Tuesday, February 28, 2012

Perang Dunia Pertama, Deklarasi Balfour Dan Kesannya Terhadap Palestin

Berakhirnya Perang Dunia Pertama (1914-1918) memberikan kesan yang cukup besar ke atas dunia Islam, berikutan kekalahan dawlah Uthmaniyah dalam peperangan tersebut. Antara kesan yang penting ialah membuka laluan kepada British untuk menguasai rantau Asia Barat yang kemudiannya membawa kepada rampasan bumi Palestin oleh golongan pendatang Yahudi.

Artikel ini membincangkan bagaimana British mengalahkan pasukan dawlah Uthmaniyah pada tahun 1917, iaitu semasa Perang Dunia Pertama yang membawa kepada penawanan mereka ke atas Jerusalem. Deklarasi Balfour yang diisytiharkan oleh British pada tahun yang sama menawarkan Palestin sebagai ‘a national home’ kepada bangsa Yahudi.

Kuasa mandat juga diberikan oleh Pertubuhan Liga Bangsa kepada British untuk mentadbir Palestin, Iraq dan Transjordan manakala Perancis diberikan mandat ke atas Syria. Menerusi analisis sejarah, artikel ini cuba menilai bagaimana British memanipulasikan kuasa mandat yang diberikan kepada mereka untuk membolehkan bangsa Yahudi menetap di Barat Palestin. Di bawah mandat British ini, keizinan diberikan kepada bangsa Yahudi untuk menetap di barat Palestin, iaitu di antara Sungai Jordan dan Laut Mediteranean.

Hak ini diperuntukkan secara sah pada 25 April 1920 dalam Persidangan San Remo. Analisis mendapati pembentukan negara Israel pada 1948, dipengaruhi oleh faktor langsung perlaksanaan mandat British di Palestin yang meletakkan tanah air dan rakyat Palestin ke dalam krisis kemanusiaan, politik dan antarabangsa selama hampir satu abad.

Artikel ini juga menunjukkan bahawa pendudukan Yahudi mengancam hak rakyat Palestin. Berikutan penindasan dan tekanan yang dikenakan oleh Yahudi, telah mencetuskan gerakan kemerdekaan di kalangan rakyat Palestin serta disokong oleh bangsa Arab yang lain. Perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka daripada penindasan Yahudi berterusan sehingga ke hari ini.

Pendahuluan

Perang Dunia Pertama (1914-1918) berlaku di antara kuasa besar, iaitu British, Perancis, Rusia dan Itali sebagai Kuasa Bersekutu, di satu pihak manakala Jerman, Austria-Hungary dan dawlah Uthmaniyah sebagai Kuasa Pusat, di satu pihak lain. Pembentukan dua pakatan ini berkait rapat dengan Sistem Pakatan Eropah yang wujud selepas peperangan di antara Jerman dan Perancis pada 1870 yang mengakibatkan pembahagian Eropah kepada dua buah blok, iaitu Jerman, Austria-Hungary dan Itali yang dikenali sebagai Triple Alliance dan pihak yang satu lagi adalah Rusia, British serta Perancis yang dikenali sebagai Triple Entente yang kemudiannya disertai Itali pada 1907 (Remak, 1967: 46). Dawlah Uthmaniyah dan Bulgaria turut menyertai Tripl Alliance, walau bagaimanapun pada abad ke 20 persaingan dalam kalangan negara Eropah menggugat sistem pakatan ini (Abu Talib Ahmad & Saleha Hj Hassan, 2001: 396).

Jika dilihat latar belakang sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama, gerakan nasionalisme, konflik di Balkan dan perang Crimea menjadi faktor mendorong berlakunya peperangan. Wilayah Balkan yang diduduki oleh pelbagai bangsa seperti Serbia, Greek, Slavia dan Romania yang beragama Kristian, mendesak kuasa autonomi dari dawlah Uthmaniyah (CarriƩ, 1965 : 19-21). Namun begitu, faktor berlakunya Perang Dunia Pertama membawa kepada pelbagai pandangan. Terdapat pandangan yang menyalahkan Jerman dan sekutunya Austria-Hungary dan pandangan lain pula meletakkan tanggungjawab secara relatif kepada Serbia, Perancis, Rusia dan kuasa yang lain (Abu Talib Ahmad & Saleha Hj Hassan, 2001: 396).

Jelasnya, berdasarkan situasi yang agak kompleks dan juga saling berkait rapat, faktor yang membawa kepada peperangan boleh dikelompokkan kepada lima subjek utama, iaitu sistem pakatan yang wujud, aspek ketenteraan, semangat nasionalisme, imperialisme dalam ekonomi dan juga perkembangan industri persuratkhabaran (Fay, 1966: 33-34). Penglibatan dawlah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), bermula berikutan tawaran Jerman agar menyertai pakatan Kuasa Pusat untuk menentang Kuasa Bersekutu. Perbincangan diadakan antara pemimpin dawlah Uthmaniyah, iaitu Enver Pasha, Menteri Peperangan dan Said Halim Pasha, Perdana Menteri dawlah Uthmaniyah dengan Wangenheim, iaitu duta Jerman dan Pallavicini, duta Austria-Hungary di Istanbul pada 22 Julai 1914 (Weber, 1970: 63 ; Ali Abu Hasan, 2001: 158).

Kedua-dua pemimpin dawlah Uthmaniyah ini menandatangani perjanjian dengan Jerman pada 2 Ogos 1914 dengan menyatakan persetujuan untuk menyokong Jerman dalam Perang Dunia Pertama sekiranya memberikan bantuan dalam krisis Austria dan Serbia. Perjanjian ini dihadiri Said Halim Pasha dan juga Enver Pasha, Tal‘at Pasha, Menteri Dalam Negeri serta Ketua Parlimen, Halil Bey (Shaw: 1977 310). Dua buah kapal Jerman, iaitu Goeben dan Breslau diserang oleh tentera laut British dari Laut Mediteranean ke Selat Dardanelles. Enver Pasha membenarkan dua buah kapal tersebut berada di perairan Uthmaniyah pada 11 Ogos 1914. Bagi melindungi perkara tersebut, dua buah kapal ini dibeli oleh dawlah Uthmaniyah yang kemudiannya didaftarkan dengan nama Yavuz Sultan Selim dan Midili. Admiral Jerman, iaitu Wilhelm Souchon turut dipakaikan dengan uniform dawlah Uthmaniyah. Jerman mendesak agar dawlah Uthmaniyah menyertai perang secara rasmi untuk berhadapan dengan British di Terusan Suez dan Rusia di Odessa (Lihat Shaw, 1977: 311-312 ; Howard, 1966 : 92 ; Hyamson, 1950 : 30 dan Ermy Azziaty 2010 : 351).

Walaupun dawlah Uthmaniyah masih mengambil sikap berkecuali sejak tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Julai 1914, namun British sejak awal Ogos 1914 sudah menduga kemungkinan keterlibatan dawlah Uthmaniyah dengan memihak kepada Jerman dan sekutunya. Britain melalui dua jabatannya iaitu The India Office (Kementerian Hal Ehwal India) dan The Foreign Office (Kementerian Luar Negeri) di London, menerima laporan daripada pegawai-pegawai mereka di India, Istanbul dan Mesir mengenai persediaan tentera dawlah Uthmaniyah untuk memasuki perang (Abdul Rauh Yaacob, 1991: 6). Dawlah Uthmaniyah secara rasminya terlibat dalam perang pada 27 Oktober 1914, apabila Wilhelm Souchon membawa angkatan laut dawlah Uthmaniyah ke Laut Hitam dengan hasrat untuk mencetuskan peperangan.

