Showing posts with label AUKU. Show all posts
Showing posts with label AUKU. Show all posts

Wednesday, December 12, 2018

PINDAAN AUKU - Posting sdr Sayed Munawar pada 12-12-2018

Sebulat suara artikel 15 (2c) yang dikatakan sebagai halangan utama penglibatan pelajar dalam politik kini dibubarkan. Polemiknya kini adalah perkara 16 di dalam AUKU yang memberikan kuasa kepada pentadbiran universiti untuk menentukan bentuk-bentuk tindakan berdasarkan garis panduan dalaman universiti masing-masing masih menghantui pelajar, meski pun YB Menteri sudah memberikan jaminan bahawa kini di bawah PH, pelajar bebas beraktiviti.

Selama lebih 50 tahun AUKU mencengkam dan membina benih ketakutan bukan hanya dalam kalangan pelajar bahkan juga pentadbir universiti yang kerap kali melakukan self screening agar tidak dilihat sebagai pro-oposisi.

Benih ketakutan ini telah mengakar, menggaram dan meragi dalam psyche pentadbir universiti dan ia tidak semudah sekadar mencantas ranting-ranting mati yang ada. AUKU itu sendiri bersifat mengekang dan tiada semangat fasilitasi sewaktu mana ianya digubal. Justeru, 15 (2c) hanyalah cabang dan ranting yang mati itu.

Namun kita mengakui bahawa perkara 16 AUKU memerlukan penilitian dan masa kerana ia akan menyentuh elemen perundangan di luar perimeter kawal selia AUKU. Pemansuhan perkara ini perlu dibaca serentak dengan peruntukan-peruntukan lain dan ini memerlukan penelitian yang lebih panjang.

Dahulu, AUKU bukan semata-mata bermatlamat membisukan suara penentangan pelajar, ia juga meletakkan asas tadbir urus operasi universiti. Ia bukan semudah memadam coretan comot di atas kertas. Ia ada implikasi ke atas kewujudan dan keabsahan pengurusan universiti.

Kementerian Pendidikan memberikan komitmen memberikan wajah baru kepada AUKU secara tuntas menjelang 2020. Perbatuannya sudah ada. Niatnya sudah ditulis. Maka kita hanya perlu tunggu dan lihat adakah pentadbiran universiti semasa tidak memahami hasrat dan citra yang dibawakan di bawah kepimpinan PH?

Jika ada yang terpesong daripada hasrat ini maka bersuaralah. Ini masanya.

Warga pelajar tidak perlu terlalu taksub dengan keberadaan perkara 16 kerana seluruh Negara sedang memerhati penzahiran sebuah komitmen yang tinggi untuk mereformasikan jiwa dan raga anda sekalian. Ia peluang yang dahulunya tiada.

Jangan hanya kerana rasa curiga atau terburu-buru maka keluhuran yang lebih tinggi diabaikan, keluhuran yang ditandai dengan anugerah ruang untuk bersuara lantang.

Silakan berpencak. Menteri sudah ‘sporting’

Friday, March 2, 2012

SUARA MARHAEN Daripada Rakyat Untuk Rakyat:TENTANG AUKU oleh Zharif Badrul

SUAIKENAL BERSAMA AUKU

Sebelum anda membaca lebih lanjut dan jatuh cinta dengan AUKU, pastinya anda mahu mengetahui perkara-perkara asas mengenai Akta ini.

1. APAKAH NAMA PENUH AUKU DAN BILAKAH IA DIPERKENALKAN?

Nama penuh AUKU ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti. Ia diperkenalkan pada tahun 1971 dan kali terahir ia dipinda pada tahun 2009.

2. SIAPAKAH YANG MEMPERKENALKAN AUKU?

Ia diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran(pada masa itu) iaitu Tun Dr.Mahathir Mohamad.

3. MENGAPA AUKU DIPERKENALKAN?

Menurut Dr.Mahathir ia diperkenalkan agar mahasiswa1 dapat memberi tumpuan yang penuh kepada penguasaan ilmu di universiti.Maklumat lanjut boleh dibaca di dalam blog beliau (http://chedet.cc/blog/?p=89)

4. APAKAH ISU UTAMA YANG MELIBATKAN AUKU SEJAK AKHIR-AKHIR INI?

Isu utama yang dibangkitkan ialah penglibatan mahasiswa dalam politik. Di samping itu terdapat juga isu-isu sampingan seperti kebebasan akademik, pelantikan naib canselor oleh Menteri Pengajian Tinggi dan prosiding tatatertib.

5. APAKAH SIGNIFIKAN KES UKM4 DI DALAM ISU AUKU INI?

Kes UKM4 merupakan satu-satunya kes Mahkamah yang melibatkan AUKU. Ia melibatkan 4 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia yakni saudara Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha.

Di dalam kes ini, Mahkamah Rayuan memutuskan seksyen 15(5)(a) yang melarang mahasiswa daripada menyokong, bersimpati dan membantah mana-mana parti politik di dalam atau di luar Malaysia adalah bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

6. PINDAAN AUKU JUGA BERKAITAN DENGAN ISU ‘’AGE OF MAJORITY’’

Sewaktu mengumumkan pindaan AUKU di Parlimen dan ucapan Perhimpunan Agung UMNO, DS Najib menyatakan mahasiswa yang mencapai ‘’age of majority’’ dibenarkan untuk menganggotai parti politik. Merujuk kepada Age of Majority Act 1971, seksyen 2 memperuntukkan age of majority di Malaysia ialah 18 tahun.

7. JIKA AUKU DIPINDA, BAGAIMANA PULA DENGAN AKTA-AKTA YANG BERKAITAN(AKTA UiTM dan IPTS)?

Terdapat persamaan antara peruntukan seksyen 15(5)(a) dan seksyen 47 Akta Insititut Pengajian Tinggi Swasta serta seksyen 10(3) Akta UiTM (juga dikenali sebagai akta 174). Justeru peruntukan-peruntukan ini juga perlu dipinda.

8. APAKAH STATUS AUKU APABILA KES UKM4 DIBAWA KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN- ADAKAH IA AKAN TETAP DIPINDA?

Jika Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan maka AUKU perlu dipinda. Tetapi jika Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju, maka seksyen 15(5)(a) tidak boleh dipinda kerana ia sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Apabila kes ini diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas pindaan AUKU dibentangkan dan keputusan tersebut memutuskan seksyen 15(5)(a) tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, ada kebarangkalian ia perlu dipinda semula kerana keputusan tersebut tidak boleh dianggap sekadar subjek akademik semata-mata. Atau dalam ertikata lain, akan wujud situasi ‘’flip-flop’’ dalam meminda AUKU jika hal ini terjadi.

Bacaan seterusnya sila akses https://docs.google.com