DIALOG ALLAH DENGAN
Apabila Allah SWT hendak menjadikan manusia yang pertama di muka bumi ini, maka Allah SWT memberitahu kepada Malaikat bahawa Allah SWT akan menjadikan sejenis makhluk yang berlainan daripada Malaikat dan juga tidak sama dengan makhluk-makhlukNya yang lain yang ada pada masa itu. Makhluk yang dimaksudkan ialah manusia. Manusia akan menjadi khalifah di muka bumi untuk membangunkan dunia ini sebagai tempat menjalani kehidupan. Dialog Allah SWT dengan para Malaikat tentang kejadian awal manusia. Allah berfirman kepada Malaikat “Aku akan menjadikan di atas muka bumi ini khalifah”, Para Malaikat menjawab ”Apakah Engkau ya Allah akan menjadikan khalifah di atas muka bumi ini? mereka yang akan melakukan bencana dengan menumpahkan darah sesama sendiri, sedangkan kami makhluk yang sentiasa beribadat dengan bertasbih, bertahmid dan mengucap Subhanallah kepada Engkau.” Allah menjawab kepada para Malaikat ”Sesungguhnya aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu tahui” (QS al-Baqarah ayat 30). Dengan jawaban tersebut semua Malaikat akur dan mengakui bahawa sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Lalu Allah SWT menjadikan manusia walaupun mendapat bantahan daripada Para Malaikat.
ASAL KEJADIAN MANUSIA MENGIKUT AL-QURAN
Allah menjadikan Adam daripada tanah liat dengan rupa bentuk yang sempurna dan cantik. Firman Allah ”Sesungguhnya Kami jadikan manusia dengan sebaik-baik bentuk” (QS al-Tin ayat 4).
ADAM DIHIDUPKAN
Setelah tubuh Adam sempurna dijadikan oleh Allah, ku tiupkan rohKu (kepunyaan ku) kepada jasad Adam, yang ditempa daripada tanah, maka bertiaraplah mereka (malaikat) sujud kepadanya (QS al-Sad ayat 72). Bersama-sama dengan roh dimasukan juga tenaga yang menjadi kekuatan kepada jasad itu, Tuhan mengabungkan nafsu, akal dan kemahuan (iradah) dengan roh dalam jasad manusia. Disamping nafsu, akal dan kemahuan yang menjadi tenaga dalam jasad Adam, Allah masukan juga dalam diri Adam apa yang dipanggil ”hawa” iaitu suatu perasaan cenderung melakukan dosa. Allah S.W.T menjelaskan tentang hawa ”Dan janganlah engkau (Nabi Daud) menurut hawa, maka kelaknya ia akan menyesatkan kamu dari jalan (agama) Allah” (QS al-Sad, ayat 26)
SEMPURNA KEJADIAN MANUSIA PERTAMA
Setelah Adam hidup dengan jasmani(jasad), rohani, nafsu, akal dan hawa, maka sempurnalah sifat-sifat kemanusiaan pada manusia yang pertama iaitu Adam. Maka sempurnalah kejadian manusia yang pertama. Sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik kejadian dan makhluk yang diciptakan oleh Tuhan.
ADAM BELAJAR DAN DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN OLEH ALLAH S.W.T
Apabila Adam telah hidup dan digelar manusia, maka Allah kurniakan kepada Adam ilmu pengetahuan yang amat luas dan Allah memberikan penghormatan yang sangat tinggi kepada manusia (Adam). Allah mengajar kepada Adam ilmu pengetahuan, Dia mengajar Adam akan segala nama benda di atas muka bumi ini, kemudian Dia memerintahkan para Malaikat supaya menyebut nama-nama benda sebagaimana yang diajar kepada Adam. Para Malaikat mengaku tidak tahu nama-nama benda itu kecuali mengetahui apa yang diajarkan oleh Allah kepada mereka sahaja. Selepas itu Allah memerintahkan Adam supaya menyebut nama-nama benda tersebut sebagaimana yang diajarkan oleh Allah, lalu Adam menyebutnya satu persatu dengan lancar.
