Tuesday, May 26, 2015

APAKAH ILMU EKONOMI POLITIK?

Mengikut tradisi ilmu ekonomi, bidang “ekonomi politik” bermaksud aliran pemikiran ahli-ahli ekonomi klasik British, terutama Adam Smith dan David Ricardo. Adam Smith dengan bukunya, The Wealth of Nations (1776) dan David Ricardo dengan bukunya Principles of Political Economy and Taxation (1817) telah mengembangkan analisa sistem ekonomi kapitalis yang sedang berkembang ketika itu. Ciri utama sistem ekonomi kapitalis yang ketara ketika itu ialah pengeluaran barang secara umum. Maksudnya, kebanyakan pengeluaran barang dan perkhidmatan ialah untuk dijual di pasaran dan bukan untuk digunakan secara langsung oleh pengeluar. 

Untuk memahami hubungan sosio ekonomi dalam masyarakat kapitalis tersebut, Smith dan Ricardo telah mengembangkan teori nilai kerja. Teori ini  menghubungkan nilai semua barang yang dikeluarkan dengan kos tenaga kerja manusia yang terlibat. Analisa aliran pemikiran ekonomi politik klasik ini kemudian digunakan oleh penulis-penulis lain yang telah menghasilkan teori ekonomi politik baru, seperti Marx, Sweezy, Bukharin, Fine dan Harrison. 

Teori baru ini mempunyai persamaan dan juga perbezaan ketara yang memisahkannya daripada teori ekonomi politik klasik. Teori ekonomi politik baru ini dikenali sebagai materialisme sejarah. Teori ini berbentuk materialis kerana menjelaskan keadaan sosial masyarakat dari segi interaksi antara manusia dengan alam sekitar dalam proses pengeluaran barang untuk memenuhi keperluan materialisme mereka. Penekanan ditumpukan kepada analisa perkembangan proses kerja dan pengeluaran, dan tidak terhad kepada teori nilai kerja seperti aliran ekonomi politik klasik. 

Tumpuan terhadap proses kerja dan pengeluaran telah menonjolkan kemunculan kelas tertentu dalam masyarakat dalam proses perkembangan ekonomi. Teori ekonomi politik baru ini juga berbeza daripada teori ekonomi politik klasik bukan hanya dan segi analisa teori nilai kerja yang berbeza, tetapi juga kerana teori baru ini menggunakan pendekatan sejarah. Maksudnya, masyarakat kapitalis difahami dan dianalisa sebagai satu tahap dalam proses perkembangan sejarah.

Dalam teori ekonomi politik baru ini, konsep ragam pengeluaran dan kapitalisme telah dimajukan bagi menggantikan ragam pengeluaran lain yang lebih awal. Kapitalisme juga dianggap sebagai ragam pengeluaran sementara dan akan digantikan dengan ragam pengeluaran lain yang lebih maju. Bidang ekonomi politik baru ini lebih luas daripada bidang ekonomi politik klasik kerana bidang baru ini  mengemukakan teori sejarah, teori pembentukan dan perubahan sosial. 

Malangnya, teori ekonomi politik baru ini telah dapat dihapuskan oleh kelas kapitalis yang berkuasa ketika itu. Penekanannya terhadap pertentangan antara kelas dalam proses pengeluaran, iaitu antara kelas kapitalis dengan pekerja, kurang disenangi oleh kelas kapitalis. Teori baru ini mengatakan bahawa hubungan antara barang dalam kebanyakan ekonomi adalah berasaskan hubungan antara kelas.  

Pada masa yang sama juga, telah muncul bidang sains sosial yang terpisah dan telah menggantikan bidang ekonomi politik yang lebih menyeluruh, khasnya ekonomi dan sosiologi. Dengan itu, analisa hubungan ekonomi, iaitu antara manusia, alam sekitar dan pemprosesan pengeluaran telah dipisahkan daripada analisa hubungan sosial antara manusia (apabila ekonomi tidak lagi melibatkan hubungan sosial antara manusia),struktur sosial masyarakat, iaitu masyarakat kapitalis khasnya. Bidang sosiologi pula mengembangkan teori yang terpisah daripada analisa masalah ekonomi utama dalam setiap aspek, iaitu pengeluaran. Perkembangan ini akhirnya menyebabkan ahli-ahli ekonomi moden terus mengetepikan teori nilai kerja dan menafikan ciri-ciri sosial ilmu ekonomi. 

Sementara itu, ahli-ahli sosiologi pula menguasai bidang yang diketepikan oleh ahli-ahli ekonomi, iaitu hubungan sosial antara kelas dan aspek politik, ideologi dan adat resam dengan tidak mengambil kira bahawa aspek tersebut telah berakar umbi dalam ragam pengeluaran kapitalis.

Disebabkan keadaan tersebut, bidang ekonomi dan sosiologi telah banyak dikritik. Akibatnya berlakulah pemulihan minat terhadap analisa ekonomi politik yang menolak pengkhususan bidang sains sosial dan berusaha untuk mencantumkan semula bidang yang telah dipisahkan untuk mewujudkan satu analisa yang unggul dan berkesan.