Thursday, November 7, 2013

Orang Melayu dan Tamadun Bangsanya





Dewasa ini pelbagai pihak ghairah mengadakan seminar dan persidangan tentang tamadun atau peradaban Melayu. Untuk apakah wacana itu jika orang Melayu tidak mengetahui maksud tamadun Melayu. Memahami tamadun sendiri bererti mengetahui pemikiran bangsa, nilai budaya bangsanya, kekuatan bangsanya, unsur yang membentuk “tradisi” bangsanya hingga terbentuk kesedaran tentang makna jati diri, atau identiti kumpulan sosiobudaya dan geopolitik “supraetnik” yang disebut “bangsa Melayu”. Mengetahui “tradisi” bangsa Melayu tidak bererti berbalik ke zaman lampau, mencari “benda” peninggalan nenek moyang bangsa Melayu. Benda lama yang dikatakan hanya sesuai dengan “dunia lama” bangsa Melayu, tidak sesuai dengan “dunia baru” orang Melayu hari ini.

Dunia tidak berubah. Yang berubah dan mengubah dunia ialah manusia. Manusia melakukan proses perubahan ini dari dalam dirinya, iaitu akal fikiran, kuasa renungan dan imaginasinya, “hati”nya. Dengan demikian manusia dapat mengubah keadaan hidupnya, mengubah nasibnya, menyelesaikan masalah ekonomi, sosial, politik, budaya, dan moralnya.

Inilah cara sesuatu peradaban itu dibentuk oleh manusia sepanjang hayat bangsa itu. Inilah tradisi manusia, tradisi bangsa, yang berubah-ubah, dari tahap yang “tidak maju” ke tahap yang “lebih maju”, dari zaman jahiliah ke zaman celik ilmu dan budaya Tradisi bukan “benda mati” atau benda statik, tetapi merupakan proses aktif dan dinamik yang dicipta, digerakkan, dan dihidupkan oleh akal dan imaginasi manusia.

Tradisi berperanan menyelesaikan masalah hidupnya dengan menggunakan sumber alam di sekeliling mereka bagi membentuk sistem ekonomi, politik, sosial, dan budaya yang “maju” dari zaman ke zaman. Sesuatu bangsa tidak pernah dalam sekelip mata menjadi kuasa ekonomi, kuasa ilmu, dan kuasa tentera melainkan bangsa itu mempunyai “acuan” yang dibentuk oleh tradisi bangsanya yang terdahulu. Demikianlah berkembangnya tradisi yang berlaku dalam sejarah peradaban Melayu sejak zaman mereka belum bertembung dengan tamadun luar dari India, Islam, dan Barat.

Tempohnya cukup panjang, dari kira-kira abad pertama tahun Masihi hinggalah ke tarikh kuasa penjajah Barat (Eropah) yang diwakili oleh bangsa Portugis, Belanda, dan Inggeris meninggalkan kawasan Alam Melayu pada tahun 1945 di Indonesia dan tahun 1957 di Tanah Melayu. Peristiwa ajaib yang berlaku sepanjang tempoh itu ialah orang Melayu tidak hilang di muka dunia, ditelan oleh kuasa tiga tamadun luar yang kuat itu, tetapi kekal hingga hari ini.

Hakikat inilah yang perlu diketahui, dipelajari, dihayati, dan dijadikan rujukan bangsa Melayu membentuk tradisi baru sebagai sambungan, tradisi bersama yang terbentuk sekian lama. Apakah dan siapakah yang bertanggungjawab membentuk dan mengekalkan tamadun ini sepanjang zaman itu? Yang menyebabkan tamadun Melayu bertahan ialah sifat “keterbukaan minda Melayu” menghadapi pengaruh dan cabaran dunia luarnya. Bagaimana kita tahu bahawa minda Melayu itu terbuka? 