Pada 28 Oktober, Rusia mengganggu angkatan laut dawlah Uthmaniyah menjalani latihan ketenteraan dan ini membuka ruang kepada tercetusnya peperangan. Pasukan dawlah Uthmaniyah kemudiannya bertindak menyerang kapal perang Rusia, iaitu Prut dan Kubanetz. Dua hari kemudia Enver Pasha memaklumkan kepada Perdana Menteri, Said Halim Pasha mengenai serangan oleh Rusia diketuai oleh komander yang pernah berkhidmat di Istanbul dan menyifatkan serangan tersebut merupakan perancangan yang telah lama diatur. Rentetan peristiwa yang melibatkan konflik dawlah Uthmaniyah-Rusia di Laut Hitam ini menjadi indikator penglibatan secara rasmi dawlah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (Mustafa Aksakal, 2008 : 178-180).

Berakhirnya Perang Dunia Pertama pada 1918, menyaksikan kekalahan berpihak kepada Kuasa Pusat. Penglibatan dawlah Uthmaniyah dalam peperangan ini juga mendedahkan wilayah kekuasaan mereka, terutamanya di Timur Tengah kepada Kuasa Bersekutu. Menurut beberapa perjanjian sulit yang dibuat oleh Kuasa Bersekutu semasa perang, seluruh wilayah dawlah Uthmaniyah termasuk wilayah yang didiami oleh bangsa Arab akan dibahagi-bahagikan antara mereka. Pemimpin Uthmaniyah menyedari hal ini setelah rancangan tersebut didedahkan oleh rejim Bolshevik yang menguasai Rusia selepas revolusi 1917 (Fadlullah Jamil, 2000: 154).

Perjanjian sulit Sykes-Picot yang ditandatangani antara British dan Perancis membahagikan Timur-Tengah kepada zon-zon yang akan diletakkan di bawah pengaruh mereka. Menerusi perjanjian ini, Perancis mempunyai autoriti di Utara Iraq, Syria dan Lubnan manakala British di Iraq, Transjordan, Haifa dan Acre. Palestin diletakkan di bawah ‘international administration’.

Keputusan yang dibuat dalam perjanjian ini turut dibincangkan dengan Rusia sebagai sekutu dalam perang. Pada peringkat awal Rusia bersetuju dengan perjanjian ini, namun begitu menolaknya berikutan tercetusnya Revolusi Bolshevik pada 1917. Rusia kemudiannya mendedahkan kandungan perjanjian Sykes-Picot dan beberapa dokumen rahsia lain yang menaikkan kemarahan orang Arab (Tessler, 1994: 147-148; Lenczowski, 1962: 72).

Pihak berkuasa dawlah Uthmaniyah menghubungi Sharif Makkah, iaitu Sharif Husayn dan memaklumkan pengkhianatan British dan mencadangkan agar memutuskan hubungan dengan kuasa tersebut dan kembali kepada sistem khilafah Islam. Namun begitu, Sharif Husayn menghubungi British memohon penjelasan, malangnya penerangan yang diberikan agak kabur, iaitu sebahagiannya pengakuan dan sebahagian lagi penafian oleh British. Dengan harapan untuk mendapat yang terbaik, pemimpin Arab terus memberikan sokongan kepada sekutunya British (Lenczowski, 1962: 77).

Pada Januari 1917, pasukan British di bawah pimpinan Jeneral Allenby sampai di Palestin dan berjaya menawan perkampungan kecil di Rafah pada 6 Januari 1917. Pasukan British memantapkan kekuatan tenteranya walaupun gagal dalam percubaan menawan Gaza. Pada 31 Oktober 1917, mereka memulakan serangan ke atas Beersheba dan akhirnya berjaya menawan Jerusalem pada 9 Disember 1917. Berikutan ini membawa kepada penguasaan secara langsung kuasa Eropah ke atas bumi Palestin. (Gideon, 2004 : 51-52).

Sepanjang penglibatan dawlah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, tidak banyak mengubah pandangan dan kesetiaan penduduk Palestin. Apabila dawlah Uthmaniyah menyebelahi Jerman pada 5 November 1914 dan menentang British, Perancis dan Rusia, kebanyakan pemimpin Palestin tetap setia dan menyebelahi dawlah Uthmaniyah. Pengisytiharan jihad yang dilakukan oleh Sultan Muhammad Rashad V (1909-1918) juga mendapat sokongan dari penduduk Palestin.

Di Nablus contohnya, perhimpunan besar-besaran diadakan di kediaman keluarga al-Nimr untuk menyatakan kesetiaan kepada Sultan dawlah Uthmaniyah. Apabila British berjaya menguasai bandar ini pada 1917, penduduknya menghantar pulang tokoh pemimpin dan ulama Uthmaniyah seperti al-Shaykh Sa’id al-Karmi, al-Shaykh Rif’at Tuffaha, ‘Abd al-Fattah Agha Tuqan dan Fayiq Effendi al- ‘Inibtawi.

Situasi yang tidak jauh berbeza juga berlaku di Jerusalem, Shukri al-Husayni, Raghib al-Nashashibi dan beberapa orang tokoh lain kekal menyokong dawlah Uthmaniyah. Al-Shaykh ‘Abd al-Qadir al-Muzaffar seorang pemidato terkenal memberikan ucapan yang hangat menyeru kepada semangat nasionalisme Palestin dan berjaya menarik perhatian khalayak untuk terus menyokong dawlah Uthmaniyah (Muhammad Y. Muslih, 1988: 89-90).

Deklarasi Balfourdan Mandat British Di Palestin

Sebelum berakhirnya Perang Dunia Pertama, Palestin merupakan sebahagian dari wilayah pentadbiran dawlah Uthmaniyah (1517-1918), tiada istilah politik yang dinamakan Palestin. Sebenarnya wilayah tersebut lebih dikenali oleh orang Arab sebagai al-Ard al-Muqaddasah (The Holy Land). Palestin juga dikenali sebagai Surya al-Janubiyya (Southern Syria), kerana dari segi geografinya terletak di Syria yang merupakan tanah besar yang masa kini terdiri daripada negara Syria, Lebanon, Israel, Palestin dan Jordan (Muhammad Y. Muslih, 1988: 11).

Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa bagi umat Islam kerana di situlah berlakunya peristiwa Isra’ Nabi Muhammad S.A.W dan juga tempat lahirnya Nabi Ismail. Manakala bagi orang Kristian pula, Palestin juga merupakan tanah air bagi Nabi Isa A.S. Dari segi sejarahnya, berkait rapat dengan penghijrahan puak daripada kabilah Kan’an yang kemudiannya menetap di wilayah yang terletak di antara Timur Laut Mediteranean hingga ke Sungai Jordan. Wilayah tersebut dinamakan Palestin. Penghijrahan kabilah Kan’an ini berlaku sekitar 3000 tahun sebelum masihi (al-‘Aliyy, 1993 : 37-38).

Sepanjang tercetusnya Perang Dunia Pertama, beberapa perjanjian ditandatangani oleh Kuasa Bersekutu yang melibatkan rancangan pembahagian wilayah kekuasaan dawlah Uthmaniyah di Timur Tengah. Antara perjanjian yang menjelaskan pembahagian wilayah tersebut ialah Perjanjian Sykes-Picot pada 1916 dan Perjanjian Versailles pada 1919. Cengkaman Kuasa Bersekutu ke atas wilayah dawlah Uthmaniyah dapat dilihat dengan jelas menerusi Persidangan San Remo pada 25 April 1920 yang memutuskan kuasa mandat Perancis ke atas Syria dan Lubnan dan British mendapat kuasa mandat ke atas Iraq dan Palestin (Hurewitz, 1968 : 17-18).

Pada 24 Julai 1922, mandat British ke atas Palestin diisytiharkan oleh Majlis Persatuan Liga Bangsa Bangsa yang turut menyentuh bahawa ‘hak asasi dan agama kepada penduduk bukan-Yahudi di Palestin’. Penjelasan dokumen ini adalah signifikan dan nyata menunjukkan bahawa orang Palestin tidak diiktiraf sebagai rakyat tetapi adalah komuniti bukan- Yahudi yang tidak mempunyai hak politik. Berikutan kuasa mandat yang diperolehi oleh British, menaikkan semangat dan harapan bangsa Yahudi untuk menubuhkan negara mereka di Palestin (Rogan & Shlaim, 2001: 19).

