Wednesday, November 13, 2013

Arca Helang Emas Pusaka Kerajaan Kedah Tua oleh Suhaimi Hj. Yusoff.

BTG (III): ARCA HELANG EMAS PUSAKA KERAJAAN KEDAH TUA

11 November 2013 at 11:11
Salam sejahtera ku ucapkan untuk seluruh pembaca serta generasi susur galur pemerintah agung Kerajaan Kedah Tua Merong Mahawangsa yang amat hebat lagi luas jajahan takluknya pada waktu dahulukala.                                                                                                                                    
“ Sekumpulan pencari harta karun dari Perak mendakwa memiliki arca helang emas   bersama ketulan zamrud berukuran 24 sentimeter seberat 6 kilogram, dipercayai  berusia lebih 500 tahun peninggalan Kerajaan Kedah Tua.”
                                                                                                                                
Arca Helang Emas Didedah                   
Petikan Akhbar Sinar Harian
Rabu 27 April 2011

Alkisah tersebutlah cherita lama itu yang dikarangkan samula dengan seadanya.

A.     Petikan Dari Akhbar Sinar Harian, Edisi Utara


Jitra - Sekumpulan pencari harta karun dari Perak membuat pendedahan menggemparkan berkenaan sebuah artifak arca helang emas bersama ketulan zamrud berukuran 24 sentimeter, dipercayai peninggalan Kerajaan Kedah Tua yang berusia lebih 500 tahun di sini baru-baru ini.  

Wakil kumpulan itu, Nordin Ahmad berkata, pihaknya menemui arca yang dikatakan pernah dimiliki Sultan Perak pertama, Almarhum Sultan Muzaffar Shah secara ‘ritual’ pada 2007 di lokasi Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak atau lebih dikenali dengan nama Tasik Pawar Janggi

Menurutnya, arca helang emas yang berukuran lebih kurang 35 sentimeter dan diperbuat daripada emas India seberat enam kilogram turut dikenali sebagai Ganggayu/Langkiu setelah merujuk kepada buku Cempaka Sari karangan Fauzi Basriyang diterbitkan oleh Yayasan Perak dan dipercayai ada kaitan dengan Kerajaan Kedah Tua.

Pihak kami membawa artifak ini ke pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dan pernah berbincang dengan beberapa Exco Kerajaan Negeri Perak berhubung urusan ‘penebusan’ artifak ini. Bagaimanapun, kami diberitahu kerajaan Negeri tiada peruntukan untuk ‘menebus’ atau membeli artifak itu, mungkin disebabkan tiada sebarang dokumen dan manuskrip asal yang menjadi bukti ia pernah dimiliki Almarhum Sultan Muzaffar Shah.

“Kami turut berbincang dengan pengurusan Galeri Sultan Azlan Shah dan Muzium Negeri Perak di Kuala Kangsar, namun turut gagal atas alasan sama,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Nordin berkata, pihaknya kini sedang mencari jalan untuk menyerahkan semula artifak itu kepada Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berdasarkan salasilah keturunan diraja yang dimiliki baginda sejak zaman pemerintahan Kerajaan Kedah Tua. 

Menurutnya, satu rujukan terperinci dengan beberapa pakar dalam pelbagai bidang berkaitan termasuk pakar sejarah di dalam dan luar negara, pengurusan beberapa muzium di negara ini, jurutera carigali, Jabatan Warisan Negara (JWN), pakar penilaian emas, Jabatan Geosains dan Mineral Ipoh, Teraju Istiadat Negeri Sembilan, pengurup wang, pengumpul barang-barang artifak dan antik dari Singapura, Jepun dan Taiwan dibuat bagi memastikan keaslian arca itu sahih dan mempunyai nilai sejarah.

Penilaian harganya subjektif dan tidak dapat dijangkakan memandangkan ianya dinilai dari pelbagai sudut iaitu jenis logam, nilai estetika dan usia artifak itu dihasilkan walaupun pernah mendapat tawaran sehingga RM20 juta daripada kerabat diraja Brunei yang gemarkan barangan purba.

