Sebulat suara artikel 15 (2c) yang dikatakan sebagai halangan utama penglibatan pelajar dalam politik kini dibubarkan. Polemiknya kini adalah perkara 16 di dalam AUKU yang memberikan kuasa kepada pentadbiran universiti untuk menentukan bentuk-bentuk tindakan berdasarkan garis panduan dalaman universiti masing-masing masih menghantui pelajar, meski pun YB Menteri sudah memberikan jaminan bahawa kini di bawah PH, pelajar bebas beraktiviti.
Selama lebih 50 tahun AUKU mencengkam dan membina benih ketakutan bukan hanya dalam kalangan pelajar bahkan juga pentadbir universiti yang kerap kali melakukan self screening agar tidak dilihat sebagai pro-oposisi.
Benih ketakutan ini telah mengakar, menggaram dan meragi dalam psyche pentadbir universiti dan ia tidak semudah sekadar mencantas ranting-ranting mati yang ada. AUKU itu sendiri bersifat mengekang dan tiada semangat fasilitasi sewaktu mana ianya digubal. Justeru, 15 (2c) hanyalah cabang dan ranting yang mati itu.
Namun kita mengakui bahawa perkara 16 AUKU memerlukan penilitian dan masa kerana ia akan menyentuh elemen perundangan di luar perimeter kawal selia AUKU. Pemansuhan perkara ini perlu dibaca serentak dengan peruntukan-peruntukan lain dan ini memerlukan penelitian yang lebih panjang.
Dahulu, AUKU bukan semata-mata bermatlamat membisukan suara penentangan pelajar, ia juga meletakkan asas tadbir urus operasi universiti. Ia bukan semudah memadam coretan comot di atas kertas. Ia ada implikasi ke atas kewujudan dan keabsahan pengurusan universiti.
Kementerian Pendidikan memberikan komitmen memberikan wajah baru kepada AUKU secara tuntas menjelang 2020. Perbatuannya sudah ada. Niatnya sudah ditulis. Maka kita hanya perlu tunggu dan lihat adakah pentadbiran universiti semasa tidak memahami hasrat dan citra yang dibawakan di bawah kepimpinan PH?
Jika ada yang terpesong daripada hasrat ini maka bersuaralah. Ini masanya.
Warga pelajar tidak perlu terlalu taksub dengan keberadaan perkara 16 kerana seluruh Negara sedang memerhati penzahiran sebuah komitmen yang tinggi untuk mereformasikan jiwa dan raga anda sekalian. Ia peluang yang dahulunya tiada.
Jangan hanya kerana rasa curiga atau terburu-buru maka keluhuran yang lebih tinggi diabaikan, keluhuran yang ditandai dengan anugerah ruang untuk bersuara lantang.
Silakan berpencak. Menteri sudah ‘sporting’
No comments:
Post a Comment