Konflik yang berlaku antara Arab-Israel adalah hasil daripada hasrat Zionis untuk menduduki Palestin. Theodre Herzl seorang peguam berbangsa Austria menjelaskan falsafah politik Zionis dalam bukunya yang berjudul Der Judeenstat (The Jewish State). Kongres Pertama Zionis yang diadakan di Basle, Switzerland pada tahun 1897 menetapkan matlamat “establishment of a national home for the Jews in Palestine”. Untuk mempopularkan tuntutan mereka terhadap Palestin, pihak Zionis berhujah dengan kandungan kitab Injil sebagai bukti, iaitu terdapatnya janji Tuhan kepada Nabi Ibrahim bahawa mereka akan dikurniakan tanah yang terletak di antara Sungai Nil di Mesir sehingga ke Sungai Dajlah. Zionis melihat bahawa wilayah Israel adalah terletak di antara kawasan yang dijelaskan dalam Injil tersebut. Walau bagaimanapun, A. Guillaume menafikan interpretasi daripada Injil itu hanya untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi adalah untuk orang Islam dan Kristian yang juga mempunyai pertalian salasilah dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (Shameem Akhtar, 1968: 233).

Jika ditinjau kembali, harapan Yahudi untuk membina negara mereka di Palestin jelas disokong oleh British dalam Deklarasi Balfour 1917, iaitu semasa Perang Dunia Pertama masih berlangsung. Sebelum deklarasi tersebut diisytiharkan pada 18 Julai 1917, Lord Rothchild, pemimpin Yahudi di London menulis surat kepada Arthur James Balfour, Setiausaha Luar British bagi menegaskan hasrat Zionis menubuhkan ‘national home’ untuk bangsa Yahudi.

Pada hari yang sama juga draf rasmi Zionis telahpun tersebar dalam kabinet British, yang antara lain membincangkan mengenai ‘pengiktirafan Palestin sebagai ‘national home kepada bangsa Yahudi’ dan juga berhubung dengan organisasi Zionis (Rhett, 2008: 193-194).

Pada 2 November 1917, sepucuk surat dikemukakan oleh Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour kepada Lord Rothschild. Surat ini juga ditulis dengan mendapat restu Perdana Menteri George Lloyd dan diluluskan oleh kabinet. Surat ini juga dikenali sebagai Deklarasi Balfour yang menyokong penempatan Yahudi di Palestin. Kandungan deklarasi tersebut adalah seperti berikut :

Dear Lord Rothschild,

I have much pleasure in conveying to you, on behalf of His Majesty’s Government, the following declaration of sympathy with Jewish Zionist aspirations which has been submitted to, and approved by, the Cabinet.

His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and
religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.

I should be grateful if you would bring this declaration to the knowledge of the Zionist Federation.

Signed: Arthur James Balfour

Menerusi deklarasi Balfour ini jelas menunjukkan tiga pihak yang menjadi asas penting. “His Majesty’s Government” merujuk kepada kerajaan British, pertubuhan Zionis mewakili “the Jewish People” dan “the existing non-Jewish communities in Palestin” merujuk bangsa Arab Palestin. Oleh itu pengisytiharan deklarasi Balfour menunjukkan komitmen yang jelas daripada kerajaan British membantu Zionis untuk mengasaskan negara Yahudi di bumi Palestin (Noha Tadrus Khalaf, 2011: 8).

Berikutan daripada pengisytiharan ini, pertubuhan Zionis mengeluarkan manifesto yang ditandatangani oleh Sokolov, Tschlenov dan Chaim Weizmann yang menyatakan bahawa aspirasi yang dibentuk semasa persidangan Zionis di Basle Switzerland pada tahun 1897, berada di landasan yang tepat dengan deklarasi yang diisytiharkan secara rasmi oleh kerajaan British ini (Esco Foundation of Palestine, 1947: 107-108). Di sebalik sokongan British terhadap aspirasi Zionis di Palestin adalah untuk memudahkan mereka mengetepikan perjanjian Sykes-Picot, seterusnya menggantikan perjanjian tersebut dengan satu bentuk penguasaan British yang baru(Gillon 1969 : 132).

Deklarasi Balfour dilihat sebagai satu tindakan yang tepat pada masanya untuk mewujudkan kemerdekaan politik bagi bangsa Yahudi di Palestin (Katz, 1996 : 69). Sokongan British terhadap hasrat Yahudi untuk membina negara mereka di Palestin ini jelas apabila mengizinkan penubuhan Suruhanjaya Zionis pergi ke Palestin pada 1918 untuk melakukan tinjauan terhadap koloni Yahudi di sana. Suruhanjaya ini diketuai oleh Chaim Weizmann dan dianggotai oleh Joseph Cowen, Pengarah Anglo-Palestine Company, Eder, Penasihat Perubatan dan juga wakil daripada Jewish Territorial Association, iaitu Leon Simon, Sylvain Levi, Israel M. Sieff dan dua orang wakil Itali, iaitu Bianchini dan Artom. Antara objektif penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk menghubungkan kerajaan British dengan penduduk Yahudi di Palestin, mengkoordinasi kerja-kerja kebajikan di Palestin dan membantu pelarian Yahudi, memberikan bantuan kepada pengasasan dan perkembangan organisasi Yahudi, mengukuhkan hubungan persahabatan dengan komuniti Arab dan juga bukan Yahudi, mengumpulkan maklumat, laporan berkenaan perkembangan pendudukan Yahudi dan juga negara secara umumnya dan juga untuk meninjau penubuhan universiti untuk bangsa Yahudi (Andrews, F.F1976: 2-3).

Menerusi deklarasi Balfour ini dilihat British berhasrat merealisasikan cita-cita untuk menempatkan bangsa Yahudi di Palestin dan memastikan setiap peluang yang ada untuk mencapai hasrat tersebut. Robert Cecil, iaitu pemangku Setiausaha Negara Untuk Hal Ehwal Luar Britain menyatakan bahawa isu ini menjadi persoalan penting yang mendapat perhatian jabatan ini dalam tempoh yang lama (Ingrams, 1972: 9-10). Pengisytiharan Balfour juga membawa kepada penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke Palestin yang tidak mampu disekat oleh bangsa Palestin sendiri. Kebanjiran bangsa Yahudi membuat penduduk Palestin merasa tertekan dan wilayah tersebut mula bergolak. Mereka juga merasakan deklarasi Balfour sebagai salah satu punca masalah, tekanan dan beban kepada mereka (Bisharat, 1998: 63).

Pada tahun 1918, pertubuhan Zionis Amerika menulis surat kepada ahli Kongres dan meminta mereka memberikan pandangan dan juga reaksi. Kebanyakan senator dan wakil mengumumkan sokongan mereka terhadap Deklarasi Balfour dan memberikan alasan bahawa bangsa Yahudi juga harus diberikan hak yang sama dengan bangsa lain dan pengisytiharan ‘national home’ kepada mereka akan memberikan peluang kepada bangsa Yahudi untuk memberikan sumbangan dalam peranan mereka. Sokongan Amerika ini jelas terkandung dalam Perjanjian Paris 1919. Perjanjian ini juga dilihat sebagai memberikan sokongan yang jelas terhadap penubuhan negara Yahudi di Palestin di samping jaminan yang dijanjikan untuk menjaga hak dari segi individu, agama dan juga harta bagi penduduk yang bukan berbangsa Yahudi. Perbincangan mengenai persempadanan akan dirujuk kepada masalah penyaliran dan juga sumber air dengan mencadangkan negara baru akan mengawal sumber air di Pergunungan Hermon di Timur Jordan (Esco Foundation of Palestin, 1947: 243-245).