Ada pakar sejarah mengatakan usianya lebih tua kerana ianya mungkin dihasilkan pada zaman Kerajaan Mesopotamia/Babylon II berdasarkan objek burung itu sendiri yang berkait dengan negara-negara sebelah Eropah Timur dan Asia Barat. 

“Manakala pendapat dari seorang pensyarah Fakulti Sejarah Melaka dan Portugis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Yahaya Bakar mengatakan ianya mungkin dihasilkan pada zaman pemerintahan Kerajaan Ryukyu (Jepun). Apa pun, kami minta Kerajaan Negeri Kedah mengambil perhatian terhadap niat memulangkan arca itu kepada pemilik asal iaitu waris kesultanan Melayu Kedah, Tuanku Abdul Halim,” katanya.

Nordin berkata, mulanya mereka bercadang menjual artifak ini kepada sesiapa yang berminat namun mengubah fikiran. “Bagi saya, lebih baik ianya disimpan di Kedah untuk rujukan dan pameran bagi generasi akan datang dan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat boleh berhubung terus melalui talian 013-4343xxx,” katanya.

B.     Dinamakan Arca Helang Emas Sultan Muzaffar Shah (Sultan Perak 1528-1549)   


1. Arca ini telah ditemui pada hari Selasa, 9 Oktober 2007 Masehi bersamaan 27 Ramadhan 1428 Hijrah pada jam 4.55 petang sebaik sahaja selesai azan solat Asar dikumandangkan.  Ditemui pada lokasi berhampiran Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak atau lebih dikenali dengan nama Tasik Pawar Janggi, ia merupakan tempat bersiram putera raja di dalam upacara istiadat mandi tabal untuk Raja-Raja Melayu yang bakal menaiki tahta Diraja Negeri Perak.  
                                                                              
2. Di awal penemuan, artifak ini bukanlah seperti keadaan masakini dan tidak diketahui langsung nama atau siapa pemilik asalnya. Setelah ‘dibersih dan dicuci’ mengikut kaedah-kaedah tertentu, barulah dipasangkan tapak bagi membolehkannya berdiri. Disebabkan tidak mengetahui cerita dan asal usul bagaimana artifak sebegini hebat boleh berada di situ maka pihak penemu telah menamakannya sebagai Arca Helang Emas Sultan Muzaffar Shah sebagai subjek pengenalan dan rujukan awalan.

C.     Sejarah Ringkas Kerajaan Tua di Perak berdasarkan buku Cempaka Sari

1. Pusat kerajaan yang paling awal diketahui terletak di kawasan yang meliputi Beruas dan Dinding pada hari ini yang diberi nama Kerajaan Gangga Negara (Rajah 5). Ianya diolah dalam pelbagai bentuk versi tradisi lisan tentang asal usulnya serta ada yang menyebut bahawa pengasas Kerajaan Gangga Negara adalah Raja Ganjil Sarjuna yang berasal dari Kedah. Berdasarkan penemuan arca-arca Buddha, pakar sejarah telah merumuskan di abad ke-5 atau ke-6 Masehi telah wujud Kerajaan Gangga Negara ini yang berpusat di Beruas.  

2. Ada pendapat mengatakan Kerajaan Gangga Negara telah wujud tidak lewat dari abad ke-2 yang terletak di Manjung, daerah Dinding iaitu di selatan Gunung Bubu serta timur Bukit Segari di tepi tebing Sungai Dendang yang sering berubah-ubah berdasarkan penemuan barangan purba di Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput. 
                                                                           
3. Menurut tradisi lisan, kemewahan Kerajaan Gangga Negara ini digambarkan dengan atap istana Raja pemerintah yang berjubin emas, dapurnya dihiasi dengan perak, dinding istana dipenuhi dengan batu permata serta dua buah perigi yang bersalut emas. Kerajaan yang berpusat di Beruas pada abad ke-8 itu merupakan sebuah kerajaan yang sudah pun kuat sehingga mampu menentang Kerajaan Sriwijaya pada tahun 850 Masehi iaitu di abad ke-9. 