Kita mengetahuinya melalui dua tanda. Pertama, melalui akal budi bangsa Melayu, dan kedua melalui peristiwa sejarah yang menggambarkan akal budi Melayu. Akal budi Melayu ialah falsafah hidup Melayu tentang alam sekitarnya untuk membentuk realiti sosial, budaya, moral, dan politiknya. Mereka melakukan perubahan di alamnya sendiri dan melalui interaksi dengan bangsa dan tamadun yang datang dari luar alamnya.

Sepanjang pertembungan orang Melayu dengan dunia luarnya, tidak pernah atau jarang-jarang berlaku peristiwa orang Melayu atau kerajaan Melayu menentang bangsa asing yang datang mengembangkan nilai tamadun mereka “secara aman”, atau menolak tamadun asing itu secara total. Orang Melayu baru terpaksa menentang kuasa asing dan menolak tamadun mereka apabila kuasa asing itu memusuhi, menyerang atau memaksa kehendak mereka terhadap orang Melayu.

Pada zaman kuasa Eropah berada di kawasan Melayu, berlaku beberapa banyak peristiwa orang Melayu (ini termasuk bangsa Melayu-Indonesia) menentang kuasa mereka, selalunya melalui perang mempertahankan hak dan tanah mereka. Contohnya, perang orang Melayu Melaka mempertahankan tanah air daripada serangan askar Portugis pada tahun 1511. Orang Melayu tidak pernah memerangi orang luar yang cuba mengembangkan agama mereka di dunia Melayu pada zaman itu sejak abad ke-7.

Kerana inilah agama Hinduisme dapat diterima oleh beberapa golongan Melayu. Kemudiannya bangsa Melayu melakukan perubahan lagi, dengan menerima agama baru, iaitu Islam. Jadi, orang Melayu pada zaman itu tidak pernah bersifat fanatik, tidak pernah menjadi bangsa yang ekstrem – jauh sekali sebagai antikemajuan. Maka pada zaman pertemuan aman antara tamadun dari India dan kemudiannya dari dunia Islam itulah tamadun Melayu mencapai kemajuan yang tinggi.

Pada zaman itulah, orang Melayu menubuhkan kerajaannya, mula-mula kerajaan Melayu-Srivijaya beragama Hindu-Buddha (abad ke-7 hingga ke-13) dan kerajaan Melayu-Islam sejak abad ke-10, yang merebak ke seluruh rantau ini, dari sebelah barat Selat Melaka ke sebelah timur, meliputi kawasan di Pulau Jawa, di Makasar, di Ternate, dan di kawasan lain.

Tamadun inilah yang tidak dapat dimusnahkan oleh kuasa Eropah walaupun melalui kekerasan dan keganasan. Melaka boleh jadi dikalahkan oleh teknologi perang bangsa Portugis, tetapi tamadun Melayu tidak pecah, tidak musnah. Kerajaan Melayu-Islam yang lain berkembang di Johor; Aceh muncul sebagai pusat kerajaan Melayu-Islam yang gigih, juga sebagai pusat pertumbuhan kegiatan pemikiran dan penulisan Melayu-Islam yang luar biasa, menghasilkan beberapa banyak karya agung dalam bidang kesusasteraan, teologi tasawuf, metafizik, dan falsafah yang terkarang dalam bahasa Melayu.

Jadi, dua faktor lain yang memainkan peranan penting sebagai benteng kukuh tamadun Melayu ialah bahasa Melayu dan agama Islam. Inilah dua alat pembentuk tamadun Melayu yang cukup tahan, dan tidak mampu dihancurkan oleh kuasa Eropah.

Tetapi faktor yang lebih penting ialah sifat akal budi atau minda Melayu. Para pemikir Melayu, sasterawan dan seniman Melayu sejak zaman mereka belum mengenal tradisi tulisan yang mantap (seperti tulisan Jawi) bertanggungjawab membentuk akal budi Melayu, menghasilkan nilai fikiran, budi atau adab yang tinggi melalui karya mereka, seperti pantun, peribahasa, pepatah, cerita lipur lara, hikayat, dan karya bercorak ilmu, dengan menggunakan bahasa Melayu yang amat kreatif. Mereka berfikir secara analogis, melalui perumpamaan, melalui kiasan dan melalui lambang untuk menyatakan makna yang empirikal, realistik, pragmatik, dan abstrak, dengan menggunakan bahasa metaforik.