Apabila pemimpin Hijaz, Sharif Husayn memohon penjelasan mengenai istilah ‘national home’, Komander Biro Arab di Kaherah, D.G Hogart menjelaskan bahawa deklarasi yang dikeluarkan oleh British pada 1917, tidak menyebut ‘Jewish State’. Pada 3 Jun 1922, Memorandum Churchill menjelaskan kepada bangsa Arab bahawa ‘national home’ tidak bermaksud ‘Jewish State’ dan tidak mengetepikan kedudukan bangsa Arab. Situasi ini jelas menunjukkan British mempunyai pandangan yang kedua dalam isu Palestin, tetapi bangsa Yahudi tetap meneruskan usaha mereka untuk mengasaskan Komanwel Yahudi dan menyusun organisasi untuk menapis orang Yahudi ke Palestin dalam usaha untuk menjadikan wilayah tersebut sebagai koloni Yahudi (Garaudy, 2005: 235).

Berikutan daripada perkembangan yang berlaku ini, menunjukkan bahawa usaha untuk membina negara Yahudi di bumi Palestin, mendapat peruntukan yang jelas sejak Perang Dunia Pertama. Deklarasi Balfour diisytiharkan oleh British pada 2 November 1917 dan juga mandat British ke atas Palestin. Resolusi untuk memperuntukkan mandat British ke atas Palestin dan Iraq telah pun diputuskan semasa Persidangan San Remo, berikutan kekalahan dawlah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Perpecahan yang berlaku dalam dawlah Uthmaniyah memberi peluang kepada Zionis mendapatkan jaminan politik antarabangsa untuk merealisasikan cita-cita mereka yang kemudiannya membangkitkan semangat nasionalisme bangsa Arab (Cohen, 1970: 55; Muhammad Y. Muslih, 1988: 203).

Pengisytiharan deklarasi Balfour mencetuskan kebimbangan dan kekecewaan kalangan bangsa Arab dan menggambarkan penafian terhadap kebebasan politik bangsa Arab di Palestin. Berita ini juga tersebar di Mesir dan membawa kepada bantahan oleh sebahagian pemimpin Arab dalam persidangan di Kaherah. Pihak British kemudiannya berusaha meredakan kebimbangan mereka dan berusaha untuk mengelakkan kegagalan revolusi Arab (Antonius, 1969: 267). Persidangan San Remo pada 25 April 1920 memutuskan pentadbiran kuasa mandat ke atas dunia Arab. Syria dan Lubnan diletakkan di bawah mandat Perancis, manakala Iraq dan Palestin oleh mandat British. Keputusan Persidangan San Remo ini kemudiannya diisytiharkan kepada umum pada 5 Mei 1920, membawa kepada sentimen baru dalam kalangan masyarakat Arab yang mula tidak menghormati Kuasa-kuasa Barat tersebut dan melihat hasil dari persidangan tersebut merupakan pengkhianatan kepada mereka (Antonius, 1969: 305).

Kesemua Kuasa Bersekutu yang memenangi Perang Dunia Pertama memberikan komitmen yang jelas terhadap prinsip mengurniakan ‘national home’ kepada Yahudi di Palestin. Kes Palestin ini berbeza dengan kuasa mandat yang diberikan kepada bekas wilayah dawlah Uthmaniyah yang lain. Dari sudut undang-undang juga jelas menerusi Pertubuhan Liga Bangsa, kuasa mandat di wilayah lain ditadbir berdasarkan kepentingan masyarakat tempatan, manakala mandat di Palestin adalah untuk menubuhkan ‘national home’ kepada bangsa Yahudi dan menjaga hak-hak kepada penduduk yang baru menetap di situ (Ingrams, 1972: 89).

Pemerintahan militari British dibubarkan dan Herbert Samuel dilantik sebagai Pentadbir tempatan. Kewujudan semangat nasionalisme di kalangan bangsa Arab menentang dawlah Uthmaniyah telah digerakkan oleh golongan berpendidikan di Syria, ketua-ketua pemimpin Arab di bahagian Tengah dan Timur Arabia serta gerakan kemerdekaan oleh Sharif Husayn. British mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk menggunakan semangat nasionalisme Arab untuk kepentingan mereka, terutamanya ketika peperangan dengan dawlah Uthmaniyah (Lenczowski,1962: 73).

Sharif Husayn menghubungi Henry MacMahon, pegawai tinggi British di Mesir pada Julai 1915 yang menyatakan hasrat untuk mendapatkan kemerdekaan politik bagi orang Arab. Berikutan daripada itu berlakunya surat-menyurat di antara Sharif Husayn dan MacMahon yang dikenali sebagai MacMahon Correspondence. Pada 5 Jun 1916, revolusi Arab bermula dan Sharif Husayn menaikkan semangat kebangkitan di Syria dan Hijaz dan mengancam kedudukan dawlah Uthmaniyah di Syria. Sharif Husayn menghantar puteranya Faisal ke Damsyik, Ali ke Madinah dan Abdullah mengawasi keadaan di Makkah (Antonius, 1969: 164, 176, 184). Pada tahun 1919 memperlihatkan semangat anti-British yang bertambah dalam kalangan tentera Faisal.

Pembongkaran dokumen rahsia dalam kalangan Kuasa Bersekutu, janji yang diberikan kepada Zionis dan yang paling penting ialah kemungkinan penyerahan Syria kepada Perancis membawa kepada kebangkitan politik oleh pegawai-pegawai Arab di Damsyik. Pada 8 Mac 1920, Persidangan Kebangsaan Syria di Damsyik mengurniakan gelaran Raja kepada Faisal. Perbincangan untuk memutuskan kuasa mandat dalam Persidangan San Remo membawa kesan buruk apabila dua orang pegawai British dibunuh di Iraq pada 3 Mac 1920 dan pada 1 Julai berlakunya penentangan secara besar-besaran. Pasukan tentera British seramai lebih 130,000 tidak mampu mengawal keadaan di Iraq (Lenczowski, 1962: 94-95). Pada 20 Julai 1920, kerajaan Raja Faisal runtuh dan harapan bangsa Arab untuk mencapai kemerdekaan musnah (Smith, 1992:71).

Harapan mereka adalah untuk bersatu dan mencapai kemerdekaan di Syria termasuklah Palestin dan juga Lubnan dan Iraq (Antonius, 1969: 303-304). Penduduk Palestin terpaksa menerima hakikat berada di bawah pentadbiran suruhanjaya British, yang jelas berusaha meletakkan matlamat untuk melaksanakan pentadbiran mandat British ke atas bangsa Arab dan Yahudi di Palestin (Smith, 1992 : 71).

Walau bagaimanapun reaksi yang diberikan oleh pemimpin Arab jelas berbeza dengan dasar yang cuba dilaksanakan oleh British. Pemimpin masyarakat Arab Badwi di Jordan menjelaskan bahawa bangsa Arab keseluruhannya menolak imigrasi Zionis dan meletakkan beberapa syarat kepada pihak British:-

1. Palestin merupakan hak milik bangsa Arab dan mereka tidak dapat menerima sekiranya golongan pendatang berhasrat merampas tanah air mereka.

2. Palestin adalah kesucian bagi bangsa Arab dan mereka tidak akan melupakan ancaman dan bahaya yang wujud di sekelilingnya.

3. Bahaya Zionis yang mengancam Palestin pada masa ini akan menjadi barah kepada mereka dan bangsa Arab secara keseluruhannya.

4. Demonstrasi di peringkat kebangsaan yang membawa kepada bantahan yang kuat dan berterusan daripada penduduk di seluruh tanah air kepada British dan kuasa Eropah yang lain yang menunjukkan penolakan mereka ke atas imigrasi Zionis dan tidak mahu Palestin menjadi mangsa ketamakan dan menekankan kesediaan mereka untuk mempertahankan kesucian tanah air yang menjadi warisan mereka (Ingrams, 1972:93).

