Friday, July 18, 2008

Syair : Wahai Kita Bernama Mahasiswa

Wahai kita bernama mahasiswa
Bangun dan bangkit dari lena
Lama sudah kita terlena
Diulit mimpi fatamorgana

Wahai kita bernama mahasiswa
Mari bangun bersama-sama
Menyusun lagu dan irama
Menyanyikan lagu pusaka bangsa

Wahai kita bernama mahasiswa
Mari kita bersama-sama
Berkorban jiwa dan raga
Demi kelangsungan saka bangsa

Wahai kita bernama mahasiswa
Masa berkata-kata telah tiada
Masa yang ada sedikit cuma
Buat membetul kesilapan lama

Wahai kita bernama mahasiswa
Ingat pesanan ayahanda dan bonda
Jangan lupa taati mereka
Kerana syurga dibawah telapak kaki bonda

Wahai kita bernama mahasiswa
Ingat pesanan pensyarah kita
Belajar bukan untuk periksa sahaja
Belajar kerana tuntutan jiwa

Wahai kita bernama mahasiswa
mari kita bersama-sama
membulatkan tekad dan azam lama
menjadi agen perubah bangsa



Nukilan
Ahmad Rais Johari
Taman Negara Kuala Tahan
Julai 14, 2008

Mahasiswa Non-Resident : Jaga Nama Baik UiTM

Sebagaimana yang pernah saya nyatakan melalui post yang lalu, semua mahasiswa NR UiTM tertakluk kepada Akta 174. Mahasiswa UiTM tidak tertakluk kepada AUKU. Justeru itu, dengan rendah diri saya menyeru semua mahasiswa NR supaya menjaga nama baik UiTM melalui percakapan yang sopan santun, perbualan yang berbudi bahasa, tingkahlaku yang baik dan perbuatan yang beretika semasa berhadapan dengan orang awam disekitar rumah, taman dan tempat saudara dan saudari menginap.

Sebagai mahasiswa UiTM anda perlu menjaga nama anda, nama keluarga anda, nama bangsa anda, nama agama anda dan nama universiti anda. Kegagalan saudara/i menjaga nama baik universiti melalui kata-kata, berbuatan, tingkahlaku dan tindakan boleh menyebabkan saudara/i didakwa di Mahkamah Pelajar Hal Ehwal Pelajar.

Pengalaman di Taman Negara Kuala Tahan - Cerita Tentang Pacat

Sejak zaman kanak-kanak dan remaja saya sudah biasa dengan pacat. Saya tidak merasa geli atau takut dengan pacat dalam apa keadaan sekalipun, saya pernah menoreh getah dengan bonda saya didalam kebun getah yang banyak pacat, saya juga biasa mengecop dan menyabit dahan kelapa sawit, ladang kepala sawit tersebut juga mempunyai banyak pacat.

Saya juga biasa dengan aktiviti mengusahakan sawah padi bermula daripada menanam, mengerat, memukul dan menanggung padi ke tepi ban sebelum ia dikumpulkan dibangsal. Sawah itu juga banyak pacat. Berbeza dengan lintah, pacat tidak mempunyai nilai komersial. Sehingga hari ini saya masih belum mendengar perusahaan menternak pacat dijalankan oleh usahawan tani di negara kita.

Bercerita tentang pacat, saya baru tahu melalui Fais dan melalui abang Lan semasa di Taman Negara rupanya pacat mempunyai dua jantina, mula-mula jadi jantan kemudian bertukar menjadi betina selepas pacat tersebut mendapat darah atau menghisap darah, secara automatik persenyawaan akan berlaku, pacat tersebut akan mati dan menelurkan puluhan anak-anak pacat yang lain.

Pacat berkorban demi meneruskan kelangsungan hidup generasi nya. Satu pengorbanan untuk puluhan generasi baru. Mati Satu, tambah sepuluh. Begitulah kelangsungan generasi pacat berterusan. Setakat hari ini pacat masih belum dalam kategori haiwan melata yang lupus atau dilindungi oleh perhilitan.