4. Ada juga penulis yang menyatakan dalam era kehebatan inilah seorang Sayyid dari tanah Arab telah memperkenalkan agama Islam melalui perkahwinan dengan salah seorang puteri raja Kerajaan Gangga Negara. Kenyataan ini telah disangkal sepenuhnya oleh fakta sebilangan besar sejarawan dengan mengatakan bahawa Samudera, Pasai dan Perlak merupakan negeri-negeri di Sumatera Utara yang mula bertapaknya Islam di rantau nusantara ini pada kurun ke-13!         
                                                 
5. Dalam tahun 890 Masehi, seorang anak raja berketurunan dinasti Sailendra, Jawa bernama Bolaputra telah memerintah kawasan yang dipanggil Ganggayu atauKlang Kio. Ada juga yang mencatatnya sebagai Langgiu dan Gelanggayu iaitu sebuah kawasan di negeri Johor pada waktu ini.  
               
6. Setelah pemerintah Ganggayu ini menyerang dan mengalahkan Beruas, beliau telah berkahwin dengan puteri Raja Gangga Negara. Kemudiannya, Raja Bolaputra berundur dan selepas itu kerajaan di Beruas ini menjadi aman damai lagi makmur sehingga kurun ke-11 sebelum diserang oleh Raja Chola Rajendran I (Raja Chola Deva I) atau Raja Suran seperti yang tercatat dalam buku sejarah Melayu, Sulalatus Salatin. Serangan itu telah memusnahkan sama sekali Gangga Negara di zaman pemerintahan Raja Gangga Shah Johan (1025 - 1028 Masehi).

7. Selepas kemusnahan itu, hanya tinggalan dua buah kerajaan Melayu yang wujud iaitu Kerajaan Beruas (berpusat di Kampung Kota sekarang) dan Kerajaan Manjung(berpusat di Kampung Segari). Beruas dikenali sebagai Zabaj oleh pedagang Arab atau Cho-Pu oleh orang-orang Cina. Pusat perdagangan pada zaman itu telah pun menghantar emas dan mineral bijih besi ke rantau Timur Tengah melalui kapal dari pelabuhan Kampung Dendang ini.

D.     Andaian Kemunculan Arca Helang Emas


1. Telah timbul pelbagai spekulasi bagaimana artifak Ganggayu atau Langkiu yang lebih dikenali sebagai ‘Ganggayu Langkiu’ yang sebegini hebat dapat dikaitkan dengan Kerajaan  Kesultanan Melayu Kedah Tua boleh berada di sekitar kawasan tasik yang misteri itu?  Terdapat pelbagai hipotesis oleh pihak penemu arca ini dan penulis* yang mengandaikan bahawa:   
    
i. Ianya dipamer indah di atas meja seorang pembesar negeri dahulukala yang besar kemungkinan terdiri samada dari seorang Sultan, Raja, Putera Raja atau Menteri. Tanpa disangka, berlaku satu peristiwa kacau bilau dan pergolakan dalaman istana pada zaman itu. Khazanah ini dengan segera dibawa keluar dan dilarikan oleh seorang perempuan dari dalam istana yang berkemungkinan seorang permaisuri, puteri raja atau isteri kepada seorang pembesar negeri waktu itu lalu beliau bertindak menanam khazanah ini di kawasan tersebut demi keselamatan dirinya.

ii. Besar kemungkinan ianya telah ditanam atau dicampakkan semasa berlaku kacau bilau atau perang di dalam negeri sehingga menyebabkan Sultan, Raja atau pembesar berkenaan dan seisi keluarga terpaksa melarikan diri. Baginda sempat menitahkan orang suruhan kepercayaannya untuk menyelamatkan diri dan segala harta benda bernilai termasuklah artifak ini terpaksa ditinggalkan di lokasi terbabit.

iii. Dihubungkaitkan dengan kedatangan Raja Perak yang berasal dari nasab keturunan Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Melaka yang terakhir.

