KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin
memerintahkan sebuah syarikat pemaju memulangkan yuran pengurusan dan
penyelenggaraan berjumlah RM1.8 juta kepada perbadanan pengurusan
sembilan blok pangsapuri di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Hakim Datuk V.T.Singham juga mengarahkan Pengkalen Holiday Resort Sdn
Bhd (PHR), selaku defendan, membayar kos RM50,000 kepada dua plaintif
iaitu perbadanan pengurusan Paradise Lagoon Apartment (North) dan
Paradise Lagoon Apartment (South).
Dalam penghakiman setebal 32 halaman itu, Singham berkata mahkamah
tidak dapat membezakan apa-apa prinsip undang-undang yang membenarkan
pemaju untuk menyimpan, memindah atau menukar jumlah RM1,803,972.63 yang
telah dibayar ke akaun Pangsapuri PHR untuk manfaat dan kegunaan
sendiri.
"Mengikut hukum alam, tiada siapa boleh memperkayakan dirinya secara
tidak adil...dalam kes ini, pemaju mengambil kesempatan ke atas
pemilik," katanya.
Beliau juga berpendapat bahawa keadilan menuntut pemaju dikehendaki
memulangkan jumlah dana lebihan yang dikutip dari pemilik blok
pangsapuri untuk khidmat penyelenggaraan seperti termaktub di bawah Akta
Hakmilik Strata 1985.
Singham berkata hakikat bahawa ia mungkin menjadi amalan biasa bagi
pemaju untuk menyimpan semua caj pengurusan dan penyelenggaraan yang
dikutip dari pemilik unit kondominium dalam tempoh pra penubuhan
perbadanan pengurusan dan penubuhan majlis di bawah Akta Hakmilik Strata
tetapi ia tidak semestinya bermakna wang dalam akaun Pangsapuri PHR
menjadi milik pemaju.
Beliau berkataan ciptaan jangkaan atau amalan semata-mata tidak
mencukupi dalam undang-undang melainkan jika ia adalah jangkaan hak
undang-undang dan dalam kes ini, ia tidak ada hak undang-undang.
"Mahkamah ini mendapati bahawa ia akan menjadi tak saksama melampau
dan tidak adil untuk membenarkan pemaju memindahkan aset unit pemilik ke
dalam akaun peribadi," katanya.
Singham menegaskan bahawa ia juga tidak adil secara nyata untuk
membenarkan pemaju menyimpan atau memindahkan lebihan wang ke dalam
akaunnya selepas menghentikan khidmat mengurus pangsapuri itu.
Pada 2012, perbadanan pengurusan melibatkan pemilik Blok A, B dan C
Paradise Lagoon Apartment (North) dan enam blok di Paradise Lagoon
Apartment (South) telah memfailkan saman terhadap pemaju itu dengan
menuntut caj penyelenggaraan yang dikutip antara September 1994 dan Mei
2006 adalah milik mereka dan pemaju perlu memulangkan jumlah tersebut
kepada mereka. - BERNAMA