Dalam entry terbaru pada 20 Jun 2013 Sdr Aspan Alias di dalam blog beliau, Aspan Alias menegur Anthony Loke (beliau tidak menyebut nama sesiapa dalam blog beliau tapi orang yang dimaksudkan ialah Anthony Loke) kerana membuat kenyataan bahawa beliau (Aspan Alias) adalah ahli DAP biasa dan beliau keberadaan dalam DAP tidak penting. Berikut adalah tulisan Aspan Alias yang saya 'cut and paste' ke blog saya.
Dalam sesebuah parti kekuatannya dari ahli biasa yang ramai-ramai. Ahli-ahli biasa inilah yang membentuk kepimpinan parti itu. Ahli-ahli biasa inilah yang menentukan arah tujuan dan bentuk dan rupa parti itu. Ia melibatkan pembentukan sikap dan budaya parti itu sendiri. Kekuatan pemimpin itu bergantung kepada sejauh mana atau seramai mana ahli-ahli biasa ini memberikan sokongan kepada seseorang pemimpin itu.
Maka amatlah menyedihkan jika didapati seorang pemimpin parti menganggap seorang ahli parti biasa tidak penting atau istilah yag popular terbentuk sehari dua ini sebagai ‘unimportant’. Menganggap sesorang ahli biasa dalam parti sebagai ‘unimportant’ itu adalah terlalu ‘uncalled for’. Ia memberi pengertian yang semua ahli biasa tidak penting bagi orang yang mengeluarkan kenyataan itu. Ia bemakna hanya seorang dua pemimpin sahaja yang penting dalam parti itu.
Tetapi ini adalah sikap biasa dalam politik dunia ketiga kerana pemimpin itu jarang-jarang sedar yang mereka dibesarkan dan diangkat oleh ahli-ahli biasa terutamanya parti yang melaksanakan sistem demokrasi. Walaupun ahli-ahli biasa itu kadangkala bertindak mengikut apa yang dicaturkan oleh pemimpin mereka secara sistematik, yang pentingnya ahli biasa itu adalah penting dalam sesebuah parti yang demokratik.
Ramai pemimpin terlupa yang mereka bukannya menjadi orang besar dengan sendirinya seperti Tuhan yang terdiri dan wujud dengan sendirinya. Mereka menjadi pemimpin bukan terjadi begitu sahaja. Ahli-ahli biasa inilah yang membuatkan mereka itu menjadi pemimpin.
Saya menyebut ini kerana saya telah mengalami isu ini dalam sehari dua yang lepas kerana ada pemimpin besar parti yang saya anggotai menganggap saya itu ‘unimportant’ kerana saya hanyalah seorang ahli biasa. Justeru saya tulislah sedikit tentang isu ini kerana ia amat penting bagi mengingatkan pemimpin yang sedang berada di ‘aras yang tinggi’ dalam parti itu supaya tidak menjadi angkuh.
Kita mahukan mereka sedar bahawa ahli-ahli biasa inilah yang telah membuatkan mereka berdiri dan duduk ditempat yang tinggi itu. Kita mahu pemimpin yang telah diangkat tinggi oleh ahli-ahli biasa ini sedar akan dirinya dan kembali mengingati dari mana mereka berasal dan sejauh mana mereka boleh maju sendirian tanpa ahli-ahli biasa ini.
Hidup ini perlu berseni sedikit sebanyak dan kita tidak boleh melambangkan diri kita sebagai pemimpin yang kasar atau ‘crude’ dalam berinteraksi dengan pihak yang ramai terutamanya kepada ahli-ahli parti mereka jika mereka itu pemimpin politik. Kelebihan orang melayu disini. Mereka lebih berseni dan lembut dalam mengupas isu dan bertindak.
Hanya sekarang nampak sedikit sebanyak kelemahan orang Melayu yang kini sudah berkurangan dari seni politik mereka kerana budaya yang sudah dialih dan dianjak oleh pimpinan pada hari ini. Itu sebab kita terdengar ramai yang sudah begitu fasih mencarut dan bercakap kasar seolah-olah mereka itu bukan Melayu lagi.
Berbalik kepada isu ahli biasa yang ‘unimportant’ tadi saya suka menyeru kepada pimpinan mana-mana parti terutamanya kepada parti yang saya anggotai, supaya lebihkan seni perhubungan diantara mereka dengan ahli. Adab dan sopan itu merupakan budaya timur tidak kira ia berbangsa Melayu, Cina atau India dan apa-apa bangsa sekali pun.
Hak individu mesti kita hormati termasuklah hak untuk tidak dihormati sebagai manusia yang mempunyai pemikiran sendiri. Yang pimpinan berinteraksi itu ialah dengan manusia, bukannya haiwan peliharaan. Maka adalah wajar seorang pemimpin itu tidak berkasar dan sombong terhadap ahli dan rakyat yang dipimpim mereka.
Kesenian dan kelembutan dalam berinteraksi itu adalah lambang sejauh mana ketamadun kita dalam kontek masyarakat timur ini.
Itulah yang membezakan diantara seorang manusia dengan manusia yang lain, atau diantara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain. Kita tidak boleh menganggap manusia yang kita pimpin itu sebagai haiwan peliharaan sahaja. Kalau dirasakan hendak dikurung dikurungnya, kalau hendak menyuruh kerja diarah-arahkan saja dan jika hendak memaki hamun tidak ada halangan langsung dan tiada batasan adab dan adat.
Kita tidak mahu melihat pemimpin kepada manusia bersikap seperti pengembala lembu yang boleh memukul dan mengurung haiwan peliharaan mengikut hati dan rasa sendiri sahaja.
Kita perlukan pemimpin yang layak memimpin manusia dan bukannya pengembala lembu yang hanya layak untuk mengembala haiwan peliharaan sahaja, lebih-lebih lagi di zaman dunia yang moden yang tidak bersempadan ini.
(Sumber - http://aspanaliasnet.blogspot.com/)