Monday, October 14, 2013

Tentang Bank Dunia



Bank Dunia atau dahulunya dikenal sebagai Bank Antarabangsa bagi Penyusunan Semula dan Pembangunan ditubuhkan semasa persidangan di Bretton Woods di Amerika Syarikat pada tahun 1944. Pada awalnya penubuhan bank ini bertujuan membiayai pembinaan semula Eropah yang musnah selepas Perang Dunia Kedua, tetapi kemudiannya peranannya diluaskan bagi menyediakan bantuan kewangan dan teknik kepada negara-negara sedang membangun di Amerika Latin, Afrika dan Asia. Sebahagian besar pinjaman daripada bank ini disediakan bagi membiayai projek-projek pembangunan seperti pembinaan untuk kemudahan pengangkutan termasuk jalan raya dan pelabuhan, loji hidroelektnik dan sistem tali air. 

Keahliannya terbuka kepada semua negara. Negara ahli ini akan menyumbangkan modal kepada Bank Dunia, dengan jumlah peruntukan berdasarkan pendapatan negara dan perdagangan antarabangsa. Di samping sumbangan modal ini, Bank Dunia juga mendapatkan sumber kewangannya dengan mengeluarkan bon-bon di pasaran modal antarabangsa seperti di pasaran London dan New York. Bank Dunia menyediakan pinjaman kepada kerajaan atau agensi-agensi kerajaan. 

Badan-badan swasta juga boleh meminjam tetapi mesti dijamin oleh kerajaan mereka. Sebelum pinjaman diluluskan satu pasukan yang mengandungi pakar-pakar dari segi teknik akan terlebih dahulu dihantar untuk menilai projek berkaitan dan mengkaji jenis pembiayaan yang pihak bank boleh sediakan. Projek yang diluluskan adalah yang berdaya maju dan produktif serta menyediakan pendapatan kepada negara. 

Pendapatan negara berkenaan mestilah mencukupi untuk membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan, kadangkala sehingga 30 tahun. Bank akan memanjangkan bantuan kewangannya sekiranya modal persendinian negara-negara ahli tidak mencukupi pada sesuatu jangka masa tertentu. Di samping pinjaman yang dikeluarkan, Bank Dunia juga menyediakan bantuan dan segi teknik dan khidmat nasihat terhadap keseluruhan rancangan pembangunan dan projek-projek pelaburan yang khusus. Ini termasuklah bantuan untuk menjalankan penyelidikan, latihan dan kajian-kajian yang berfaedah. 

Kewujudan Bank Dunia mi adalah didorong oleh perkembangan ekonomi dunia yang menyaksikan beberapa negara menghadapi masalah kewangan serta memerlukan bantuan dan segi teknik dan khidmat nasihat. Bantuan-bantuan yang disediakan secara amnya adalah untuk membantu negara-negara berkenaan serta memperbaiki taraf hidup masyarakat dunia keseluruhannya.