Wednesday, October 3, 2012

Dr Rozmey Digantung Keahlian MMC 2 Tahun


KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengantung keanggotaan pengeluar formula menurunkan berat badan Datuk Dr Che Rozmey Che Din selama dua tahun selepas mendapati beliau melanggar Kod Etika Profesional di bawah Akta Perubatan 1971.

Presiden MMC Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, berkata inkuiri pada 16 Januari lepas mendapati Dr Rozmey bersalah atas pertuduhan terlibat dalam penjualan bahan didakwa mampu menurunkan berat badan, membungkus serta menyimpan bahan berkenaan, yang melanggar Seksyen 3.4 kod itu.

Dr Rozmey juga didapati bersalah mengiklan diri sendiri, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi tujuan mempromosi kelebihan sendiri serta membabitkan diri dengan perusahaan komersial yang melanggar Bahagian 4.1 dan 3.4 Kod Etika Profesional.

Dr Rozmey tidak menggunakan haknya untuk merayu ke Mahkamah Tinggi seperti yang diperuntuk oleh Akta Perubatan 1971, dan hukuman itu berkuat kuasa dari 14 Mac 2012 hingga 14 Mac 2014, kata Dr Hasan dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata pengamal perubatan lain yang didapati bersalah mengabaikan tanggungjawab profesional ialah Dr Balayegaran MS (digantung setahun), Dr Chow Chong Chek (diberi amaran), Dr Ng Ah See (diberi amaran), Dr Roland Masing (digantung enam bulan), Dr N.M. Ananda Murthy (diberi amaran), Dr Chew Yoong Fong (diberi amaran) dan Dr Rajendra a/l Nadason (digantung dua tahun). BERNAMA

Kempen Penjimatan Penggunaan Tenaga Elektrik di UiTM

UiTM telah membelanjakan hampir RM 24.6 juta untuk membayar bil elektrik UiTM kampus Shah Alam bagi tahun 2011Ini bermakna, purata perbelanjaan sebulan bagi bil elektrik ialah sebanyak RM 2.05 juta sebulan untuk tahun 2011. 

Bagi separuh tahun 2012 pula, UiTM telah membelanjakan sebanyak RM 13.7 juta untuk bil elektrik (Januari 2012 - Jun 2012). Purata perbelanjaan sebulan bagi tahun 2012 telah meningkat berbanding tahun 2011 iaitu RM 2.28 juta sebulan. 

Sehubungan dengan itu,semua warga UiTM diseru agar menggunakan tenaga elektrik dengan berhemah dan berjimat cermat. 

Amalkan mematikan suis-suis lampu, penyaman udara, komputer, laptop, printer, mesin faks, mesin fotostat, mesin pemanas air, tv, radio dan lain-lain peralatan elektrik bila sudah tidak digunakan atau tiada pengguna. 

UiTM juga menetapkan suhu semua bilik dan ruang di UiTM kepada 24 darjah celsius untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

" AMALKAN PENJIMATAN, BERSAMA KITA MENGUBAHNYA "