Semoga anda sihat dalam perlindungan Allah S.W.T. selalu. Sempena sambutan Isra' Mikraj Ahad lepas, saya berdoa agar kita semua menjadi bertambah tebal iman dan sentiasa juga akan memberi keutamaan kepada solat kita. Juga, sempena sambutan Hari Bapa pada hari Ahad yang lepas, saya percaya ramai di kalangan kita kaum bapa menerima ucapan dan hadiah istimewa daripada isteri dan anak-anak.
Kelmarin, saya ke UiTM Kedah menghadiri Program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Negeri Kedah yang dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Saya berbangga apabila UiTM dipilih menjadi tempat untuk menggerakkan sesuatu yang berguna kepada rakyat. Inilah salah satu peranan kita kepada masyarakat.
Semalam pula, pada sebelah paginya, bagi pihak UiTM, saya telah menandatangani MoU dengan Malaysia Institute of Supply Chain Innovation (MISI) yang juga dengan kerjasama Massachucettes Institute of Technology (MIT). Kemudian diadakan pula Sidang Akhbar sempena Konferensi Antarabangsa yang akan dianjurkan Julai nanti oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media bersama dengan Asian Media Information and Communication Center (AMIC).
Hari ini, akan bermula Festival Filem dan Video Pelajar IPTA di DATC. Insya-Allah, festival ini pastinya meriah dengan penglibatan universiti-universiti dari seluruh Malaysia termasuk juga artis-artis serta selebriti-selebriti tempatan. Tetamu kehormat semasa malam kemuncak pada 23 Jun 2012 adalah YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang akan hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Kepada semua Profesor dan Profesor Madya UiTM, saya berharap ramai yang akan dapat menyertai sesi "Sembang Bersama YAB Perdana Menteri dengan Profesor & Profesor Madya di Lembah Kelang" pada Khamis ini, 28 Jun 2012 di Seri Perdana, Putrajaya.
Bas disediakan mulai jam 2 petang di tempat letak kereta Bangunan Inovasi berdekatan Pintu Kedua. Saya difahamkan UiTM akan menjadi universiti yang paling ramai wakil kehadiran pada hari berkenaan. Jika ingin mengetahui dengan lebih mendalam, sila hubungi Prof. Dr. Haji Mohamad Awang di 019-397-5359 atau Prof. Madya Mat @ Muhammad Yusoff di talian 019-229-9149. Semoga dengan kehadiran ramai kakitangan akademik UiTM akan menjadikan universiti kita lebih dekat di hati YAB Perdana Menteri.
Sekian. Bersamalah kita jaga UiTM ini agar ianya terus cemerlang dan gemilang.
Wassalam dan terima kasih.
Ikhlas daripada;
Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
Naib Canselor