Tuesday, October 15, 2019

Zaman Penjajah Jepun di Tanah Melayu

Tahun 1939-1945 - Semangat Melayu Menentang Penjajah

Perang Dunia Kedua telah mulai berlaku di benua Eropah pada 3 haribulan September 1939, manakala tentera Hitler, Diktatur Jerman yang menggila-gila hendak menaaluki benua Eropah itu dengan tidak mengisytiharkan perang lebih dahulu telah menyerang kilat dan mara masuk ke negeri Poland yang tidak dapat mempertahankannya. Britain yang telah bersungguh-sungguh berusaha hendak mengekalkan perdamaian dan keamanan dunia dengan rundingan-rundingan dengan Hitler, telah terseret, mahu tidak mahu, terpaksa mengisytiharkan perang ke atas Jerman, dengan serta merta. Sebelum Hitler melanggar Poland, ia telah membuat satu pakatan dengan Mosolini, Diktatur Itali dan General Tojo, Perdana Menteri Jepun. Masing-masing mereka itu mempunyai angan-angan tamak Jajahan. Mosolini hendak menakluk benua Afrika manakala General Tojo hendak menakluk benua Asia. Pakatan tiga negeri ini dipanggil oleh orang-orang Melayu kuasa pasak. Itali pun terus bergerak di Eropah dan Afrika dengan bekerjasama dengan Jerman. Jepun menunggu masa dan peluangnya di Asia.

Di sebelah British, selain daripada negeri-negeri di dalam Commonwealth, dan negeri jajahan takluk dan negeri-negeri di bawah naungan yang dengan sendirinya terseret, adalah Perancis, Belgium, Belanda dan lain-lain yang menjadi mangsa serangan Hitler itu, dan kemudiannya Amerika dan Soviet Union atau Rusia. Semua ini dipanggil Allied. Orang-orang Melayu memanggilnya Pihak Berikat.

Di dalam masa yang singkat sahaja, sebuah demi sebuah negeri Eropah telah jatuh ke tangan Hitler. Belgium dan Belanda telah jatuh begitu mudah kerana tidak dapat menahan serang kilat Jerman yang kuat itu. Akhirnya Peranchis juga jatuh ke tangan Jerman. Britain tinggal keseorangan. Tenteranya di medan perang Eropah telah diburu lintang pukang undur ke Dunkirk dan terus ke England dengan keadaan kelam-kabut.

Jepun, berpura-pura hendak berbuat baik dengan Amerika Syarikat manakala seorang utusannya telah dihantar berunding dengan Amerika Syarikat di dalam rundingan-rundingan yang tiada berkeputusan. Sungguhpun Amerika Syarikat belum lagi bercampur di dalam peperangan ketika itu tetapi ia telah menghantar satu angkatan lautnya yang berkumpul di Pearl Harbour, Hawai. Di dalam masa utusan khas Jepun itu sedang berunding di Washington, dengan tidak semena-mena tentera udara Jepun telah menyerang (pukul curi) beberapa kawasan Amerika Syarikat dan Britain di Asia Tenggara, termasuk Tanah Melayu dan Singapura dengan serentak.

Begitulah bencana perang dunia kedua itu telah mulai dialami di Tanah Melayu, ialah pada pukul 12.35 minit tengah malam 8 Disember, 1941, manakala ketika itulah tentera udara Jepun menyerang dengan serentak Pearl Harbour di Pulau Hawai, Hong Kong, Filipina dan Tanah Melayu, termasuk Singapura, dengan tidak mengisytiharkan perang lebih dahulu. Setelah menghancurkan sebahagian besar daripada angkatan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour itu dan meletupkan bom di Tanah Melayu, Hong Kong, Singapura dan Filipina pada tengah malam itu, pada keesokan paginya baharulah Jepun mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat dan Britain.

Dengan demikian, Amerika Syarikat terseret ke dalam peperangan dunia itu. Pihak British, Perancis, Amerika Syarikat dan lain-lain sekutunya termasuk negeri Cina Kebangsaan yang bermusuh dengan Jepun itu, adalah dipanggil Pihak Berikat.

Ketika itu sungguhpun Tanah Melayu, termasuk Singapura, sedang dikawal oleh tentera British terdiri daripada askar-askar British sendiri, Australia, India, Gurkha dan askar-askar Melayu tetapi alat senjata tidak begitu mencukupi. Kapal-kapal terbang tidak mencukupi untuk mempertahankan angkasa Tanah Melayu, begitu juga kereta-kereta kebal dan meriam-meriam besar.

Di dalam pada itu pihak British telah tersalah ramalan,didalam membuat pertahanan. Mereka menjangka sebarang serangan ke Tanah Melayu dari luar, akan berlaku dari laut atau dari pintu hadapan iaitu melalui Singapura. Oleh itu segala alat pertahanan ditumpukan di Singapura seperti meriam besar menghala ke laut, dati naval base diperkuatkan. Tetapi apa yang berlaku, ialah tentera Jepun telah menyerang dan mendarat dari pintu belakang iaitu di bahagian utara Tanah Melayu melalui Siam, Petani dan Kelantan dan terus mara ke bahagian timur, tengah dan barat Tanah Melayu.

Askar British, sungguhpun melawan tetapi tidak dapat menahan kemaraan tentera Jepun yang merempuh dengan degil itu dan terpaksa sentiasa undur dan undur ke Selatan. Dan akhirnya semua tentera British di Tanah Melayu telah undur ke Singapura.

Di dalam tempuh tujuh puluh hari sahaja tentera Jepun telah menyapu bersih tentera British di tanah besar Semenanjung Tanah Melayu ini dan terus mereka mara ke Singapura, iaitu pada awal tahun 1942. Pertempuran hebat telah berlaku di Singapura terutama di Pasir Panjang. Di situlah sepasukan Askar-askar Melayu yang diketuai oleh Lieutenant Yazid telah menunjukkan semangat keberanian dan perjuangan sebagai pahlawan baka Melayu turun temurun yang pantang menyerah. Mereka melawan berhabis habisan walau Jepun menyeru mereka menyerah diri tetapi mereka terus melawan dengan semangat perjuangan yang tidak mengenal maut.

Sungguhpun mereka tewas dan Tanah Melayu telah jatuh ke tangan Jepun tetapi semangat dan nama baik mereka sebagai pahlawan Melayu adalah bukan sahaja dikenang dan dijunjung tinggi bahkan juga menjadi contoh tauladan kepada perajurit perajurit dan ahli-ahli angkatan bersenjata Melayu turun-temurun. (Mudah-mudahan Tuhan tempatkan arwah mereka dan rakan-rakan seperjuangan mereka — ahli-ahli Askar Melayu — yang telah gugur itu — di antara ahli-ahli Syuhada').

Akhirnya pada 15 haribulan Februari tahun 1942, tentera British telah menyerah kalah. Pada masa itu, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu ialah Sir Shenton Thomas yang juga menjadi Pemerintah Tinggi Tentera di Tanah Melayu, kerana jawatannya. Pemerintah tentera British di dalam peperangan Tanah Melayu itu ialah Lieutenant General Percival dan pemerintah tentera Australia di Tanah Melayu ialah Lieutenant General Gorden Bennet yang telah lari balik ke Australia sebelum Singapura jatuh. 

Pemerintah tentera Jepun itu ialah General Yamashita, yang digelar Harimau Malaya. Dengan kejatuhan Singapura itu, seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah berpindah tangan daripada penjajah British kepada penjajah Jepun. Setakat ini tamatlah riwayat Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.