iv. Diandaikan semasa Negeri Kedah diserang oleh tentera Sukhothai dari Siam.

v. *Bertitik tolak dari campurtangan kerajaan Majapahit di Kedah yang menyebabkan generasi ke-6 susurgalur Merong Mahawangsa iaitu Raja Kedah VI (Raja Tengku Hisyam Badrol Halim) terpaksa melarikan diri bersama keluarga dan segala harta benda yang berharga lalu menanam sebahagian barangan berharga di kawasan tersebut dalam perjalanan berhijrah ke tanah Jawa pada tahun 1321 Masehi.

E.     Ulasan Daripada Pelbagai Pakar

1. Berkenaan batu hijau yang berukur lilit 24 sentimeter (sm) pada bahagian kaki artifak Ganggayu Langkiu, seorang ahli gemologis yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun bertugas di beberapa makmal di Amerika Syarikat membuat andaian yang ianya dikategorikan sebagai batu Zamrud, Zirkon, Chrysoprase, Langka Green Garut Top,Mulia Green Cats Eye (Chatoyanci), Quartz hijau, Tyrus Persia (Green Turquoise Persia). Ianya bukan batu Zamrud tiruan yang dikenali sebagai Jij atau mana-mana batu tiruan yang berukuran kecil. Menurutnya lagi, untuk mudah difahami dan dibuat perbandingan beliau menyarankan agar meneliti jenis emas yang terdapat di sekitarMasjidil Haram, Mekah. 

2. Daripada perspektif akademik oleh seorang Profesor Emeritus yang merupakan pakar rujuk sejarah dan arkeologi terkenal tanahair, beliau menyimpulkan yang artifak itu dikenali sebagai Vahana iaitu seolah-olah mitos kenderaan berupa burung helang yang seringkali digunapakai oleh Dewa Vishnu. Ia merupakan simbol keagamaan agama Hindu Bharaiva bagi penganut mazhab Vishnu pada kurun ke-12 dan 13 Masihi. Sewajarnya, arca tersebut mempunyai hubungkait yang amat kuat dengan unsur agama Hindu purba yang telah mengantikan amalan agama Buddha di tanah Semenanjung ini pada waktu itu.
                           
3. Dari aspek kerohanian, kaum India berugama Hindu dapat menghidu dan merasakan artifak ini mempunyai kelangsungan hubungannya dengan sesuatu yang gemilang pada zaman silam. Apa yang diketahui selepas setahun melakukan urusan tawar menawar dengan pihak pengurup wang dari Singapura, pihak penemu arca ini mendapati tujuan arca ini hendak dibeli adalah untuk ditempatkan di salah sebuah kuil terbesar di Madras, India dan akan disembah serta ditaburi dengan susu dalam setiap upacara keagamaan masyarakat India-Hindu di sana nanti. Pada mulanya, mereka ditawarkan dengan harga RM2,876,032 hingga ke RM3 juta dan kemudiannya mencecah menjadi RM5 juta. Akan tetapi yang menjadi kehairanan pihak penemu arca ini lagi apabila wakil India-Hindu dari pihak Singapore Money Changer sanggup menawarkan harga setinggi RM5 juta atas perspektif keagamaan dan kepercayaan mereka terhadap khazanah ini.  
                                                
4. Berdasarkan kepada pengalaman berurusan, pelbagai pihak seperti Habib Jewel di Kuala Lumpur dan Penangpihak Ipoh Goldsmith, penguji profesional bagi individu tertentu dan penguji dari Singapore Money Changer, telah bersepakat mengatakan yang arca itu memiliki jenis emas yang bukan seperti logam emas masakini! Apa yang lebih penting adalah objektif khazanah ini mungkin boleh dihubungkaitkan dengan zaman pemerintahan dan kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Islam Lama yang ada kesinambungannya dengan penyebaran syiar Islam. 

