Monday, April 8, 2019

WALI DAN KOPI oleh YB Husam Musa

WALI DAN KOPI

Dua Wali (masyarakat setempat mempercayai mereka adalah Wali) pemaju kopi yang menarik perhatian saya. Baba Budan dari India yang hidup di abad ke 16 dan Ahmadou Bamba dari Senegal yang meninggal pada tahun 1927.

Baba Budan diingati jasanya membawa pulang TUJUH BIJI KOPI pertama ke India dari Yaman. Dari benih yg ditanam oleh Baba Budan, kini Karnataka menjadi wilayah pengeluar kopi utama India.

Berbeza dari kebanyakan negara pengeluar  lain, kopi Karnataka di tanam di bawah teduhan pokok lain. Ia dikatakan menjadikan kopi Karnataka lebih istimewa berbanding kopi lain.

Itali menjadi negara utama mengimport kopi Karnataka, selain German, Russia, Sepanyol, Belgium, Slovenia, United States, Jepun, Greece, Netherlands  dan Perancis. Itali mengimport 26% dari keluaran kopi mentah India.

Semuanya bermula dari TUJUH BIJI KOPI dibawa pulang Baba Buldan dari perjalanan hajinya.

Kini, India mengeluarkan 8,200 tan kopi mentah setiap tahun. 71% dari pengeluaran ini adalah dari Karnataka, khususnya dari Lereng Bukit Baba Buldan!

India kini mempunyai 250,000 pekebun kecil kopi. Terhasil dari minat PEMUNGUT BENIH/SEEDS COLLECTOR - Baba Buldan.

Inilah dikatakan KEKUATAN BENIH/THE POWER OF SEEDS.

Ulama sufi se orang lagi yg memajukan kopi adalah Sheikh Ahmadou Bamba.

Ulama kurun ke 20 ini dikenali kerana pendekatan amannya dalam memperjuangkan kemerdekaan Senegal dari Perancis.

Kali pertama saya mengenali ulama konstruktif dan berwibawa tinggi ini menerusi buku bertajuk Shaykh Ahmadou Bamba - A Peacemaker for Our Time - tulisan Michelle R Kimball,  yang dijual di kedai buku Kinokuniya di KLCC.

Sekalipun dibuang negara beberapa kali oleh Perancis, Ahmadou tetap meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan negaranya menerusi jalan damai dan diplomasi.

Mempunyai pengikut yang ramai menerusi gerakan pendidikan dan pembaharuannya -  Mouride Brotherhood atau Muridiyyah.

Selain berpolitik, beliau turut membangunkan bandar dan perkampungan baru serta pusat-pusat pendidikan bersepadu.

Hingga kini, gerakan  yang diasaskannya masih aktif.

Lalu, apa hubungan Sheikh Ahmadou Bamba dengan kopi?

Ketika Baba Budan hidup di kurun ke 16, Shaykh Ahmadou hidup di awal kurun ke 20. Ketika Baba Budan tidak meninggalkan sebarang potret kecuali sejarah, Ahmadou meninggalkan foto tunggal yang dirakamkan oleh SB Perancis - memakai jubah putih, berserban dan menutup sebahagian mukanya. Berwajah tenang dan berkarisma - potret satu-satunya ini sampai sekarang menimbulkan getaran pengaruh di kalangan penduduk Senegal.

Ketika Baba Budan mengusahakan penanaman kopi, Ahmadou menjadi pencetus memberi nilai tambah kepada kopi.

Kini kopi ciptaannya yang dikenali sebagai Kopi Touba atau Cafe Touba - menjadi minuman yang satu-satunya menyebabkan jualan Nescafe di beberapa negara sekitar Senegal menurun!

Kopi Touba semakin digemari. Baik di Senegal mahu pun negara sekitar seperti Gabon dan Guinea-Bissau. Di Guinea-Bissau, kopi ini sudah menjadi minuman utama negara.

Ahmadou mencampurkan biji kopi dengan sejenis rempah di kenali sebagai GRAINS OF SELIM. Grains of Selim atau   Guinea pepper (buah kering dari pokok renek Xylopia aethiopica YANG  dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan DJAR).

Saya tidak tahu sama ada herba ini boleh tumbuh atau tidak di negara kita. Jika Baba Budan berani mencuba menyemai kopi di benua baru lima kurun yang lalu, mengapa tidak kita cubakan biji Grains of Selim ini disemai di tempat kita.

Jika ia tak tumbuh, kita import saja buah rempah pelik ini untuk dicubakan sebagai produk baru kopi kita. Cafe Touba versi Malaysia.

Ini mengingatkan kepada kedudukan pengusaha kita yang  pandai menghasilkan produk hiliran kopi - sampai-sampai kita sebagai pengimport kopi boleh mengeksport semula produk kopi yang telah ditambah nilai menjadikan eksport kopi Malaysia melebihi nilai import.

Kita mengimport kopi dengan jumlah yang agak besar.  Dari berjumlah RM 51.59 juta pada tahun 1988 kepada lebih dari  RM 972.3 juta pada tahun 2013. Kenaikan purata tahunan jumlah import pula adalah sebanyak 17.8 %.

Namun ia diatasi oleh eksport bernilai RM 1.3 billion pada tahun 2013.

Ia adalah hasil tambah nilai. Kita mengeksport semula kopi mentah yang telah diolah.

Pada masa yang sama, pengeluaran kopi mentah tempatan terus berkurang dari tahun ke tahun untuk beberapa tahun kebelakangan.

Dari anggaran keluasan  7,500 ha pada tahun 2007 kepada separuh angka itu -  3,760 ha -  pada tahun 2013. Jumlah pengeluaran berkurang dari   21,213 tan  pada tahun 2007 kepada 14,739 tan pada tahun 2013. 

Menjadikan kita semakin bergantung kepada kopi import untuk menampung keperluan negara.

Saya terbaca -  Nor Amna A’liah Mohammad Nor dan Mohd Amirul Mukmin Abd. Wahab, dua orang penyelidik Mardi menerusi kertasnya bertajuk  ‘Exploring the Potentials of Coffee Industry in Malaysia’ - mencadangkan negara menambahkan keluasan penanaman kopi kepada 10,000 ha menjelang 2020. Bagi mengurangkan kebergantungan import.

Kepelikan kopi berbanding beras ialah, di kebanyakan tempat, semakin maju sesebuah negara,  purata penggunaan beras  semakin merosot. Sedang penggunaan kopi pula semakin meningkat.

Sekali lagi saya menunggu, di mana benih Grains of Selim?

Siapa pula pengilang Kopi Touba Ahmadou Bamba pertama Malaysia?

Jangan lupa royalti untuk saya, jika anda orangnya.

Husam Musa
Ahad, 7 April 2019