Kata Aristotle, lebih 2300 tahun dahulu, dalam karangannya Poetika, manusia yang mampu berfikir secara metaforik melalui bahasa metaforik dan simbolik, tentulah manusia yang geliga atau genius otak dan imaginasinya. Bangsa manakah yang mempunyai kebolehan mengungkapkan fikiran dan perasaannya secara spontan melalui pantun yang kompleks strukturnya, berangkap dan berirama, dalam bahasa yang padat, bernas dan tidak membazir?

Yang penting, bukan sama ada fikiran itu “saintifik” atau tidak, tetapi daya fikir dan daya kreatif seniman atau pemikir Melayu. Tentulah, manusia seperti itu berkemampuan, dari segi daya kognitifnya, untuk berfikir secara metamatikal, saintifik, dan logikal, kalau mereka mempelajari ilmu matematik dan sains dalam bahasanya sendiri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu hari ini tidak mengetahui, tidak mempelajari, dan tidak memahami tamadun Melayu. Yang mereka nampak, melalui teropong orang lain atau melalui cara berfikir “kolonial” dan “pascakolonial” (tetapi mereka tidak menyedari hal ini) tentang kelemahan dan keburukan bangsa Melayu. Maka berlakulah krisis pemikiran, budaya, akal budi Melayu dalam kalangan orang Melayu hari ini: Barat pun tidak, timur pun tidak, Islamik pun tidak, Melayu pun tidak.

Nilai adab, nilai budi, makin lama makin luput daripada “minda” dan pekerti Melayu “moden” yang tidak maju itu, yakni maju dari segi pemikiran dan akal budi mereka sebagai bangsa Melayu yang mewarisi tamadun yang hebat itu. Kisah dan realiti tamadun atau tradisi Melayu ini sepatutnya didedahkan, dihebahkan dan diajarkan kepada semua golongan Melayu di negara ini, termasuk para pegawai Melayu, peniaga, usahawan, ahli korporat, kapitalis Melayu, ahli UMNO, PEMUDAnya, WANITAnya, dan komponen PUTERInya, dan ahli politik PAS, PKR bahkan para menteri Melayu.

Anak-anak muda Melayu yang dikatakan makin banyak yang menjadi mangsa perniagaan dadah di Malaysia, yang dikatakan suka melepak dan berfoya-foya, harus dipulihkan melalui didikan tamadun Melayu. Tamadun Melayu mesti dijadikan bahan pendidikan penting di sekolah dan di universiti. Jangan kita terlalu sibuk membicarakan tamadun atau peradaban Melayu di peringkat akademik dan dalam kalangan sarjana tamadun Melayu sahaja kalau mesejnya tidak sampai ke seluruh umat Melayu. Buku tentang tamadun Melayu perlu diterbitkan sebanyak mungkin.

Barulah segala wacana tentang peradaban Melayu ada hasil praktiknya, untuk mengubah minda atau fikiran Melayu daripada yang tidak beradab kepada “yang berbudi” atau beradab. Peradaban berdiri atas adab. Kemajuan dalam bidang apapun, terutama dalam bidang fizikal atau materialistik, pasti tidak akan tahan lama, jikalau kemajuan itu tidak disandarkan pada akal dan pemikiran yang beradab. Tradisi ini ada pada bangsa Cina, bangsa Jepun, dan bangsa-bangsa lain yang tidak melakukan keganasan di dunia ini, seperti yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat yang dipimpin oleh orang yang mewarisi sejarah keganasan sejak zaman nenek moyang mereka memusnahkan penduduk peribumi di situ.