Showing posts with label Nik Hasyudeen. Show all posts
Showing posts with label Nik Hasyudeen. Show all posts

Saturday, January 5, 2019

Apa Makna Belanjawan Defisit oleh Nik Hasyudeen

Apa makna belanjawan kerajaan yang defisit?

Masih banyak kerajaan di dunia yang merekodkan hal-hal kewangan mereka secara tunai. Berapa banyak pendapatan diterima berbanding dengan perbelanjaan yang dibayar. Jika bayar lebih dari terima, itulah defisit.

Macamana nak biayai defisit tu? Berhutanglah. Maknanya, semakin besar defisit, semakin banyak hutang. Jika defisit kecil pun, hutang tetap bertambah.

Apa kesannya kepada rakyat?

Ni kena diberitahu sebab kalau tidak semua nak mintak saja, tak kisah apa yang akan terjadi di masa depan.

Yang pertama, pokok hutang kena bayar lah. Ini akan dimasukkan ke dalam belanja pengurusan tahun-tahun mendatang.

Kedua, faedah atau kos pembiayaan pun kena bayar jugak. Ini pun dimasukkan ke dalam belanja pengurusan.

Ketiga, oleh kerana pendapatan kerajaan tidak akan melonjak dengan besar melain diperkenalkan “cukai penyelamat negara” seperti GST, jumlah perbelanjaan pengurusan akan semakin membesar kerana belanja tetap seperti gaji dan pencen tidak boleh dielakkan oleh kerajaan. Berapa yang tinggal untuk belanja pembangunan seperti sekolah baru dan belanja subsidi untuk kurangkan kos sarahidup rakyat?

Projek yang dibiayai secara Public Private Partnership (PPP) yang ada orang pandai tak iktiraf sebagai hutang pun kena dibayar juga. Ini sebenarnya belanja pembangunan yang dibiayai dahulu oleh pihak ke tiga dan kerajaan bayar ansur-ansur setiap tahun. Kalau projek berkenaan tidak ada hasil seperti perumahan kerajaan, kerajaan kena cari duit dari kos pengurusan atau mengurangkan kos pembangunan lah. Ni akan tambah defisit lagi jika akhirnya kerajaan kena berhutang.

Pinjaman pihak ketiga yang dijamin oleh kerajaan yang tidak ada aliran tunainya sendiri atau aliran tunainya negatif seperti PTPTN pun kerajaan kena tanggung juga. Tambah lagi defisit.

Bila hutang semakin tinggi, orang yang beri pinjam pun mula takut. Ini yang menyebabkan penarafan hutang mula dikaji semula. Apa kesannya jika penarafan turun? Kos hutang akan bertambah dan pembayaran seperti yang saya nyatakan di atas akan bertambah, bahagian yang nak dibelanjakan oleh rakyat akan berkurangan.

Nak ubah kitaran ini bukan senang. Jika hutangnya bertimbun dan dah dilonggokan bertahun-tahun, nak kikis sedikit demi sedikit kena tunggu lama. Nak naikkan cukai, semua orang tak suka. Nak jual harta, apa lagi yang tinggal? Nanti anak cucu marah pulak.

Ni tak berbeza dengan syarikat, kecil atau besar. Jika selama ini bergaya dengan hutang, akhirnya bungkus jugak. Jika hutang itu diambil kerana desakan pemegang saham dan pengarah takut tak popular dan tidak dilantik semula, hutang yang bertujuan untuk membahagiakan itu akhirnya jadi racun. Semua terlibat.

Rakyatlah pemegang saham itu.

Friday, January 4, 2019

Ekonomi Dunia Muram oleh Nik Hasyudeen

Krisis ekonomi dunia yang terakhir ialah dalam tahun 2008. Semenjak itu, bank-bank pusat di Amerika, Eropah dan Jepun menyuntik kecairan ke dalam sistem ekonomi dengan membeli bon-bon swasta. Akibatnya pasaran kewangan kembali cergas dan akhirnya ekonomi sebenar pun bertambah rancak.

Setiap pesta akan berakhir. Semenjak beberapa tahun kebelakangan, proses pembelian bon diterbalikkan. Wang diserap oleh bank-bank pusat. Rezab Amerika mula menaikkan kadar faedah.

Cakap-cakap berkenaan pengucupan 2 ekonomi terbesar dunia, Amerika dan China, mula kedengaran. Ini ditambah dengan peperangan dagangan di antara keduanya yang dimulakan oleh Trump. Mula-mula acah saja, kemudian tarif dinaikkan. Ini menyebabkan barangan bertambah mahal di kedua-dua belah pihak. Pengguna terpaksa bayar harga lebih tinggi. Kuasa beli berkurangan.

Bila ekonomi semakin perlahan, operasi kilang-kilang di China dan Amerika mula sejuk. Ada yang kurangkan aktiviti dan ada yang tutup. Ini akan juga mengurangkan kuasa beli pekerja yang terlibat. Maka, permintaan kepada barangan dan perkhidmatan lain akan terjejas. Apple pun dah kurangkan jangkaan jualan iPhone.

