Tanpa cinta, tiada seni. Kenapa nampak keindahan? sebab ada cinta. Kenapa nampak kehalusan? kerana ada cinta. Justeru itu, seni ada dimana-mana dan wujud pada semua, manakala cinta pula bersemi pada semua sehingga nampak kesenian. Maka dapat disimpulkan bahawa dengan cinta alam diciptakan oleh Tuhan. Di atas nama Allah, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang, segala yang ada dilangit dan segala ada dibumi diciptakan.
Pelbagai jalan ditempuh untuk orang mencari Allah. Tetapi dengan cintalah jalan semudah-mudahnya, bercintalah, sampai anda menjadi satu dengan yang anda cintai. Yang mana satukah yang anda cintai? Dari mana anda hendak memupuk cinta itu? Apakah dari keindahan alam? atau dari kecantikan gadis yang tanpa pakaian? atau dari ketampanan seorang lelaki? atau ditanah tempat kita dilahirkan? Itu semua bukanlah cinta, itu baru bunga-bunga dalam menuju cinta.
Hakikat hidup umpama sebatang pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, seranting dari rerantingnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya buahnya yang dicintai, bagaimana dengan serangga yang memagar bunga? bagaimana dengan akar yang membawa garam galian untuk kegunaan daun? bagaimana dengan bumi tempat pokok itu tumbuh? dan bagaimana dengan matahari yang memberikan suria?
Sekiranya buah dihujung dahan berhak beroleh rahmat cintamu, maka seluruh pohon itu pun, dan tempat dia tumbuh, alam sekeliling pohon itu pun, berhak beroleh cintamu, sehinggakan buah yang busuk, dahan yang mati dan daun yang gugurpun berhak mendapat rahmat cintamu kerana itu adalah sebahagian daripada hasil keelokan buah yang engkau cintai tadi. Itulah hakikat kehidupan.
Cinta ialah air tirta kehidupan. benci adalah racun yang membawa maut. Jika kebencian menelusuri dan masuk menyelinap dalam pohon kehidupan, maka tumbanglah pohon itu. Biarkan cinta itu mengalir pada seluruh pohon umpama darah mengalir pada diseluruh tubuh, jika perjalanan darah sudah tidak teratur, maka penyakitlah yang akan datang menimpa. Tidak akan ada daun yang layu, dahan yang rapuh selama urat masih sempurna menghisap sari dari bumi tempatnya menyusu.
Janganlah cinta diletakan pada sifat, sebab sifat boleh berubah ditelan zaman, langsungkan terus cinta itu pada zat. Adapun zat yang hakiki, zat yang mutlak, ialah zat Allah. Itulah wujud yang sempurna, yang tiada terpecah lagi. Kalau direnungi lagi, cinta sejati itu ialah Allah. Sebab Allah cinta akan DiriNya.