Showing posts with label Kemerdekaan. Show all posts
Showing posts with label Kemerdekaan. Show all posts

Thursday, August 28, 2025

Erti Kemerdekaan Menurut Prof. Naquib Al-Attas

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang tokoh pemikir Islam dari Malaysia, mempunyai pandangan yang mendalam tentang erti kemerdekaan (freedom/independence) yang berbeza daripada tafsiran politik atau fizikal semata-mata.

---

🌿 Pandangan Prof. Naquib al-Attas tentang Kemerdekaan

1. Kemerdekaan sebagai Pembebasan Jiwa

Menurut beliau, kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal atau politik, tetapi yang lebih penting ialah pembebasan rohani, akal, dan jiwa manusia.

Beliau menekankan bahawa bangsa yang benar-benar merdeka ialah bangsa yang bebas daripada kejahilan, hawa nafsu, dan peniruan buta terhadap budaya asing.

---

2. Kemerdekaan dan Pendidikan

Al-Attas berpendapat bahawa pendidikan adalah asas utama kemerdekaan.

Jika sistem pendidikan masih diwarisi daripada kolonialisme tanpa penyesuaian kepada worldview Islam, maka bangsa tersebut masih “terjajah” dalam pemikiran.

Oleh itu, beliau menekankan Islamisasi ilmu sebagai jalan pembebasan intelektual dan spiritual.

---

3. Kemerdekaan sebagai Adab

Dalam kerangka pemikirannya, adab (meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar) adalah kunci kepada kemerdekaan sejati.

Kemerdekaan bermakna masyarakat dapat hidup dengan tertib, beradab, serta berpaksikan nilai kebenaran (haqq).

---

4. Kemerdekaan dan Identiti

Bagi beliau, merdeka juga bererti menjadi diri sendiri sebagai umat Islam, tidak larut dalam nilai materialisme atau sekularisme Barat.

Beliau mengingatkan bahawa bahaya sebenar selepas merdeka adalah apabila bangsa itu kehilangan identiti spiritual dan budaya.

---

📌 Ringkasan

Menurut Prof. Naquib al-Attas:

Kemerdekaan sejati = pembebasan jiwa, akal, dan budaya daripada belenggu kolonialisme, kejahilan, hawa nafsu, dan dominasi worldview Barat.

Kemerdekaan harus diiringi dengan pendidikan berasaskan Islam, adab, dan kesedaran identiti supaya bangsa tidak kembali “terjajah” dalam bentuk baharu.

Friday, October 4, 2019

KEMERDEKAAN NEGARA

Peristiwa Tengah Malam

31 Ogos 1957, tarikh bersejarah yang tidak akan luput daripada ingatan setiap rakyat baik mereka yang lahir sebelum tarikh itu atau selepasnya. Pada hari itulah negara kita yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Malam 30 Ogos 1957. Tidak kurang daripada 50,000 manusia berhimpun di Padang Kelab Selangor. Mereka telah datang awal-awal lagi untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Masing-masing berebut-rebut untuk mendapat tempat yang paling rapat dengan pentas khas, tempat perisytiharan negara merdeka akan dibuat. Semangat mereka berkobar-kobar seolah-olah tidak sabar lagi untuk melihat kelahiran sebuah negara baru. Mereka sanggup menunggu berjamjam lamanya hingga ke larut malam untuk sama-sama merakamkan sejarah negara baru merdeka.

Mereka ingin menikmati udara pada malam kebebasan di tengah-tengah keriangan kemerdekaan.
Suasana malam itu sungguh meriah. Mereka berpesta. Banjiran manusia di padang tidak terkawal lagi. Padahal 2,000 orang pemuda telah ditugaskan mengepung padang tempat pentas khas itu didirikan. Orang ramai yang datang berduyun-duyun menyerbu masuk ke padang.

Keadaan menjadi lebih kucar-kacir semasa ketibaan Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri pada kira-kira pukul 11:55 malam. Masing-masing hendak menghampiri Tunku yang akan menjadi Perdana Menteri pada keesokan harinya. Ketibaan Tunku disambut dengan hormat dan meriah serta dengan kata-kata aluan yang bersemangat. Lampu-lampu yang sebelumnya dipadam, telah dipasang semula sebaik sahaja Tunku tiba. Suasana semakin cemas. saat dan ketika yang ditunggu-tunggu menjelang tiba. Tepat pukul 11:58 malam, lampu-lampu di Padang Kelab Selangor digelapkan semula. Berbunyi sahaja jam besar, tepat pukul dua belas tengah malam, lampu-lampu dipasang semula.

