Wednesday, February 24, 2016

156 profesor yang ditamatkan bukan keputusan kerajaan


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh 

PUTRAJAYA – Khidmat tenaga kerja profesor universiti ditentukan oleh pihak pengurusan universiti itu sendiri dan bukannya kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, semua pihak harus tahu yang had umur bagi khidmat penjawat awam  hanya sehingga 60 tahun.

Menurutnya, sekiranya perkhidmatan penjawat awam hanya akan disambung secara kontrak selepas umur seseorang itu menginjak ke 61 tahun.

“Umur 60 tahun (bagi penjawat awam) adalah umur persaraan wajib yang telah diputuskan oleh kerajaan selama ini.

“Itu adalah peraturan. Penyambungan khidmat profesor (berumur lebih daripada 61 tahun) di universiti tempatan bukan tanggungjawab kerajaan, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pihak univerisiti,” katanya  dalam sidang media ‎Majlis Penyerahan Surat Tawaran Biasiswa MyBrain di lobi Kementerian Pengajian Tinggi‎, di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Profesor Negara (MPN) menjelaskan seramai 156 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di universiti awam tidak dilanjutkan perkhidmatan susulan kekangan bajet.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, sumbangan profesor kontrak sewajarnya dihargai kerana lebih separuh daripada mereka berumur dalam lingkungan 55 tahun.

Bagaimanapun, Idris dalam sidang media hari ini menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya, hanya pihak universiti yang layak memilih dan menyambung kontrak tenaga profesor di institut pengajian masing-masing.