Reaksi Awal Masyarakat Arab Palestin

Sejak tahun 1917, bangsa Palestin lantang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap usaha Zionis dan juga pentadbiran British di wilayah tersebut. Serentak dengan kemasukan pendatang Yahudi di Palestin pada 1919, masyarakat Arab tempatan yang terdiri daripada komuniti Islam dan Kristian mengadakan First Palestinian Arab Congress pada awal 1919 di Jerusalem bagi membincangkan persoalan Zionisme dan masa depan politik Palestin. Kesatuan antara dua agama dan komuniti ini menunjukkan wujudnya kesepakatan dalam kalangan penduduk tempatan bagi membantah kemasukan pendatang Yahudi. Persidangan mencapai kata sepakat untuk melihat penyatuan dan kemerdekaan Palestin sebagai Syria Selatan (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 106).

Pada Ogos 1921, kesatuan Muslim dan Kristian Arab, termasuklah Dato’ Bandar Jerusalem, Musa al-Husayni (1850-1934) membawa isu tersebut ke London. Wakil kedua-dua pihak tersebut membantah usaha Israel dan pemberontakan yang berlaku pada bulan Mei 1917 membawa dua langkah penting dalam pentadbiran di Palestin, iaitu penubuhan Majlis perwakilan pada 24 Julai 1922 dan juga pengisytiharan kuasa mandat ke atas Palestin oleh Pertubuhan Liga- Liga Bangsa (Rhett, 2008: 229 ).

Sesuatu yang menarik untuk dinilai semula di sini ialah sistem mandat yang diperkenalkan selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama ini dilaksanakan dengan bersandarkan Artikel 22 Persetujuan oleh Pertubuhan Liga Bangsa dalam Persidangan Paris 1919. Di bawah artikel ini menjelaskan bahawa wilayah yang didiami oleh penduduk yang tidak mampu untuk mengadakan pentadbiran sendiri akan diberikan kepada bangsa yang maju sehingga sampai satu tempoh mereka berupaya untuk menguruskan sendiri urusan pentadbiran. Sebagaimana deklarasi Balfour, kuasa mandat ini mengakui ‘hubungan sejarah antara bangsa Yahudi dan Palestin dan memastikan pengiktirafan ‘national home’ kepada bangsa Yahudi.

Di samping itu, agensi-agensi Yahudi yang bersesuaian akan dibentuk untuk memberikan nasihat dan kerjasama. The World Zionist Organization dikenal pasti sebagai medium yang sesuai untuk menubuhkan Agensi Yahudi secara rasmi pada 1929. Imigrasi Yahudi akan diselaraskan di samping memastikan hak dan kedudukan bangsa lain tidak diabaikan (www.palestinefacts.org). Di antara tahun 1919-1920, terdapat lebih daripada 10,000 imigran Yahudi memasuki Palestin. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan pekerja dan lebih kurang 8,294 memasuki Palestin pada tahun 1921. Persaingan pelbagai puak di antara
golongan pekerja ini membawa kepada pertelingkahan di antara Arab-Yahudi (Smith, 1992: 72).

Bagi kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi, isu tanah dan pemilikannya merupakan satu perkara yang serius yang berkait rapat dengan semangat kebangsaan mereka. Masyarakat Arab Palestin, terutamanya yang beragama Islam, 90 peratus daripada mereka terlibat dengan pertanian berbanding peratusan yang kecil dalam kalangan bangsa Yahudi. Pemilikan tanah kemudiannya menjadi isu yang penting dan utama sebagai asas menubuhkan negara Israel.

Zionis telah pun mengenal pasti isu ini sejak awal lagi. Dana Kebangsaan Zionis ditubuhkan pada Kongres Zionis yang ke-5, pada 1901 untuk menyelaraskan dan mengkoordinasikan usaha pemilikan dan pembelian tanah dan memastikan tanah yang telah dimiliki tidak boleh dijual (Smith, 1992: 82-83).

Perjuangan bangsa Arab di Palestin tiada kaitan dengan anti-semitik, malahan dunia Arab juga merupakan tumpuan bagi pelarian Yahudi sehingga pengisytiharan deklarasi Balfour yang dilihat sebagai api dalam sekam yang merosakkan hubungan kejiranan antara dua buah komuniti tersebut. Tuntutan Zionis terhadap Palestin adalah tidak sah dan tidak bermoral. Isu ini dikaitkan dengan hubungan Yahudi dengan Palestin sejak 2000 tahun yang lampau. Berdasarkan asas ini juga, orang Arab juga lebih layak menuntut wilayah-wilayah di Sepanyol, Perancis, Turki, Rusia dan Afghanistan yang merupakan penempatan mereka pada masa lampau (Fraser, 1980 : 50). Sejak musim panas 1919, kempen politik yang agak rancak ditonjolkan masyarakat Arab sama ada golongan senior dan muda. Kedua-dua kumpulan ini berusaha untuk
mempromosikan pandangan mereka dalam Suruhanjaya King-Crane bagi menentukan masa depan Palestin, iaitu sama ada berada di bawah pemerintahan Raja Faisal di Syria dan juga menerima kuasa mandat ke atas mereka (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193).

Pada masa yang sama, Howard Bliss yang merupakan Presiden American University of Beirut, mengutuskan sepucuk surat kepada Presiden Amerika Syarikat Woodrow Wilson, dan menyatakan bahawa rakyat Syria bergantung kepada konsep pemerintahan sendiri. Bliss mencadangkan bahawa Pesuruhjaya Amerika perlu dihantar ke Syria bagi meneruskan agenda tersebut. Walau bagaimana pun, Wilson memanjangkan cadangan tersebut kepada Majlis Pertubuhan Liga Bangsa pada 20 Mac 1919. Namun cadangan ini menyebabkan British dan Perancis keluar dari perbincangan. Sikap dan reaksi kedua-dua kuasa besar ini menunjukkan mereka begitu komited dan konsisten dalam mempertahankan mandat dan deklarasi Balfour. Namun begitu, Suruhanjaya King-Crane tetap dilantik dan menghabiskan enam minggu di Palestin dan Syria atas tujuan menemu bual para delegasi daripada empat puluh bandar dan perkampungan. Berasaskan ribuan petisyen yang diterima, pihak Suruhanjaya merumuskan bahawa Syria secara keseluruhannya perlu diletakkan di bawah pihak Amerika Syarikat atau mandat British dengan pemerintahan monarki oleh Raja Faisal.

Rancangan ini dilihat sebagai helah gerakan Zionis untuk menggantikan populasi penduduk Palestin dengan Yahudi. Cadangan Suruhanjaya King-Crane walau bagaimanapun menemui kebuntuan. Bahkan Presiden Wilson kemudiannya memberi sokongan penuh terhadap deklarasi Balfour dan mandat British di Palestin. Perkembangan ini nyata mengecewakan rakyat Palestin yang akhirnya membawa kepada gerakan kebangkitan dan pembebasan. Demonstrasi awam anti British dan Yahudi yang pertama tercetus pada musim bunga 1920, ketika berlangsungnya festival Nabi Musa yang disambut secara bersama antara komuniti Islam dan Kristian.

