Budiman Mohd Zohdi Setiausaha BN Selangor. |
MESYUARAT Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung pada 24 November hingga 4 Disember lalu dilihat telah membuka mata banyak pihak mengenai perjalanan politik serta pentadbiran di negeri itu.
Daripada pembentangan Bajet Selangor 2015, memperlihatkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar iaitu sebanyak RM2.42 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan berbanding pada tahun sebelumnya sebanyak RM1.85 bilion.
Bajet Selangor untuk tahun 2015 secara faktanya menunjukkan nilai defisit yang tinggi sebanyak RM450 juta yang mana ia seakan-akan sudah menjadi ‘legasi’ pakatan rakyat sejak mereka mula merangka bajet negeri sejak tahun 2009 lagi.
Ini kerana, dalam Bajet Selangor 2009, ia dicatatkan mengalami defisit sebanyak RM120 juta diikuti RM194 juta (2010); RM210 juta (2011); RM167.1 juta (2012) dan RM761.4 juta pada tahun 2013.
Setiap tahun kerajaan negeri membentangkan bajet dan memberikan alasan bajet negeri adalah bajet berimbang, namun setiap tahunlah juga dalam tempoh itu kerajaan negeri mengemukakan permohonan di Mesyuarat DUN Negeri untuk kelulusan peruntukan tambahan.
Bagaimana pula dengan Bajet Selangor 2015 ini? Apakah benar-benar tiada permohonan peruntukan tambahan sebagaimana yang diucapkan oleh Menteri Besar?
Kita agak skeptikal dalam soal ini lebih-lebih lagi dengan peruntukan pembangunan yang melibatkan 46.81 peratus iaitu RM1.13 bilion daripada keseluruhan bajet negeri tahun depan.
Kita tidak menolak usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan di Selangor dengan memperuntukkan jumlah yang besar untuk tujuan itu, cumanya kita tidak mahu peruntukan RM1.13 bilion itu dijadikan alasan untuk menaikkan kos kerja-kerja pembangunan sedangkan kerja-kerja yang dilaksanakan tidak setimpal.
Malah, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sendiri menerusi laporan sebuah portal berita pada 15 November lalu pernah menyebut bahawa kerajaan negeri tidak akan menggunapakai amalan sebelum ini (ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar) yang mengambil kontraktor paling murah untuk menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di Selangor.
Sebaliknya, Menteri Besar ketika ini sedia membayar lebih bagi mendapatkan kontraktor berwibawa untuk tujuan tersebut.
Sungguhpun apa yang dinyatakan oleh Mohamed Azmin itu tidak menyalahi peraturan kewangan, namun kita khuatir dengan peruntukan pembangunan yang besar ditambah dengan amalan sedia membayar lebih kepada kontraktor, ia sudah tentunya menimbulkan banyak persoalan khususnya cara pelantikan kontraktor yang dibuat supaya ia benar-benar berwibawa sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar itu.
Menteri Besar perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini termasuklah mekanisme yang diguna pakai kerajaan negeri dalam pelantikan kontraktor-kontraktor yang terlibat untuk kerja-kerja pembangunan di Selangor selain bebas daripada amalan pemberian kepada syarikat-syarikat kroni yang mempunyai kaitan kepentingan politik.
Selain Bajet 2015, mesyuarat DUN Selangor baru-baru ini turut menyaksikan ‘belang sebenar’ DAP yang secara terang-terangan menuntut satu lagi jawatan Timbalan Speaker DUN dilantik dari kalangan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mereka.
Seolah-olah berselindung di sebalik nama demokratik, tindakan DAP itu dilihat tidak menghormati undian pemilihan jawatan itu yang dibuat pada 24 November lalu dalam mesyuarat DUN yang menyaksikan ADUN Bangi daripada Pas, Mohd. Shafie Ngah mendapat 28 pencalonan sekali gus melayakkan memegang jawatan itu manakala DAP menerusi wakilnya, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hanya menerima 14 pencalonan.
Namun, DAP seakan-akan bersikap ‘talam dua muka’ di sebalik ‘tahaluf siyasi’ parti itu dengan Pas yang mana mereka bukan sahaja tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, bahkan parti itu dilihat seolah-olah menunjukkan sifat tamak yang melampau susulan tindakan Ng Suee Lim yang juga Timbalan Setiausaha DAP Selangor mengeluarkan kenyataan pada 2 Disember lalu yang menuntut supaya kerajaan negeri mewujudkan jawatan Timbalan Speaker DUN II.
Sudahlah jawatan Speaker DUN itu diwakili oleh DAP yang diisi oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, jawatan Timbalan Speaker pun mereka mahukan juga.
Kasihan kepada Pas, sudah dapat jawatan, rakan sebantal pula tidak puas hati.
Apakah sikap DAP dalam isu jawatan Timbalan Speaker DUN itu disebabkan parti itu mahu membalas dendam kepada Pas yang tidak menuruti DAP dan PKR dalam kemelut Menteri Besar Selangor sebelum ini?
Apakah juga perlakuan DAP itu sebagai tindak balas terhadap Pas susulan pendirian Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang dilaporkan sering menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini terutama berkaitan isu ketidakhadiran Presiden Pas itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pakatan?
Selain isu jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor, DAP juga dilihat seperti cuba menggunakan mesyuarat DUN untuk meraih kepentingan politik dengan mengusulkan gesaan supaya Kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Malah, ADUN Kampung Tunku daripada DAP, Lau Weng San yang mencadangkan usul tersebut ketika mesyuarat DUN jelas melabelkan akta tersebut sebagai zalim.
Namun, tindakan DAP membangkitkan usul tersebut dengan memberikan pelbagai alasan supaya akta itu dimansuhkan bukan sahaja tidak berasas sama sekali, bahkan ia seolah-olah menggambarkan betapa ceteknya pengetahuan mereka mengenai soal perundangan serta bidang kuasa pentadbiran di negara ini.
Ini kerana, sebarang perbahasan atau pindaan melibatkan akta Hasutan 1948 perlulah dibuat melalui Dewan Rakyat, kerana akta itu adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan bukannya kerajaan negeri atau DUN Selangor.
Jadi apakah niat sebenar DAP ini, apakah mereka cuba gunakan platform DUN Selangor untuk memberi fakta yang tidak tepat mengenai pelaksanaan akta itu?
Apakah mereka cuba menggunakan kekebalan DUN untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap akta itu?
Jika DAP sering menjadikan negara jiran kita, Singapura sebagai ‘kiblat’ mereka apabila sering cadangkan kerajaan Malaysia mencontohi itu dan ini yang dilakukan oleh republik itu, mengapa pula mereka tidak mempersoalkan Akta Hasutan yang masih lagi digunapakai oleh negara berkenaan?
Mengapa DAP perlu takut dengan Akta Hasutan 1948 ini, apakah kerana parti itu sememangnya berniat mahu melanggar undang-undang?
Apakah juga kerana DAP mengamalkan pendekatan menghasut sebagai strategi politik atau kempen mereka?
Ini yang perlu diperjelaskan. Sekiranya DAP mematuhi undang-undang, menghormati sensitiviti rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, maka sepatutnya mereka tidak perlu bimbang atau gusar dengan pengekalan akta ini.
PENULIS ialah Setiausaha ADUN BN
Selangor.