 5. Menurut seorang Profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada hari Rabu 25 Julai 2012 yang lalu, peralatan yang terdapat di situ tidak dapat mengesan dari sudut pentarikhan relatif dan mutlak (Carbon Dating) arca tersebut. Apa yang boleh dikesan hanyalah kandungan jisim pelbagai logam seperti karbon, plumbum, magnesium, nikel dan pelbagai lagi. Alatan yang terdapat di situ hanyalah sesuai untuk menguji subjek yang bersaiz kecil sahaja seperti yang terdapat di Jabatan Geosains dan Mineral kerana peralatan yang terdapat di Makmal Negara tidaklah secanggih seperti yang terdapat di luar negara kerana kos alatannya adalah terlalu mahal.

F.     Spesifikasi Arca Helang Emas       
         
1. Sebelum dilakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk persembahan Diraja, beratnya adalah 6 kg manakala tingginya dari hujung sayap burung ke bahagian bawah tapak adalah 35 sm. Dari sisi kiri ke kanan sayap, lebarnya adalah 22 sm dan memiliki panjang 19 sm dari bahagian paruh ke ekor burung.

2. Dari aspek kandungan bahan, bahagian luar arca diperbuat dari logam emas sadur lama Persia (Plated Gold) dan bahagian dalamnya pula dipercayai dari logam tembaga kuning dan bukannya logam besi mengikut kaedah yang telah ditunjukkan oleh pakar. Batu permata hijau berukuran lilit 24 sm adalah dipercayai dari pelbagai jenis batu permata samada permata Zamrud, permata Chrysoprase, permata Langka Green Tarut Top, batu permata Mulia Green Cats Eye (Chatoyanci ), permata Quartz Hijau atau permata Tyrus Persia (Green Turquoise Persia).

3. Kajian yang dilakukan telah mengenalpasti bahawa ianya bukan diperbuat dari batu permata tiruan atau batu sintetik yang dikenali dengan nama komersil 'JJ' oleh kebanyakan pakar. Batu permata putih kebiruan di bahagian bawah sayap burung berjumlah 351 butir yang dipercayai dari jenis batu permata Zirkon. Di bahagian mata burung terdapat 2 butir batu bermata merah yang dipercayai samada diperbuat dari jenis batu permata Zirkon atau batu permata delima Ruby.

G.     Sinopsis Artifak Ganggayu Langkiu


 1. Logam emas yang kelihatan pada artifak helang itu bukanlah dari jenis emas 916, emas 999, emas 875 atau emas India seperti yang terdapat pada hari ini. Ianya merupakan emas saduran yang diberi nama Persian Gold atau lebih meyerupai Plated Gold manakala kandungan di dalamnya berkemungkinan terdiri dari tembaga kuning sahaja. Sebenarnya, apa yang sangat berharga bagi artifak ini adalah dari sudut sejarahnya dan pembuatannya yang dikaitkan dengan zaman kegemilangan tamadun Melayu Islam Tua iaitu Kerajaan Kedah Zamin Turan.

2. Namun, ada pihak turut mendakwa batu-batu permata yang berjumlah 351 biji yang terpahat di bahagian bawah sayapnya, hanyalah batu Zirkon dan begitu juga dengan batu hijau yang sebesar ukuran bola tenis turut dikatakan dari jenis batu Zirkon juga. Seandainya ia adalah batu permata Zamrud yang asli, sudah pasti ianya amat bernilai kerana terdapat perbandingan batu permata Zamrud yang dimiliki oleh pihak lelongan Christie’s London dan Sotheby’s. Adalah dipercayai batu permata Zamrud (Colombia Emerade Stone) yang berukuran lilit 10 sm sahaja telah mencecah harga setinggi RM1.4 bilion di pasaran antarabangsa!