Persidangan seterusnya berlangsung di Haifa pada tahun yang sama diketuai oleh Musa Kazem al-Husseini. Pada persidangan ini jawatankuasa eksekutif telah dilantik bagi mengawasi perkembangan dan memberi nasihat jika perlu. Perjumpaan dengan Perdana Menteri Britain, William Churchill berjaya diatur di Kaherah sebagai usaha akhir bagi mengubah polisi British. Seperti yang dijangka perbincangan menemui kegagalan yang mengakibatkan berlakunya lebih dua ratus kematian dalam rusuhan di Jaffa (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 108). British terus bergerak pantas bagi merintis asas-asas negara Israel. Usaha tersebut direalisasikan dengan penubuhan jawatankuasa Haycroft yang mengambil sempena nama Ketua Hakim Palestin, Thomas Haycroft bagi melancarkan gerakan penempatan Yahudi di Palestin. Penubuhan ini bagaikan mempromosi dan melaksanakan deklarasi Balfour serta memprovokasikan gerakan kebangkitan rakyat Palestin. Pada 1920 juga, persidangan keempat berlangsung di Jerusalem yang diketuai Musa Kazem al-Husseini dan dihadiri oleh ratusan delegasi dari segenap ceruk dan tempat di Palestin.

Persidangan mengambil resolusi untuk menghantar delegasi yang diketuai oleh Musa Kazem al-Husseini dan dianggotai oleh Tawfiq Hammad, Amin al-Tamimi, Mu’in al-Madi, Shibli al-Jamal dan Ibrahim Shammas ke Eropah bagi menerangkan masalah rakyat Palestin. Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin Herbert Samuel tidak mengiktiraf pemergian mereka ke Eropah. Delegasi ini menjelajah dari satu negara ke satu negara yang lain. Bermula dari Kaherah kemudian ke Rom bertemu Pope Kristian. Seterusnya ke London dan kemudiannya Geneva. Di London, delegasi berjaya bertemu pemimpin Zionis, Chaim Weizmann di Bahagian Timur Tengah, Pejabat Kolonial British. Namun segala usaha itu menemui kegagalan apabila British enggan mengubah polisinya dalam deklarasi Balfour (Con Sherbok & El-Alami, 2001: 108-110).

Gerakan Kebangkitan Rakyat Palestin

Sejak berlangsungnya First Palestinian Arab Congress pada awal 1919, gerakan kebangkitan rakyat Palestin mulai memuncak. Kempen mendapat sokongan padu daripada kalangan ahli politik dan golongan muda Palestin. Kedua-dua kumpulan ini berusaha untuk mempromosikan pandangan mereka dalam Suruhanjaya King-Crane bagi menentukan masa depan Palestin, iaitu sama ada berada di bawah pemerintahan Raja Faisal di Syria atau menerima kuasa mandat ke atas mereka. (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193). Golongan politikus senior diwakili oleh Muslim- Christian Association (MCA) yang muncul di Jaffa pada November 1918 dan kemudiannya tersebar di Jerusalem. Perbandingan yang jelas semasa era pemerintahan dawlah Uthmaniyah, iaitu satu ciri penting dalam senario politik ketika ini adalah peranan yang dimainkan oleh masyarakat Kristian. Jawatankuasa pertubuhan ini yang dibentuk di Jerusalem yang diwakili oleh 28 orang Muslim dan 10 orang Kristian.

Antara barisan ahli jawatankuasa tersebut ialah ‘Arif Pasha al-Dajani selaku Presiden, al- Shaykh Tahir Abu Su’ud, al-Shaykh Musa al-Budayri, Badr Yunis, Ya’qub Farraj (wakil Kristian Greek Ortodoks), Salim Ayyub (wakil Roman Katolik). Walaupun MCA tidak mengisytiharkan mereka sebagai parti politik secara umum, pertubuhan ini jelas mendukung tuntutan politik bangsa Arab Palestin. Isu pemilikan tanah di Palestin menjadi keutamaan pemimpin MCA. Disamping itu, mereka dengan tegasnya menentang agenda ‘Jewish national home’ dan masalah imigrasi Yahudi. Barisan pemimpin ini juga menjunjung prinsip kemerdekaan Palestin dalam hubungan dalam negeri dan mereka juga dilihat antara perintis gerakan nasionalisme Palestin (Muhammad Y. Muslih, 1988: 158-162).

Jika dilihat percaturan politik golongan muda pula ialah berusaha merealisasikan cita-cita perpaduan mereka menerusi beberapa institusi yang dijadikan instrumen, iaitu Nadi al Arabi, al- Muntada al-‘Adabi dan al-Fatat. Rakyat Palestin yang menjadi ahli Nadi al-Arabi dan al-Fatat aktif menghantar utusan kepada pelbagai bandar dan kampung untuk menyebarkan permintaan yang ingin disampaikan kepada Suruhanjaya King-Crane. Antara permintaan mereka ialah :-

1. Penyatuan Palestin dan juga Syria.
2. Kemerdekaan yang menyeluruh bagi Syria dalam konteks kesatuan Arab.
3. Penolakan kepada deklarasi Balfour dan juga imigran bangsa Yahudi.
4. Penolakan terhadap apa sahaja bentuk naungan ataupun mandat.

Kebanyakan politikus muda begitu bersemangat, antaranya Rafiq al-Tamimi seorang nasionalis dari Nablus yang mempunyai kaitan dengan Pejabat Perhubungan di Beirut menyatakan bahawa ‘negara kita Palestin dipenuhi dengan semangat patrionisme Arab’. Manakala Darwaza dan Kan’an, iaitu dua orang ahli al-Fatat yang penting meneruskan usaha untuk melobi idea penyatuan Syria dan Palestin dan menuntut kemerdekaan yang sepenuhnya (Muhammad Y. Muslih, 1988: 193-194). Sebelum Suruhanjaya King-Crane tiba di Jaffa pada 10 Jun 1919, kedua-duanya pergi ke Jerusalem dan memujuk pemimpin politik di sana agar mematuhi resolusi First Palestian Arab Congress.

Manakala di Beersheeba, golongan politikus muda ini mendekati al-Shaykh al-Sufi, pemimpin Badwi yang begitu berpengaruh di daerah tersebut dan meyakinkannya mengenai bahaya ancaman daripada British dan Zionis. Oleh itu, salah satu cara yang paling berkesan untuk mengelakkan daripada bahaya tersebut ialah memperjuangkan idea penyatuan Syria di bawah Raja Faisal. Hasilnya al-Shaykh al-Sufi menaja program nasionalis Arab dalam kalangan Badwi di Beersheeba dan menghantar utusan kepada Raja Faisal di Damsyik.

Di Gaza, Shukri al Shawwa, iaitu anak sulung kepada al-Hajj Sa’id al-Shawwa merupakan seorang daripada delegasi Gaza ke First Palestian Arab Congress, mempunyai hubungan yang rapat dengan nasionalis Arab di Damsyik. Shukri menggalakkan penduduk di Gaza bangkit menentang Zionis dan British dalam usaha membebaskan Palestin. Beliau juga menyebarkan idea bahawa hanya menerusi nasionalisme Arab juga dibantu oleh Raja Faisal diharap dapat mengekang kekejaman Zionis dan berhasil membebaskan Palestin sebagaimana hasrat mereka. Tokoh-tokoh politik muda yang lain turut aktif di Gaza ialah saudara Shukri, iaitu Rushdi dan Hafiz al-‘Alami. Pertubuhan Muntada al-Adabi juga sering mengadakan mesyuarat di Selatan Gaza dan menganjurkan penentangan terhadap Zionis dan British. Para petani turut diingatkan bahawa pihak Zionis bercita-cita merampas tanah mereka. Di Tiberia, Datuk Bandar Qadri Efendi mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin Gerakan Nasionalis Arab di Damsyik (Muhammad Y. Muslih, 1988: 198-199).

