Friday, October 4, 2019

KEMERDEKAAN NEGARA

Peristiwa Tengah Malam

31 Ogos 1957, tarikh bersejarah yang tidak akan luput daripada ingatan setiap rakyat baik mereka yang lahir sebelum tarikh itu atau selepasnya. Pada hari itulah negara kita yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Malam 30 Ogos 1957. Tidak kurang daripada 50,000 manusia berhimpun di Padang Kelab Selangor. Mereka telah datang awal-awal lagi untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Masing-masing berebut-rebut untuk mendapat tempat yang paling rapat dengan pentas khas, tempat perisytiharan negara merdeka akan dibuat. Semangat mereka berkobar-kobar seolah-olah tidak sabar lagi untuk melihat kelahiran sebuah negara baru. Mereka sanggup menunggu berjamjam lamanya hingga ke larut malam untuk sama-sama merakamkan sejarah negara baru merdeka.

Mereka ingin menikmati udara pada malam kebebasan di tengah-tengah keriangan kemerdekaan.
Suasana malam itu sungguh meriah. Mereka berpesta. Banjiran manusia di padang tidak terkawal lagi. Padahal 2,000 orang pemuda telah ditugaskan mengepung padang tempat pentas khas itu didirikan. Orang ramai yang datang berduyun-duyun menyerbu masuk ke padang.

Keadaan menjadi lebih kucar-kacir semasa ketibaan Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri pada kira-kira pukul 11:55 malam. Masing-masing hendak menghampiri Tunku yang akan menjadi Perdana Menteri pada keesokan harinya. Ketibaan Tunku disambut dengan hormat dan meriah serta dengan kata-kata aluan yang bersemangat. Lampu-lampu yang sebelumnya dipadam, telah dipasang semula sebaik sahaja Tunku tiba. Suasana semakin cemas. saat dan ketika yang ditunggu-tunggu menjelang tiba. Tepat pukul 11:58 malam, lampu-lampu di Padang Kelab Selangor digelapkan semula. Berbunyi sahaja jam besar, tepat pukul dua belas tengah malam, lampu-lampu dipasang semula.

Maka bergemuruhlah teriakan "Merdeka' berulang kali memecah keheningan angkasa bandar Kuala Lumpur. Tidak ada perkataan yang boleh diucapkan bagi menggambarkan suasana pada ketika itu. Ada di antara mereka yang menitiskan air mata tanda gembira, menyambut kelahiran Malaya merdeka. Sedetik selepas tengah malam 30 Ogos 1957, suasana menjadi hening semula. Perhatian tertumpu pula kepada tiang bendera yang didirikan khas di tengah-tengah padang. Bendera Union Jack, bendera kerajaan British, lambang penjajahan, diturunkan perlahan-lahan dengan iringan laungan 'Merdeka' daripada puluhan ribu manusia.

Suasana semakin gamat dan bersemangat apabila bendera Persekutuan Tanah Melayu yang berjalur merah putih, berbulan sabit dengan bintang pecah sebelas dinaikkan perlahan-lahan dengan iringan lagu Negaraku, menggantikan bendera Union Jack. Semua yang hadir memberikan penghormatan penuh kepada bendera negara, lambang negara dan juga lagu kebangsaan. Inilah kali pertama mereka berpeluang berbuat demikian.

Betapa terpegunnya apabila mereka melihat bendera negara berkibar megah sebagai lambang negara yang berdaulat. Betapa besarnya erti kemerdekaan bagi mereka yang turut menyaksikan upacara yang bersejarah ini. Mereka berebut-rebut untuk menghampiri Tunku, tetapi Tunku yang dikawal rapi, diiringi oleh Ketua Pemuda UMNO Malaya, Encik Sardon Hj. Zubir memeriksa satu barisan, terdiri daripada ahli-ahli pemuda UMNO dari seluruh negara, wakil negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang turut sama dalam upacara yang bersejarah itu.

Pada wajah Tunku tercermin perasaan terharu. Air mata kegembiraan kelihatan mengalir dari bawah cermin matanya. Upacara pada tengah malam itu diadakan secara ringkas sahaja, namun kesannya begitu mendalam. Sebagai menghormati dan menghargai usaha Tunku, seutas kalung emas yang tertera perkataan "BAPA KEMERDEKAAN TANAH AIR" juga terukir peta Tanah Melayu dan gambar Tunku, dikalungkan oleh Encik Sardon ke leher Tunku



Peristiwa Istiadat Menurunkan Bendera Union Jack dan menaikan bendera Persekutuan Tanah Melayu, oleh Encik Hamzah Alang, Ketua Pemuda UMNO,di Padang Kelab, Selangor pada jam 12.00 tengah malam 30hb. Ogos 1957. 


No comments: