Kuala Lumpur - Pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Masjid Jamek Kuala Lumpur (1909) kelihatan di unjuran tanah |
Penemuan dan pembukaan Kuala Lumpur ada berkait rapat dengan Raja Abdullah bin Raja
Jaafar, adik kepada Raja Jumaat bin Raja Jaafar. Raja Jaafar Bin Raja Haji (Bapa Raja Jumaat dan Raja Abdullah ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke VI (1805 - 1832) Raja Jumaat dilantik oleh Sultan Muhammad Selangor sebagai wakil baginda di Lukut (dulu wilayah Selangor tetapi sekarang sebahagian Negeri Sembilan) dan membuka lombong bijih timah pada 1830 dan menjadi kaya.
Sultan Muhammad (1826-1857) Sultan ke III Selangor yang berkerajaan di Kuala Selangor memberitahu Raja Jaalar bahawa Lukut adalah jajahan takluk Negeri Selangor dan melantik Raja Jumaat Bin Raja Jaffar sebagai Ketua Wilayah Lukut dan mewakili baginda dalam semua urusan tadbir termasuk memungut cukai lombong bijih. Raja Jumaat dibantu oleh adiknya Raja Abdullah.
Pada tahun 1850an Sultan Muhammad, Raja Jumaat dan Raja Abdullah telah pergi ke Melaka bersabit urusan sumber kewangan dari Tauke Cina dan saudagar Eropah bagi membiayai dan menerokai lombong bijih timah baru dengan memudiki Sungai Klang. Pada ketika itu Raja Sulaiman, anak Sultan Muhammad menjadi wakil Sultan di wilayah Lembah Sungai Kelang tetapi tidak pernah menunjukkan minat untuk melombong bijih timah.
Pada tahun 1857, Raja Abdullah bersama 87 kuli lombong dari Lukut telah memudiki Sungai
Kelang dan sampai ke pertemuan sungai Gombak dengan Sungai Klang. Mereka telah mendarat ditempat yang sekarang ini dikenali sebagai Benteng.
Pada keseluruhan kawasan itu belum bernama tetapi disebabkan dipenuhi dengan lumpur maka dikenali sebagai Lumpur. Raja Abdullah telah membelanjakan wang yang begitu banyak untuk membiayai lombong-lombong yang baru di buka di Ampang dan sekitar Kuala Lumpur. Pada masa yang sama ramai orang Melayu keturunan Mandiling, Riau, Bangkahulu dan Rawa datang
berniaga membuka kedai makan, jahitan di Benteng dan Ampang.
Kumpulan kaum Melayu ini diketuai oleh Sutan Puasa keturunan Mandiling. Manakala Raja Abdullah terpaksa melantik dikalangan pelombong-pelombong Cina seorang ketua sebagai wakil kerana bilangan kuli lombong telah berlipatkali ganda ramainya dan ketua mereka yang bergelar Kapitan Cina yang pertama ialah Hiu Siew (1860 - 1862) dari suku Hakka perlantikannya disokong oleh Sutan Puasa.
Kapitan Cina ke II Liu Ngim Keng (1862 -1868) juga dari suku Hakka. Liu Ngim Keng ialah yang bertanggungjawab mengajak Yap Ah Loy ketika itu menjadi Kapitan Cina Sungai Ujung untuk datang menjadi pembantunya di Kuala Lumpur. Yap Ah Loy juga dari suku kaum Hakka berbadan tegap dan pendek. Beliau juga berasal dari Negeri China datang ke Tanah Melayu ketika berusia 17 tahun.
Yap Ah Loy menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur ke III (1868 - 1885) berusia 33 tahun lantikan dari Sultan Abdul Samad dengan sokongan Raja Abdullah. Keistimewaan Yap Ah Loy ialah kepakarannya membuat batu bata. Brickfield mendapat namanya kerana di sanalah Yap Ah Loy mempunyai kilang serta padang jemuran batu bata.
Sejak itu Kuala Lumpur banyak mempunyai bangunan diperbuat dari batu bata. Tempat pertama dibangunkan ialah di Benteng yang sekarang ini dikenali sebagai Medan Pasar. Kapitan Cina seterusnya ialah Yap Ah Shak (1885) dan terakhir ialah Yap Kwan Seng (1885-1902)
Pada tahun 1867 - 1873 telah berlaku pergolakan kuasa di limbangan Sungai Kelang antara Raja Mahadi bin Raja Sulaiman dengan Tengku Kudin (Putera Sultan Kedah berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Samad Selangor) Viceroy of Selangor dan pertelingkahan ini membuka jalan untuk campur tangan British dan pada 1874 mereka berjaya menerapi kuasa pentadbiran Kerajaan Selangor.
Pada tahun 1880 British memindahkan urusan tadbirannya dari Klang ke Kuala Lumpur. G.Davidson ialah Resident British pertama di Selangor. Pembangunan Kuala Lumpur menjadi lebih tersusun dan sistematik ketika Frank Swettenham menjadi Resident Selangor pada tahun 1882. Pada 1896 Kuala Lumpur menjadi pusat tadbir Negeri-Negeri Melayu Bersekutu kerana ia terletak di tengah-tengah empat buah Negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Sir Frank Swettenham menjadi Resident General pertama dan tinggal di Carcosa. (sekarang Carcosa Sri Negara, Hotel Mewah) 1896 - Air paip pertama di Kuala Lumpur dan mendapat bekalan air dari kolam air di Ampang.
Tahun ini juga akhbar The Malay Mail buat kali pertama dicetak di Kuala Lumpur sebanyak 200 naskah dijual dalam Bahasa Inggeris. Tahun 1900 penduduk Kuala Lumpur berjumlah lebih kurang 30,000 orang.
Pada tahun 1948 Persekutuan Tanah Melayu di tubuhkan menggantikan Malayan Union yang
ditentang sekeras-kerasnya oleh orang Melayu pada tahun 1946. Kuala Lumpur dipilih menjadi pusat tadbir. Bila Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957 Kuala Lumpur seterusnya menjadi Ibu Negara.
Pada 1 Februari 1972 Kuala Lumpur naiktaraf dari Majlis Perbandaran menjadi Dewan Bandaraya. Pada 1 Februari 1974 Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan dan terkeluar dari jajahan taaluk Negeri Selangor.
Semasa menyambut Merdeka pada tahun 1957 penduduk Kuala Lumpur ketika itu hanya 300,000 orang dan setelah 50 tahun Merdeka penduduknya telah meningkat kepada 2,000,000 orang. Kini sedikit demi sedikit beban tanggungjawab Kuala Lumpur sebagai Ibu Negara dipindahkan ke Putrajaya dalam bidang pentadbiran kerajaan, malah Kuala Lumpur kini menumpukan usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan dan komersial rantau Asia Pasifik.
Semoga rencana di atas dapat dijadikan dasar untuk memperingati nama Raja Abdullah Bin
Raja Jaafar sebagai orang yang mula-mula menemui (founder) tempat di tebing persimpangan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang yang tidak lama kemudian di tempat yang sama didirikan bandar KUALA LUMPUR - Berilah penghormatan kita kepada orang yang sepatutnya menerima penghargaan itu dengan tidak memandang kaya miskin.
Sekian. (Para terakhir di atas adalah dari katahati Haji Buyong Bin Adil- Sejarawan terkenal.)