Selain itu, Gerakan Nasionalisme Arab (Harakat al-Qaumiyyah al-‘Arab) diasaskan secara rasminya pada awal tahun 1950-an digerakkan oleh graduan Palestin dan Arab dari American University of Beirut. Golongan ini memulakan aktiviti-aktiviti politik mereka selepas peperangan 1948. George Habash pelajar jurusan perubatan mengasaskan gerakan ini (Baumgarten, 2005: 27). Keahlian gerakan ini juga terdiri dari kalangan lapisan masyarakat dan mendapat sambutan hangat di kem-kem pelarian di Lubnan dan juga Jordan. Gerakan Nasionalisme Arab ini turut menerima keahlian daripada kalangan pelajar menengah dan juga universiti. Golongan pendidik dan pelajar memainkan peranan penting dalam gerakan ini dan ahlinya datang dari Syria, Arab dan Jordan yang kebanyakannya berbangsa Palestin. Antara strategi yang digunakan oleh gerakan ini ialah memberikan serangan balas ke atas keganasan yang dilakukan oleh Yahudi. Mereka juga berpandangan hanya dengan serangan balas sahaja dapat menyelesaikan isu Palestin dan juga untuk kembali semula ke tanah air mereka (Baumgarten, 2005: 28)

Revolusi Arab yang berlaku pada tahun 1936 menjadi pendorong kepada usaha untuk menentukan garis sempadan di Palestin. Pihak British menubuhkan Suruhanjaya Peel untuk menyiasat kedudukan Palestin. Suruhanjaya ini mencadangkan pembentukan dua buah negara yang berasingan, iaitu untuk bangsa Yahudi dan juga Arab. Cadangan juga dikemukakan supaya British mengekalkan penguasaan mereka ke atas Jerusalem dan membentuk koridor ke Laut Mediteranean. Pada tahun 1937, suruhanjaya tersebut tiba di Palestin, rancangan rasmi Zionis dikemukakan oleh pemimpinnya, iaitu David Ben Gurion. Beliau mencadangkan sebuah negara Yahudi yang terdiri daripada lapan buah wilayah. Pada tahun 1936, penduduk Yahudi seramai 313,000 menduduki Jaffa, Ramla, Tul-karem, Haifa, Nazareth, Tiberias, Baisan dan Safed (Gideon, 2004: 197-198).

Suruhanjaya Diraja Peel mencadangkan agar diadakan pembahagian di antara wilayah Arab dan Yahudi dan percaya cadangan ini akan diterima. Namun sebaliknya berlaku apabila kedua-dua pihak Yahudi dan Arab menolak cadangan tersebut (Apter, 2008: 51). Antara sebab penolakan laporan Suruhanjaya Peel, yang pertama ialah Palestin merupakan tanah air bagi bangsa Palestin dan umat Islam, oleh itu mereka menolak sebarang idea daripada bangsa asing yang berminat dengan Palestin. Yang kedua bangsa Arab Palestin dan nenek-moyang mereka telah tinggal di tanah air tersebut selama lebih kurang 2000 tahun lamanya dan faktor yang paling asas ialah penentangan sebarang usaha untuk menubuhkan sebuah negara lain di atas tanah tumpah darah mereka ( Mkhaimar S.Abu Sada, 1996: 46)

Dalam usaha untuk mengekalkan majoriti Yahudi di wilayah tersebut yang turut diduduki oleh 394,000 orang penduduk Arab, Gurion mencadangkan supaya Jaffa, Ramla dan Tul-karem diserah kepada negara Arab termasuk Nazareth. Manakala Acre dan Gaza tidak termasuk dalam negara Yahudi kerana mempunyai penduduk Yahudi yang sedikit dan kekal sebagai kawasan yang mempunyai autonomi sendiri dan tidak dikuasai oleh Yahudi mahupun Arab. Situasi ini memungkinkan Yahudi membina penempatan di sana. Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa kesemua keluasan Palestin berjumlah 27,000km2 dibahagikan kepada 10,000 km2 untuk diserahkan kepada negara Yahudi, 14,500km2 kepada negara Arab dan 2,000km2 kekal sebagai wilayah autonomi. Manakala 500km2 masih dikuasai oleh British yang terdiri daripada Jerusalem dan Bethelem. Konsep yang dibentangkan oleh Gurion ini berdasarkan kepada kewujudan penempatan Arab dan Yahudi dan dilihat merancang penempatan Yahudi pada masa akan datang (Mkhaimar S.Abu Sada, 1996: 146).

Seterusnya dilihat pertambahan yang ketara bagi pendatang Yahudi dilihat berlaku pada tahun 1946, iaitu seramai 608,800 berbanding 1.269 juta orang Arab. Dengan nisbah 1 : 2, bangsa Yahudi memiliki aset lebih kurang 1.6 juta dunam, iaitu sebanyak 20% tanah pertanian. Kadar pemilikan tanah tersebut adalah sebanyak 6% daripada jumlah keseluruhan tanah di bumi
Palestin. Pertubuhan Liga Bangsa menubuhkan jawatankuasa khas, iaitu The United Nations Special Committee on Palestin (UNSCOP) yang ahlinya terdiri daripada wakil negara Sweden, Belanda, Czechoslavakia, Yugoslavia, Australia, Kanada, India, Iran, Guatemala, Mexico dan Peru. Berdasarkan laporan UNSCOP pada Ogos 1947 menunjukkan bahawa majoriti daripada ahlinya, iaitu lapan daripada tiga negara mencadangkan agar kuasa autonomi kepada Yahudi dan Arab dan Jerusalem diletakkan kepada pentadbiran antarabangsa (Smith, 1992:137).

Resolusi Pertubuhan Liga Bangsa pada 29 November 1947, melihat dengan progresif perpindahan kuasa daripada pentadbiran mandat British kepada Suruhanjaya Palestin yang akan menetapkan wilayah negara untuk bangsa Arab, Yahudi dan juga kedudukan Kota Jerusalem. Berikutan daripada penentangan daripada bangsa Arab terhadap usaha pembahagian tersebut dan ditambah lagi dengan keengganan British memberikan kerjasama, suruhanjaya tersebut gagal. Ketiadaan mekanisme untuk memastikan proses penyelesaian, situasi di Palestin semakin memburuk dengan konflik Arab-Israel, terutamanya dalam usaha menguasai wilayah yang strategik. Ini dibuktikan dengan pembunuhan beramai-ramai orang Arab oleh Irgun dan Stern di perkampungan Dir Yassin dan juga pembunuhan 77 orang ahli konvoi pasukan perubatan Yahudi pada 12 April 1948 (Fraser, 1980: 41).

Bermula pertengahan Mei hingga 11 Jun, Israel berjaya menyekat kebangkitan Arab selepas pasukan Arab melalui wilayah Israel. Manakala pada 6 hingga 19 Julai mereka berjaya menguasai Timur Galilee dan pada bulan Oktober berjaya merampas Negev dari Mesir. Di penghujung 1948, Israel berjaya sampai ke Timur pantai Teluk Aqaba, menghalau pasukan Jordan dan berjaya menguasai laluan ke Laut Merah. Situasi pada masa ini semakin gawat dan pemimpin Israel bercita-cita meluaskan pengaruh mereka sebanyak yang mungkin dan mengambil kesempatan di atas kelemahan penduduk Arab. Bagi bangsa Arab pula peperangan yang berlaku sepanjang tahun 1948 begitu mengecewakan dan memusnahkan harapan mereka untuk merdeka dan bebas ditambah lagi dengan pendekatan kejam Israel yang menghalau penduduk Arab yang tinggal di wilayah yang mereka kuasai. Lebih kurang 400,000 hingga 450,000 orang telah dihalau.

Di samping itu, dengan anggaran 860,000 orang penduduk Arab yang tinggal di wilayah Palestin yang dikuasai Israel telah menyusut sehingga 133,000 orang. Manakala 470,000 orang tinggal di kem-kem pelarian yang diuruskan oleh Jordan dan juga di Semenanjung Gaza di bawah kerajaan Mesir (Smith, 1992: 146).

