Membicarakan Cinta merupakan suatu yang menguja kepada setiap insan apatah lagi kepada mereka yang bergelar mahasiswa yang masih keremajaan. Cinta adalah sebahagian daripada fitrah insan dan suatu kurniaan Allah. Prinsip cinta diajar melalui kisah percintaan suci antara Adam dan Hawa yang dirakam di dalam Al-Quran. Termakan pujukan iblis mengakibatkan mereka dihantar ke dunia dalam keadaan terpisah. Akhirnya setelah puluhan tahun Allah SWT menerima taubat Nabi Adam dan mempertemukan semula dua kekasih ini. Kisah cinta ini membuktikan bahawa cinta adalah suatu yang penting dan lumrah dalam hidup manusia.
Sebagai manusia kita merasai pelbagai jenis cinta sesama manusia termasuk cinta kepada rasul, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada adik beradik, cinta kepada sahabat dan cinta antara lelaki dengan wanita. Oleh itu carilah dan milikilah cinta yang kita dambakan kerana ia merupakan rahsia Allah. Bagaimana pula dengan cinta berlawanan jantina atau antara lelaki dan wanita? Memilih untuk memiliki cinta ini bukan suatu yang salah tetapi cara bagaimana para mahasiswa dapat mengurusnya. Cinta berlainan jantina ada 3 jenis. Pertama; Cinta yang mendekatkan diri kepada Allah. Kedua ; Cinta yang mendatangkan kemurkaan Allah. Ketiga; Cinta yang harus iaitu cinta yang tidak disengajakan dan tidak sampai membawa maksiat kepada Allah.
Oleh itu, berfikirlah sebelum memilih untuk memiliki cinta lelaki pada usia remaja dan dizaman perkuliahan. Binalah cinta berasaskan panduan syariat bagi memelihara kemuliaan diri sebagai wanita dan menyelamatkan kehormatan sebagai lelaki yang bakal menjadi pemimpin keluarga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.” (Riwayat Ibnu Majah).
Justeru bersempena Ramadan al Mubarak baharuilah azam dan kuatkan semangat para mahasiswi sekelian. Janganlah menjadikan cinta kepada lelaki sebagai dambaan utama sebelum sampai masanya. Perjalanan saudari masih jauh dan berliku. Isi dan penuhilah hati dengan cinta lain yang lebih bermakna dan memberi semangat untuk saudari menempuh liku-liku kehidupan. Jangan kotorkan istilah cinta dengan cinta ‘monyet’ yang tidak keruan atau memperalatkan cinta untuk memuaskan hawa nafsu. Insya-Allah apabila sampai masanya cinta yang didambakan akan hadir apabila saudari telah lebih bersedia memikul tanggungjawab cinta Adam dan Hawa iaitu menyambung zuriat keturunan khalifah Allah di muka bumi ini.