H.     Pelbagai Persoalan Yang Berkaitan


1. Kajian terperinci dengan biayaan dana yang mencukupi oleh individu yang berminat atau pengkaji daripada generasi susur galur Merong Mahawangsa yang hakiki adalah amat dialu-alukan demi untuk mencari suatu jawapan yang tepat dari sudut perkongsian ilmu. Di antara beberapa persoalan yang telah diajukan sebagai halwa minda adalah:

i. Apakah hubungkait kemunculan artifak ini pada 9 Oktober 2007 dengan pertabalan Sultan Kedah sebagai Yang DiPertuan Agung yang ke-14 buat kedua kalinya pada 13 Disember 2011 (14,13.12.11) yang belum pernah berlaku dalam sejarah Ketua Negara?

ii. Apakah impak terbesar yang bakal berlaku selepas ini terhadap seluruh umat Nusantara di tanah bertuah Suvarnabhumi (Tanah Semenanjung) dan Suvarnadvipa (Kepulauan Melayu) ini?

iii. Adakah ini merupakan tanda kemunculan simbolik kepada petanda untuk kebangkitan semula Semenanjung Emas (Golden Khersonese) ini ?                                              

Hatta, setiap jawapan membawa bersamanya soalan yang tidak dapat dielakkan; apakah hubungannya perkara ini dengan semua yang lain …..?

  
(Artikel Balancing The Geoid (BTG) nombor 14 bawah Kategori III Modal Insan dan Pencapaian Budaya:  Artifak Tamadun Silam)  
                                                                                                                                              
Nota: Artikel ini telah disedia, dikemaskini dan dinasihatkan untuk dimuat turun pada hari Isnin, 11 November '13 @11:11:30am

Sumber Rujukan: (i). Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak karya M.A.Fawzi Basri (ii). Temubual dengan seorang Profesor Emeritus yang merupakan pakar sejarah dan arkeologi dari salah sebuah universiti tempatan (iii). Temubual dengan pemegang amanah/penyimpan sementara artifak yang diberi mandat oleh pemilik sebenar  (iv). Akhbar Sinar Harian Edisi Utara.

Rajah 1: Pusaka Kedah Tua telah dijumpai.
Rajah 1: Pusaka Kedah Tua telah dijumpai.

R2: Arca helang emas didedahkan.
R2: Arca helang emas didedahkan.


R3: Imej satelit lokasi pesisiran pantai Negeri Perak.
R3: Imej satelit lokasi pesisiran pantai Negeri Perak.


R4: Lokasi jumpaan arca helang emas.
R4: Lokasi jumpaan arca helang emas


R5: Kedudukan kerajaan Manjung dan Beruas.
R5: Kedudukan kerajaan Manjung dan Beruas.



R6: Keputusan makmal untuk sampel spektrum 1.
R6: Keputusan makmal untuk sampel spektrum 1.


R7: Sampel spektrum 1.
R7: Sampel spektrum 1.

R8: Proses pengambilan sampel.
R8: Proses pengambilan sampel.


R9: Kebuk kuning berisi arca helang emas telah selamat tiba di Seremban pada hari  Khamis (8/11/12)@12.27pm
R9: Kebuk kuning berisi arca helang emas telah selamat tiba di Seremban pada hari Khamis (8/11/12)@12.27pm


R10: Kebuk mula dibuka @1.36pm
R10: Kebuk mula dibuka @1.36pm


R11: Arca helang emas dalam kotak kaca.
R11: Arca helang emas dalam kotak kaca.



R12: Deskripsi sejumlah batu permata pada badan arca helang emas.
R12: Deskripsi sejumlah batu permata pada badan arca helang emas



R13: Kenangan penulis sebagai penyelaras program pewartaan di belakang arca helang emas.
R13: Kenangan penulis sebagai penyelaras program pewartaan di belakang arca helang emas.




R14: Barisan individu yang terlibat: Penyelaras (paling kiri), penilai artifak dari sudut metafizik, pemerhati bebas warganegara Australia dan pemegang amanah/penyimpan sementara artifak yang diberi mandat oleh pemilik sebenar (paling kanan).
R14: Barisan individu yang terlibat: Penyelaras (paling kiri), penilai artifak dari sudut metafizik, pemerhati bebas warganegara Australia dan pemegang amanah/penyimpan sementara artifak yang diberi mandat oleh pemilik sebenar (paling kanan).