Apa akan terjadi kepada perniagaan di tempat-tempat lain? Mana-mana perniagaan yang terletak di atas rangkaian bekalan Amerika dan China akan terjejas sama. Permintaan berkurangan dan kena ambil tindakan mengurangkan kerugian. Kitaran ini akan berulang-ulang di atas rantaian bekalan masing-masing.

Bukan itu sahaja, bilangan pelancong, terutama dari China akan turun. Jika mereka datang pun mereka berbelanja lebih kurang dari biasa. Banyak perniagaan yang bergantung kepada mereka akan sejuk sama.

Suasana ini akan memaksa pelbagai kerajaan untuk berbelanja lebih bagi menggantikan ekspot. Masalahnya, jika hutang tinggi, ianya akan menjadi kekangan. Jika berbelanja dengan berhutang, penarafan kredit boleh terjejas, kos pembiayaan dan faedah naik, aliran tunai kerajaan akan terjejas kerana kena agihkan lebih dana untuk urus hutang.

Saya kongsikan senario ini supaya kita maklum akan putaran ekonomi dunia. Oleh kerana saiz ekonomi domestik Malaysia tidaklah besar sangat, kita bergantung kepada pasaran luar untuk berkembang. Bila mereka demam, kita pun kena selsema.

Sebab itu PM ke 4 mahukan orang Malaysia beranak banyak-banyak, nak sasarkan sampai 70 juta. Sekarang tak sampai dari separuh angka itu. Kenalah PM ke 7 fikirkan bagaimana nak hadapi suasana ini. Hampir nak sama dengan tahun 1997 kan? Mungkin dia serahkan cabaran ini kepada PM 8?

Selamat beribadah di hari Jumaat.

Wednesday, December 26, 2018

Azam Baru 2019 - Nik Hasyudeen

4 perkara yang perlu jelas jika mahu berubah

Einstein kata “kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang-ulang tapi mengharapkan pencapaian yang berbeza”. Maknanya, jika kita meneruskan apa yang sentiasa kita buat atau tidak pernah berbuat sesuatu yang baru, akhirnya tetap sama.

Di pengakhiran tahun 2018 ini ramai di antara kita yang merancang azam tahun baru. Tentunya berharapkan pencapaian yang lebih baik dari segi kekeluargaan, kewangan, persahabatan dan yang paling penting, mendapat cinta dan kasih Allah. Ini tentunya memerlukan kita berubah. Tapi, macamana?

Saya suka kaedah yang diajar oleh Marshall Goldsmith mengenai menjelaskan maksud perubahan kepada diri kita sendiri. Ini boleh juga diamalkan di dalam organisasi.

Kita perlu jelas 4 jenis perbuatan:

Apakah perbuatan baru yang harus kita lakukan?

Apakah perbuatan lama yang harus kita hentikan?

Apakah perbuatan lama yang harus kita pertingkatkan?

Apakah perbuatan lama yang harus kita kurangkan?

Kejelasan di atas akan membantu kira untuk mengatur kehidupan agar ianya selari dengan apa yang hendak kita capai. Di dalam organisasi, kejelasan ini penting kerana ianya akan mempengaruhi peruntukan kewangan dan sumber bagi melicinkan perlaksanaan.

Sebagai hamba Allah kita kena terus berdoa agar perubahan yang dicapai mendekatkan kita kepada Allah, bukan istidraj - kejayaan atau kedudukan yang menjauhkan lagi kita dari Allah.

Tuesday, December 25, 2018

Sunnah Siapa - Nik Hasyudeen

Sunnah siapa?

Semua orang ada kepercayaan. Bila kita nampak tindakan atau menerima maklumat yang bertentangan dengan apa yang kita percaya, bagaimana kita menanganinya?

Bila Rasululah mula mendakwahkan Islam kepada masyarakat Quraisy, bagaimanakah tindak balas mereka? Ada tindakan fizikal ke atas Baginda dan tidak kurang pula gelaran, tuduhan, makian dan pelbagai maklumat palsu yang disebarkan kerana tidak suka dakwah yang dibawa.

Disinformation atau menyebarkan maklumat palsu dan mengelirukan ni memang sunnah Quraisy lah.

Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga apakah yang pihak Quraisy akan tulis jika media sosial sudah wujud ketika peristiwa Isra dan Mikraj?

Setakat yang saya maklum, Rasulullah pula tidak membalas dengan kaedah yang sama dengan apa yang orang Quraisy buat. Belum sampai kepada saya riwayat yang menyatakan Baginda marah-marah dan memaki hamun, setara dengan tindakan biadab pihak Quraisy yang membenci Baginda.

Sebaliknya, Baginda meneruskan dakwah sejajar dengan status baginda sebagai wakil Allah. Sebagai pembawa rahmat ke sekalian alam.

Apakah seruan Baginda ketika memasuki kota multi-etnik Madinah untuk pertama kali?

‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, shalatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, niscaya kalian akan masuk Surga dengan selamat.” (Hadis riwayat Tarmidzi 2485)

Jadi, di dalam mengharungi kehidupan ini, eloklah kita sentiasa bertanya diri sendiri “sunnah siapa yang aku ikut?”