Peguam bekas Sultanah Johor memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah hari ini pengumuman talak yang dilafazkan oleh bekas suami beliau, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, adalah tidak sah dari segi undang-undang Islam.
Afshah Arifin, peguam yang mewakili Tuanku Zanariah Tunku Ahmad (gambar), juga berkata Majlis Fatwa Negeri menyalahguna kuasa mereka kerana mencerobohi penghakiman Mahkamah Syariah Johor.
"Daripada fakta yang diberikan, kita tidak tahu siapa yang mendakwa dalam fail penceraian tersebut.
"Mustahil Almarhum (Sultan Iskandar) kembali lapan bulan selepas kemangkatannya untuk memfailkan kes ini," katanya
Afshah mempersoalkan kesahihan talak dua yang dipercayai telah dilafazkan oleh Sultan Iskandar di Wad Diraja, Hospital Pakar Puteri, pada 23 Januari 2009 seperti yang terkandung dalam afidavit.
"Apabila Almarhum (Sultan Iskandar Sultan Ismail) melafazkan talak tersebut, adakah beliau dalam keadaan waras? Adakah perubatan yang diambil menjejas pemikiran beliau?
"Saksi talak juga tidak memberikan sebarang kenyataan tentang pengumuman talak tersebut," katanya.
Afshah turut mempersoalkan kuasa bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang menarik balik pangkat Diraja bekas Sultanah Johor itu.
Mahkamah akan bersidang semula petang ini.
Pada 1 Januari lalu, Tuanku Zanariah mengenepikan arahan mahkamah yang mengatakan Sultan Iskandar Sultan Ismail telah menceraikan beliau dengan talak tiga pada 23 Januari 2009.
Ekoran itu, permohonan rujuk oleh Tuanku Zanariah adalah tidak sah.
Dalam afidavitnya, Tuanku Zanariah mendakwa beliau dan Sultan Iskandar difitnah dengan menggunakan nama kerajaan negeri, terutama sekali penguatkuasa agama.
Tambahnya, kedua mereka hidup bahagia sebagai suami isteri yang sah sehingga beliau mangkat pada 22 Januari 2010 dan Almarhum juga tidak memfailkan sebarang dakwaan untuk penceraian tersebut.
Sultan Iskandar merupakan plaintif manakala Tuanku Zanariah merupakan defendan, bermaksud Almarhum memfailkan tuntutan mahkamah terhadap isteri beliau.
Penceraian tersebut dipercayai berlaku pada tahun 2009.
Tuanku Zanariah berkata beliau hanya mendapat tahu penceraian tersebut melalui surat yang ditulis Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Syamsuddin pada 30 September lalu. - 20 Januari, 2013.
(Sumber - http://www.themalaysianinsider.com)