Kebangkitan demi kebangkitan rakyat Palestin masih belum berjaya menghalau golongan Yahudi dan Zionis keluar dari Palestin. Peperangan yang berlaku adalah dalam bentuk yang tidak seimbang antara kedua belah pihak. Kelebihan dilihat memihak kepada Zionis yang disokong kuasa besar dunia. Selepas kelemahan British dalam perang dunia kedua, gerakan Zionis beralih kepada Amerika Syarikat sebagai kuasa besar baru yang menjadi sekutu rapat mereka. Perkembangan ini makin menyulitkan perjuangan rakyat Palestin. Mereka ditindas dalam segenap aspek dan ketinggalan dalam arus globalisasi dan kemodenan dunia. Tidak syak lagi, rakyat Palestin menjadi bangsa yang melarat di tanah air sendiri bahkan ada yang menyeberang ke negara Arab yang berjiran seperti Jordan, Syria dan Mesir bagi menagih simpati. Kesan kekalahan rakyat Palestin dalam perang 1948 menyaksikan tertubuhnya negara Israel. Seterusnya dunia menyaksikan pelbagai siri utama sejarah hitam bagi Palestin seperti Perang enam hari 1967, perjanjian Oslo, Kem David dan gerakan intifada. Namun kesemua episod hitam ini dilalui dengan tabah oleh rakyat Palestin. Kemunculan pelbagai gerakan politik seperti PLO, Fatah, Briged al-Aqsa, Ikhwan al-Muslimin dan Hamas adalah merupakan manifestasi dan jawapan kepada keinginan rakyat Palestin untuk bebas dan merdeka di tanah air mereka sendiri.

Penutup

Konflik di Palestin merupakan isu yang tidak berkesudahan dan bertambah serius. Perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali tanah air mereka dan maruah yang tergadai seolah-olah tiada penghujungnya. Simpati dan bantuan diberikan sama ada oleh dunia Islam dan masyarakat dunia amnya. Namun begitu, di sebalik konflik ini sejarah menunjukkan bahawa isu ini berkait rapat dengan Perang Dunia Pertama dan juga penglibatan kuasa Islam ketika itu, iaitu dawlah Uthmaniyah. Kekalahan dawlah Uthmaniyah yang menaungi dunia Arab ketika itu serta pengisytiharan deklarasi Balfour pada tahun 1917 oleh British, merupakan pemacu kepada hasrat Zionis untuk membina sebuah negara bagi bangsa Yahudi. Pengurniaan ‘national home’ kepada bangsa Yahudi di bumi Palestin merupakan antara faktor yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948. Kesannya hak serta tanah air rakyat Palestin dirampas dan kezaliman dikenakan ke atas mereka hingga ke hari ini.

(Sumber - International Journal of West Asian Studies EISSN : 2180-4788 Vo. 3 No 2 (pp 19-39))

Ramalan Peramal Antarabangsa Nostradamus Tentang Kemunculan Al-Mahdi

Peramal bertaraf antarabangsa yang amat terkenal pada hari ini adalah Michel de Nostredame atau dikenali sebagai Nostradamus, suatu nama yang hampir sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, kerana sudah begitu terkenal.

Ramalan-ramalannya sudah umum tersebar dan bukan sedikit pula yang sudah menjadi kenyataan. Antara ramalannya yang amat menggoncangkan dunia Barat ialah bahawa seorang pemimpin baru bertaraf dunia akan muncul, Islam akan kembali menguasai dunia pada alaf baru ini, dan seterusnya memerangi Kristian-Eropah.

Beliau meramalkan bahawa akan ada seorang pemimpin baru beragama Islam akan muncul dan seterusnya menguasai seluruh dunia adalah berdasarkan ramalan beliau seperti berikut:

In the year 1999 and seven months
from the sky will come the great King of Terror.
He will bring back to life the King of the Mongols;
Before and after, war reigns.

Tempat muncul pemimpin tersebut adalah di sebuah negara di sebelah Timur, bukan di negara Arab atau di sebelah Barat, berdasarkan ramalan berikut:

From the three water signs (seas) will be born a man
who will celebrate Thursday as his feast day.
His renown, praise, reign, and power will grow
on land and sea, bringing trouble to the East.

Pemimpin berkenaan akan memimpin pasukan tenteranya yang besar jumlahnya untuk menyerang dan menakluki Eropah, dan dibantu oleh seluruh umat Islam.

One who the infernal gods of Hannibal will cause to be reborn, terror of all mankind
Never more horror nor the newspapers tell of worse in the past, then will come to the Romans through Babel (Iraq).

Pemimpin berkenaan memerangi, mengalahkan dan memasuki Eropah dengan memakai serban biru, membawa undang-undang Islam untuk diamalkan oleh seluruh penduduk Eropah, dan peristiwa besar inilah yang amat menakutkan setiap hati pemimpin Kristian dan Yahudi.

This king will enter Europe wearing a blue turban,
he is one that shall cause the infernal gods of Hannibal to live again.
He will be the terror of mankind.
Never more horror

Adakah ramalan ini akan menjadi realiti, sama-samalah kita saksikan kemunculannya.

WASIAT HASSAN AL BANNA.

Wahai saudaraku, dengarlah!.

Apa yang saya mahu dari kalimat-kalimat ini ialah untuk membentangkan fikrah anda di hadapan anda sekelian. Boleh jadi detik-detik getir sedang menanti kita menyebabkan kita akan berpisah.

Pada ketika itu saya tidak akan dapat lagi bercakap atau menulis kepada kamu. Oleh itu saya berwasiat kepada anda sekelian; telitilah kalimat ini, ingatilahnya sedaya yang boleh dan bersatulah padanya. Sesungguhnya setiap kalimat ini mengandungi erti-erti yang sangat padat.

Wahai saudaraku!

Anda sekelian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas.

Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran.

Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya.

Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa..?

Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya. Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya.

Jika dikatakan kepada anda.. ini adalah politik!

Katakanlah inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti ini.

Andainya mereka mengatakan kamu penyeru revolusi.

Katakanlah, kami adalah penyeru kebenaran dan kedamaian. Jika kamu mengganggu dan menghalang dakwah kami, Allah telah membenarkan kami mempertahankan diri dan kamu adalah pengacau yang zalim.

Andainya dikatakan kepada anda; kamu meminta bantuan dari orang tertentu atau mana-mana pertubuhan.

Katakanlah, kami hanya beriman kepada Allah sahaja dan kami kufur dengan segala sekutu-sekutu.

Jika mereka berkeras meneruskan permusuhan mereka, katakanlah.. kami tidak mahu orang-orang yang jahil.

Syair - Iqbal Pujangga Islam Yang Ulung

Berikut adalah beberapa kerat syair Iqbal yang telah dialih bahasakan kepada bahasa melayu;

Hidup menunggul jangan dicita,
Cara demikian khayal semata,
Bangsa yang hidup mulia bertakhta,
Hasil berpadu rakyat jelata.

Demikian juga belia dan dara,
Berkorban terus rempuh segera,
Bila mendengar seru bicara,
Dari lambaian panji negara.

Bingkaslah bangun belia teruna
Kalimat tauhid segeralah bina
Persatukan umat bangsa dan warna
Kamulah orangnya yang layak bersama.

Di segenap pelusuk alam buana.
Memandu bangsa ke arah cahaya
Kamulah orang pemimpin ke syurga raya.

Segenap penduduk rantau dan desa,
Bangun membina kebesaran bangsa,
Tetapi kulihat Arab perkasa,
Dilatanya hancur tidak bersisa.

Tidakkah Arab zaman yang silam,
Penyusung tamadun penghebah salam,
Tetapi sekarang telah terbenam,
Bangsa satu berpecah enam?!

Bila iman menembus ke hatiku,
Hanyalah Allah hasrat citaku,
Fikiran tenang tidak terbuku,
Atau tertunduk kepada temanku.

Biarlah aku, hina dan lata
Seperti semut binatang melata
Jangan diharap aku meminta
Kepada Sulaiman kaya berjuta!

Wahai saudara yang liar engkar,
Enggan menurut Nabi muktabar
Marilah balik, ke arah sinar,
Inilah dia jalan yang benar!

- Iqbal