Maka bergemuruhlah teriakan "Merdeka' berulang kali memecah keheningan angkasa bandar Kuala Lumpur. Tidak ada perkataan yang boleh diucapkan bagi menggambarkan suasana pada ketika itu. Ada di antara mereka yang menitiskan air mata tanda gembira, menyambut kelahiran Malaya merdeka. Sedetik selepas tengah malam 30 Ogos 1957, suasana menjadi hening semula. Perhatian tertumpu pula kepada tiang bendera yang didirikan khas di tengah-tengah padang. Bendera Union Jack, bendera kerajaan British, lambang penjajahan, diturunkan perlahan-lahan dengan iringan laungan 'Merdeka' daripada puluhan ribu manusia.

Suasana semakin gamat dan bersemangat apabila bendera Persekutuan Tanah Melayu yang berjalur merah putih, berbulan sabit dengan bintang pecah sebelas dinaikkan perlahan-lahan dengan iringan lagu Negaraku, menggantikan bendera Union Jack. Semua yang hadir memberikan penghormatan penuh kepada bendera negara, lambang negara dan juga lagu kebangsaan. Inilah kali pertama mereka berpeluang berbuat demikian.

Betapa terpegunnya apabila mereka melihat bendera negara berkibar megah sebagai lambang negara yang berdaulat. Betapa besarnya erti kemerdekaan bagi mereka yang turut menyaksikan upacara yang bersejarah ini. Mereka berebut-rebut untuk menghampiri Tunku, tetapi Tunku yang dikawal rapi, diiringi oleh Ketua Pemuda UMNO Malaya, Encik Sardon Hj. Zubir memeriksa satu barisan, terdiri daripada ahli-ahli pemuda UMNO dari seluruh negara, wakil negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang turut sama dalam upacara yang bersejarah itu.

Pada wajah Tunku tercermin perasaan terharu. Air mata kegembiraan kelihatan mengalir dari bawah cermin matanya. Upacara pada tengah malam itu diadakan secara ringkas sahaja, namun kesannya begitu mendalam. Sebagai menghormati dan menghargai usaha Tunku, seutas kalung emas yang tertera perkataan "BAPA KEMERDEKAAN TANAH AIR" juga terukir peta Tanah Melayu dan gambar Tunku, dikalungkan oleh Encik Sardon ke leher Tunku



Peristiwa Istiadat Menurunkan Bendera Union Jack dan menaikan bendera Persekutuan Tanah Melayu, oleh Encik Hamzah Alang, Ketua Pemuda UMNO,di Padang Kelab, Selangor pada jam 12.00 tengah malam 30hb. Ogos 1957. 


Saturday, August 30, 2008

Dirgahayu Malaysia Negaraku - Semperna Hari Kemerdekaan ke 51

Kita akan menyambut kemerdekaan yang ke 51 menjelang jam 12.00 tengah malam nanti. Tepat jam 12.00 tengah malam, menjelang 31 Ogos 2008, di seluruh negara akan diadakan majlis sambutan kemerdekaan mengikut citarasa dan rasacita masing-masing, yang pasti pada malam ini ramailah anak-anak muda, orang-orang belia, orang-orang tua dan pelbagai macam kategori manusia yang akan menyambut malam kemerdekaan. Di UiTM, sejak beberapa hari lalu telah diadakan Festival Kemerdekaan (FESKEM) yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UiTM.

Secara kebetulan, saya baru balik daripada Indonesia baru-baru ini, Indonesia telah menyambut hari kemerdekaan ke 61 mereka pada 17 Ogos 2008 yang lalu, walaupun mereka telah menyambut hari kemerdekaan ke 61 pada 17 Ogos 2008 tetapi masih terdapat banyak bendera indonesia dikibarkan seluruh daerah di Indonesia, dirumah, dipejabat kerajaan, ditepi-tepi jalan dan sebagainya seolah-olah mereka masih menyambut hari kemerdekaan walaupun selepas 17 Ogos 2008. Pada masa yang sama pelbagai aktiviti kebudayaan untuk memeriahkan hari kemerdekaan mereka masih lagi dilaksanakan dikampung-kampung, daerah, bandar dan sebagainya walaupun selepas 17 Ogos 2008.

Meninjau suasana menyambut kemerdekaan di Malaysia, saya membuat kesimpulan bahawa rakyat indonesia lebih patriotik terhadap negara mereka jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia. Bendera Malaysia yang dikibarkan dirumah, di pejabat dan di jalan-jalan raya boleh dikira dengan jari. Kecuali jika anda berada didalam kampus UiTM, terlalu banyak bendera Malaysia yang dikibarkan sehingga anda tidak dapat mengira dengan semua jari-jari yang anda ada termasuk jari kaki.

Apapun, selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke 51, semoga kita sebenar-benarnya merdeka dari segi fizikal dan mental daripada penjajahan moden seperti liberalisasi dan globalisasi. Perpaduan Asas Kejayaan.