Setelah itu Allah perintahkan para Malaikat supaya hormat sujud kepada Adam, perintah itu dituruti dan dipatuhi oleh semua para Malaikat kecuali Iblis, maka iblis dihalau oleh Allah dari rahmat-Nya, dan Iblis termasuk dalam golongan ”kufur” iaitu mereka yang engkar perintah Allah. Allah berfirman ”Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya maka Aku tiupkan roh, maka hendaklah para Malaikat tunduk dan sujud kepadanya (Adam), maka para Malaikat sujud semuanya kecuali Iblis, ia menjadi degil dan menyombongkan diri dan dia termasuk ke dalam golongan orang kafir” (QS al-Sad ayat 72-74).
BAGAIMANA HAWA (ISTERI ADAM) DIJADIKAN
Setelah lengkap dan sempurna kejadian Adam, maka hiduplah Adam disuatu tempat yang bernama syurga, Suatu hari Adam bersiar-siar menyaksikan keindahan syurga dengan kehijauan yang menyamankan mata yang memandang, derauan air sungai yang mengalir tanpa henti dan kicauan unggas yang berpasang-pasangan, lantas, terlintas didalam hati Adam, dia merasa kesunyian kerana tiada teman untuk berbicara dan tidak ada sesiapa yang akan menenangkan jiwanya.
Pada suatu ketika, sebaik sahaja bangun daripada tidur, tiba-tiba Adam melihat seorang manusia disampingnya, lalu Adam pun bertanya ”Siapakah engkau?” Manusia itu menjawab ”Saya seorang perempuan yang dijadikan untuk berjinak-jinak dengan kau”. Malaikat pun bertanya ”Siapakah nama perempuan itu?”. Jawab Adam ”Hawa”, Malaikat bertanya ”Kenapa namanya Hawa?” Adam menjawab ” kerana ia dijadikan daripada benda yang hidup, iaitu, dirinya (Adam) sendiri” (QS an-Nisa ayat 1). Dari segi akidah dan tauhid kita wajib percaya bahawa Adam dijadikan daripada tanah melalui proses tertentu oleh Allah S.W.T dan Hawa dijadikan daripada diri Adam yang satu. Jadi Hawa perlu taat kepada Adam.
ADAM DAN HAWA DIPERINTAH TINGGAL DALAM SYURGA
” Dan kami berkata; Wahai Adam tinggallah engkau dan isteri engkau dalam syurga dan makanlah makanan-makanan yang terdapat pada nya dengan mewah dan pilih apa saja yang engkau berdua inginkan dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, kalau kamu berdua berbuat demikian makan engkau berdua akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang zalim” (QS al-Baqarah ayat 35)
ADAM DAN HAWA DIKELUARKAN DARI SYURGA DAN MENJALANI HIDUP DI BUMI
Iblis berjaya memperdayakan Adam dan Hawa dengan mengatakan bahawa ”Kalau engkau berdua dapat memakan buah yang dilarang oleh Allah itu, kamu akan dapat hidup kekal dalam syurga”. Adam dan Hawa pun terpengaruh dengan kata-kata Iblis itu serta didorong oleh perasaan ingin terus hidup mewah dalam syurga, lalu mereka memakan buah larangan Tuhan itu. Bermula disaat itu, mereka telah melanggar perintah tuhan, setelah menyedari kesalahan tersebut, maka Adam telah meminta keampunan dari Allah dan Allah telah memberi keampunan kepada mereka berdua. (QS Taha ayat 120-121)
Setelah itu, Adam dan Hawa diperintahkan meninggalkan syurga dan turun ke bumi, dan dibumi keturunannya akan hidup bermusuh-musuhan antara satu sama lain dan Allah akan mengirimkan petunjuk (hidayah) kepada Adam suami isteri dan kepada zuriat mereka, dan sesiapa yang menurut petunjuk itu maka ia tidak akan sesat, menderita dan tidak akan merasa takut dan tidak akan berdukacita. (QS Taha ayat 123).
(Rujukan Utama: Tafsir Quran Karim by Prof. H. Mahmud Yunus 30 Juzu)