Monday, January 7, 2019

Puisi "Kata-kata" oleh Prof Dato' Dr. Awang Sariyan

Puisi "Kata-kata"

Kata-kata
meskipun terbit sebagai deretan fonem-fonem dalam lisan
dan terakam sebagai deretan grafem-grafem dalam tulisan
ada kalanya menghiris jantung hati
membunuh kedamaian sukma
menghakis pautan kasih
merungkai simpulan hati
meleburkan silaturrahmi
apabila diungkapkan tanpa seni komunikasi
dizahirkan tanpa niat yang murni
disampaikan dengan gaya hati yang mati

Kata-kata
sewajarnya dijaga
dibaja subur menjadi pohon budi
menjadi wasilah akal dan pekerti
menjadi sangga peribadi terpuji
justeru kerana bahasa kurniaan Ilahi
sebagai acuan menzahirkan peri
tentang segala nan di dalam dan di luar diri
juga penanggap, penafsir dan penaakul sakti
segala nan dicerap pancaindera tentang alam kulliy

Kata-kata
dapat menyatukan hati
mendamaikan jiwa
memadukan persaudaraan dan persahabatan
seandainya disaluti adab dan kesantunan
tetapi dapat memecahkan benteng perpaduan
memusnahkan kemanusiaan
seandainya disaluti api kebencian dan perseteruan

~Kembara Bahasa~
6 Januari 2013/24 Safar 1434

Sultan Muhammad V Agong pertama letak jawatan



KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa hari ini adalah yang pertama berlaku dalam sejarah Malaysia, negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Peletakan jawatan itu diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan petang tadi, sekali gus menjawab persoalan dan khabar angin dalam kalangan rakyat berhubung kedudukan Sultan Muhammad V, yang baru saja kembali dari bercuti selama dua bulan.
Baginda memaklumkan peletakan jawatan itu secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.
Hingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada Majlis Raja-Raja mengenai hal berkenaan.
Dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun.
Sultan Muhammad V, yang diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan, adalah antara ketua negara yang tidak cukup lima tahun penggal perkhidmatan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016 dan ditabalkan pada 24 April 2017.
Tiga yang lain ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu dan ditabalkan dari 31 Ogos 1957 sehingga kemangkatannya pada 1 April 1960.
Almarhum Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala’iddin Sulaiman Shah yang dilantik pada 14 April 1960 mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua pada 1 September 1960.
Yang di-Pertuan Agong Ke-11, Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang ​​​​​​​memegang jawatan pada 26 April 1999, mangkat pada 21 November 2001.
Spekulasi mengenai kedudukan Sultan Muhammad V mulai tular apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Majlis Raja-raja bermesyuarat selepas Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, menamatkan tugas baginda pada 31 Disember lalu.
Sultan Nazrin menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong apabila Sultan Muhammad V bercuti selama dua bulan mulai 2 November untuk menjalani rawatan.
Pada 24 November, media luar negara melapor dan menyiarkan gambar perkahwinan Sultan Muhammad V di luar negara. Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi daripada istana mengenai perkara itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditanya mengenai perkara itu pada 30 November, menjelaskan beliau tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan perkahwinan itu.
Pada Jumaat, Dr Mahathir yang ditanya mengenai dakwaan kononnya Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini, berkata ​beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan kononnya Sultan Muhammad V akan melepaskan jawatannya. – BERNAMA