quantum.
Penilaian yang juga sukar caranya tetapi masih juga perlu dilakukan ialah penilaian aksiom sesebuah teori seperti aksiom teori kejadian alam semesta ini (terkenalnya teori deguman besar itu) beraksiomkan “dari ada kepada ada” sedangkan aksiom yang kejadian mengikut Islam ialah “dari tiada kepada ada.”
Penilaian atau kritikan ilmu juga amat berpotensi dapat dilakukan menerusi penggalian khazanah ilmu kita sendiri sejak abad ke-5 M dahulu, iaitu yang ditulis dalam Bahasa Melayu di batu-batu bersurat (dalam huruf Palawa dari India) dan manuskrip Melayu sejak abad ke-13 M (dalam huruf Jawi dari Arab). Penyelidikan etnoilmu dalam Bahasa Melayu ini sekaligus membantu kita mengurangkan rasa rendah diri kita berbanding dengan Eropah (Inggeris terutamanya) dan memupuk rasa pertriotisme yang lebih tinggi kerana ketiadaan pengetahuan adanya ilmu kita sendiri dalam Bahasa Melayu ) sejak abad ke-5 Masihi menyebabkan ilmu yang kita ajar sekarang amat berpusatkan Eropah (kalau pun bukan Inggeris) yang memudahkan lagi pengenyahan kebudayaan kita sendiri.
Penilaian ilmu menerusi falsafah dan aksiom ilmu serta warisan ilmu sendiri memerlukan keinsafan kepada kemuliaan sistem nilai dan sistem kepercayaan kita sendiri serta sebahagian daripada pencapaian tamadun kita sendiri berbanding dengan hak orang lain. Lagi sekali saya bukan sahaja berhasrat menyemarakkan bidang kritikan ilmu ini malah sangguplah diperhambakan diri ini dalam pemupukan keinsafan ini di muara bidang saya nanti, jika peluang dan ruang diberikan nanti, insya Allah.
Y. Amat Bhg Tun Procanselor, para pemimpin UKM yang dihormati, dan para hadirin yang bersabar sekalian) demikian sedikit cetusan rasa yang tidak sepertinya ini untuk renungan para hadirin sekalian terutamanya rakan-rakan kesebidangan saya, dan para graduan semuanya, demi gambaran wawasan dan impian bersama kita tentang wajah ilmu kita nanti bagi memajukan dan mengindahkan lagi parlak keilmuwan khususnya di UKM ini atas landasan asal kewujudan universiti ini.
Akhir kata, lagi sekali, terima kasih tak tepermanainya kepada semua peringkat kepemimpinan Universiti.
*Ucapan balas penerimaan Profesor Emeritus UKM, dibaca pada petang 3 Okt 2014 di Dewan Cancelor UKM. Judul untuk tujuan penyiaran oleh Roketkini. Teks ucapan ini disiarkan seadanya tanpa sebarang penyuntingan.
**Shaharir Mohamad Zain adalah bekas Profesor Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mantan Presiden ASASI ini adalah pakar dalam bidang Matematik, Fizik Kuantum, Sains Islam, Etnomatematik, Etnosains dan Bahasa Melayu.
Pernah bertugas sebagai Zamil Penyelidik Kanan di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Shaharir adalah salah seorang intelektual yang bukan sahaja menguasai bidangnya dengan mendalam, tapi juga berani meneroka bidang lain.
Shaharir adalah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan pelopor gagasan pemeribumian ilmu dalam konteks tamadun Melayu.
Beliau telah menulis 24 buah buku, menerjemah lima buah buku terutamanya bidang falsafah sains, serta menjadi penyunting bagi 10 buah buku di samping ratusan jurnal, makalah, prasidang yang rentas-bidang.