Nampak keindahan pada seluruh alam, baik dibumi mahupun dilangit. Timbul pelbagai rasa dalam naluri bila melihat keindahan itu, kagum kerana kecantikannya, sedih kerana ia tidak dihargai, pilu kerana ia diterokai, terharu kerana dengan kekuasaanNya menciptakan. Terasa kecil diri ini merenung kuasa yang Maha Besar dan ghaib itu.
Tergerak manusia hendak menyatakan apa yang terasa dihati.Mulanya dengan ringkas dan sederhana, cukup dua tiga patah kalimat. Maka adalah manusia yang pertama itu serupa juga dengan anak kecil yang baru lahir, belajar menelungkup, meniarap, merangkak, berjalan. Meniru bahasa sekalimat demi sekalimat.
Bertambah lama bertambah luas yang dilihat, didengar dan dirasa, bertambah pula kesanggupan lidah mengucapkan yang dirasa itu hingga kian lama kian banyak dan menjadi suatu bahasa. Bertambah banyak yang diketahui, bertambah tinggi perasaan. Disinilah asal perasaan halus dan keindahan. Dan dari sanalah pada mulanya dapat kita melihat ahli seni dalam kesederhanaan tumbuhnya.
Iklim sesuatu negeri dan persekitarannya tidaklah sama, ada negera yang telah maju , ada negara yang membangunan dan ada juga yang mundur. Dikalangan yang lebih maju, perasaan nya lebih halus dan kebudayaannya lebih tinggi. Keinginan hendak mengetahui rahsia tersembunyi dalam alam menyuburkan tumbuhnya khayal, dan khayal itulah telaga seni. Oleh sebab itu, pada permulaannya, boleh dikatakan bahawasanya syair adalah jelmaan perasaan halus, falsafah sebagai usaha fikiran mencari rahsia itu dan agama adalah tujuannya yang akhir.
Maka dapat disimpulkan bahawa syair itu telah lama timbul, sebelum ilmu bertambah, maka perasaanlah yang terlebih dahulu memenuhi jiwa manusia. Jadi sebelum orang masuk mempelajari falsafah seumpamanya falsafah Yunani, orang terlebih dahulu akan bertemu dengan zaman syair, apa yang didapati oleh ahli syair itulah yang kemudiannya dikupas dengan fikiran ahli falsafah.
Falsafah itu kelak yang mencari dimana kesatuan daripada segala rahsia itu, siapakah Yang Maha Kuasanya? baik kekuatan itu pada tubuh alam semesta sendiri atau diluarnya. Itulah permulaan agama, yang tiga ini, iaitu syair, falsafah dan agama beredar dalam kehidupan manusia sebagai hasil daripada sifat akalnya iaitu perasaan, fikiran dan kemahuan.