21 Jun 2012
Kelahiran Nabi Adam dalam keadaan tidak tahu. ALLAH memberinya nama untuk menjadikan Nabi Adam tahu. Ketahuan itu memudahkan Nabi Adam memiliki pengetahuan. Insan biasa juga bermula dalam keadaan tidak tahu.
Insan belajar mengetahui sesuatu daripada ibu bapa, persekitaran dan pendidikan menyebabkan proses ketahuan bermula.
Tahu di sini dalam bentuk zahiri dan batini. Tahu atau tidak, dirujuk kepada akal, pengalaman dan faktor ghaibiyyat.
Faktor zahiri membimbing insan mengenal hal yang nampak, boleh dibilang dan dipegang. Faktor batini memberi pedoman tahu dalam maksud yang lebih luas iaitu hubungan insan dengan Penciptanya.
Proses ketahuan ini menuntut proses pembelajaran terjadi. Al- Quran dalam Surah Al Alaq memberikan asas iqra' iaitu 'baca'.
Baca bukan sekadar membaca teks atau kitab tetapi juga membaca konteks atau realiti supaya faktor ghaibiyyah terhubung dengan faktor realiti.
Memahami faktor realiti menuntut adanya daya fikir dan daya zikir yang membimbing insan ke arah pemahaman yang lebih jitu terhadap sesuatu.
ALLAH menyebutkan dalam al-Quran, "Aku jadikan sesuatu dalam kadarnya". Katakan kita berada di pantai melihat ombak yang sedang beralun. Setinggi mana ombak yang berlaku ia akan berakhir di gigi pantai.
Secara zikirnya kita juga memahami bahawa perjalanan ombak ditentukan atas jalur sunnatullah iaitu ketentuan ALLAH.
Dengan campur tangan ALLAH mentadbir urus alam ini segalanya berjalan secara fitrah sebagai sumber rahmat terhadap insan.
Proses ketahuan yang dipatuhi secara fitrah ini akan membangunkan potensi insani.
Keupayaan meneroka dan memiliki ilmu dengan bimbingan murabbi dan muallim yang baik menjadi prasyarat untuk menjadi insan Muslim dan Mukmin yang baik.
Al-Quran menyebutkan dalam Surah Az Zumar, 'tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak memiliki ilmu'.
Asas al Quran sebagai sumber hikmah yang merujuk kepada sumber ilmu ALLAH dan menjadikan insan, seterusnya membawa ketelusan dan keadilan.
Ilmu dalam tradisi Islam dianggap sebagai suluh yang menerangi jalur kegelapan yang dilalui insan.
Tetapi ilmu yang terbangun dengan kekuatan akliah dan naqliah iaitu wahyu menjadikan proses zikir terjadi.
Integrasi fikir dan zikir dalam memandu ketahuan insan menyebabkan insan menjadi lebih berilmu dan bijaksana.
Melahirkan insan bijaksana amat dituntut Islam. Bijaksana dikaitkan dengan sifat Rasulullah SAW iaitu fatanah. Bijaksana menjadikan insan memiliki pertimbangan yang lebih seimbang dan adil, iaitu sesuatu neraca penting di sisi ALLAH dan manusia.
Insan bermula dalam watak jahil. Ilmu dan pengalaman menyebabkan pencerahan terjadi. Ilmu yang baik dan bermanfaat menjadikan faktor akliah lebih teguh dan pedoman nakliah menjadikan lebih jelas memandu jalur hidup.
Orang berilmu dan bijaksana memiliki sifat tawaduk dan tunduk terhadap rahmat ALLAH. Sesetengah ilmuwan yang tidak memiliki jiwa kehambaan yang tinggi, suka karyanya dipuji dan amalnya disanjung.
ALLAH tidak memberi kepada seseorang insan segalagalanya. Tidak ada maksud monopoli dalam berilmu.
Ilmuwan adalah mata rantai yang menyumbang secara terbaik dan kebaikan sesuatu daripada ALLAH memberi hikmah kepada manusia.
Proses ketahuan ini menjadi saranan utama al-Quran iaitu afala ta’qilun - tidakkah kamu menggunakan akal; afala tatafaqqaruun – tidakkah kamu berfikir; afala yatadabbaruun – tidak kamu melakukan renungan, kajian dan telitian.
Sebagai insan yang berpengetahuan, faktor akal harus digunakan sebaik-baiknya dengan pedoman al Quran. Faktor fikir harus digunakan bersama-sama dengan faktor zikir.
Dan apabila faktor renungan, kajian dan ketelitian menghubungkan insan dengan sumber kebesaran ALLAH, lalu terhubung kehebatan Pencipta dengan hasil ciptaan-Nya maka pencerahan terjadi.
Jalur ketahuan manusia mengenai sesuatu perkara tidak harus berjalan secara mekanistik atau teknologikal semata. Ia perlukan isi atau substance yang memberi roh kepada ilmu, ketahuan dan keterampilan.
Nilai guna yang baik dan bermanfaat amat dituntut Islam. Ini penting untuk sejahterakan diri dari segi zahiri dan batini sebagai insan lebih berupaya dan berjaya
(Sumver - http://www.sinarharian.com.my)
No comments:
Post a Comment