Tuesday, April 23, 2019

Amanat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

22 April 2019: 9am -12pm. YBhg Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali Menyampaikan amanat beliau  kepada kakitangan Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII) Shah Alam dan Ketua2-ketua cawangan sejajar dengan halatuju UiTM bertemakan "Melonjak Profil Global UiTM " -Peranan PPII dan seterusnya melancarkan eProjek, eRuang, Dasar ICT (DICT) & Dasar Keselamatan ICT(DKICT) UiTM. Amanat ini mencipta sejarahnya tersendiri kerana buat julung kalinya UiTM mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) di UiTM pada 15 November 2018 dimana Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali adalah individu pertama yang dilantik ke jawatan tersebut.

Memulakan amanat beliau, beliau menegaskan bahawa Manusia yang dicipta oleh Allah S.W.T sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurniakan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal). Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal.

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ manusia. Qalbu adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan suara hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah, kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai qalbu yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian qalbu (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan qalbunya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak.

Tiga perkara yang perlu dilakukan secara konsisten supaya kita sentiasa berada dilandasan yang betul ialah istiqamah dengan solat, membaca dan menghayati Al Quran dan mengingati kematian. 

Dalam amanat yang disampaikan oleh beliau kepada semua warga Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) beliau menekankan betapa pentingnya peranan PPII  dalam mengkoordinasi keseluruhan usaha berkaitan merancang, rekaan dan pengurusan bangunan termasuk sistem ICT, peralatan dan perabot untuk meningkatkan keupayaan universiti bagi bersaing dalam perubahan dunia yang pesat. Beliau akan melaksanakan satu pendekatan bersepadu kepada operasi, selenggaraan, peningkatan dan penyesuaian bangunan, infrastruktur dan infostruktur universiti dengan tujuan mewujudkan satu persekitaran yang kuat menyokong objektif utama dan hala tuju universiti.

Pada masa kini, skop peranan PPII merangkumi keseluruhan aktiviti pengurusan fasiliti termasuk pengurusan harta tanah, kesihatan dan keselamatan, pengurusan kontrak, pengurusan sumber manusia, bangunan dan penyelenggaraan, perkhidmatan domestik dan bekalan utiliti. Selain daripada itu, PPII dilihat sebagai fungsi strategik dan membawa peningkatan yang positif dan kejayaan organisasi. Perkhidmatan PPII diyakini sebagai sumber kejayaan universiti dan boleh juga berlaku sebaliknya jika tidak dikoordinasi dengan betul. 

Bagi memberi perkhidmatan yang baik di dalam penyelenggaraan bangunan maka pihak pengurusan bangunan yang di dalam hal ini diketuai sebagai pengurus fasiliti mestilah seorang yang tahu peranannya dan kompeten. Seseorang pengurus perlu berfikir dengan baik dan lakukan tugas dengan cemerlang, dia mestilah faham peranannya dengan jelas dalam kata lain, tidak kabur tentang bidang tugasannya. seseorang pengurus harus mempunyai kompetensi di bidang yang berkaitan, ia bertujuan untuk mengembangkan kemahiran, melaksanakan tugas dan membuat sesuatu keputusan mengikut bidang yang dipertanggungjawabkan. Peranan bermaksud fungsi atau posisi yang perlu dijalankan oleh seseorang pengurus manakala kompetensi yang dimaksudkan adalah pengetahuan, kemahiran, kebolehan, dan perlakuan yang membolehkan seseorang melaksanakan tugasnya dalam satu-satu profesion.

Fungsi utama penyelenggaraan bangunan bukan hanya untuk memastikan bangunan, sistem atau peralatan beroperasi pada kecekapan yang maksimum tetapi juga bagi memastikan bangunan sentiasa memenuhi keperluan penghuni dan perundangan seperti berikut:-

i) Memastikan bangunan dalam keadaan selamat.
ii) Memastikan bangunan adalah kondusif.
iii) Memastikan bangunan berkebolehan untuk digunakan.
iv) Memastikan bangunan memenuhi semua keperluan undang-undang.
v) Mengekalkan nilai fizikal aset bagi pelaburan bangunan.
vi) Mengekalkan kualiti bangunan.

Dua elemen utama yang perlu diambil perhatian bagi perancangan strategi penyelenggaraan bangunan adalah:-

 i) Kualiti
ii) Keselamatan dan kesihatan

Friday, April 19, 2019

Renaisans

Revolusi Sains, suatu episod penting dalam perkembangan sejarah Eropah, berlaku setelah berlalunya zaman renaisans. Perkembangan pemikiran dalam ilmu, khususnya ilmu sains pada zaman itu memberi asas kepada Revolusi Sains pada abad ke-17. Renaisans ialah kebangkitan semula semangat pembelajaran ilmu-ilmu kiasik Yunani, yang berlaku pada peringkat akhir abad ke- 15 di Eropah. Sarjana-sarjana renaisans mempelajari ilmu Yunani daripada terjemahan manuskrip Muslim dalam pelbagai bidang sains dan juga bidang pemikiran termasuk buah fikiran Ibnu Sina dan Ibnu Rushd yang membincangkan buah fikiran ahli falsafah Yunani. Mereka juga mengkaji manuskrip Yunani asli yang baru mereka peroleh daripada pendeta-pendeta Byzantium yang lari ke Itali apabila kota Constantinople jatuh ke tangan pemerintahan Islam.

Wednesday, April 17, 2019

Penulisan bersahaja sdr Muhammad Suhail tentang Xinjiang, Uyghur dan China.

Isu bahasa masih tak selesai sejak zaman BN hingga ke PH. Yalah, PH masih baharu katanya mungkin ambil masa. Hmm..
Sedikit aku sambung kisah di Kashgar, Xinjiang. Mungkin kita patut belajar daripada China.
Seperti yang dah diceritakan sebelum ini mengenai sejarah panjang bangsa Uyghur sebelum berada dalam wilayah kekuasaan China, mereka merupakan bangsa yang punya rupa, cara hidup, budaya, tulisan dan bahasa berbeza.
Logiknya ia mencurigakan kerajaan kerana tak mahu sejarah lama berulang. Sejarah apa tuan-tuan? Sejarah dua bangsa bukan-Cina yang pernah menguasai China iaitu bangsa Monggol (Dinasti Yuan) dan bangsa Manchu (Dinasti Qing).
Yalah, kalau kita orang Melayu pergi kedai Cina di Malaysia, tiba-tiba dia cakap Cina apabila berurusan dengan kita, mesti ada rasa curiga yang mereka sedang mengutuk atau menipu kita. Itulah sangkaan kita sedangkan dia sebenarnya berbual kosong dengan rakannya (contohlah). Ditambah pula tak faham 4 nada bunyi Mandarin yang menyebabkan kita rasa dia sedang kutuk kita apabila cakapnya kasar.
Maka, diwajibkan orang Uyghur mengikuti kelas bahasa, budaya dan sebagainya sebagai cara mengekalkan keamanan dan kestabilan negara sepertimana rakyat lain. Hal ini tak menjadi masalah besar bagi Hui kerana mereka sememangnya berbudaya dan berbahasa Cina.
Jadi, wujudlah pusat pendidikan dan vokasional ("re-education") di Xinjiang. Ada juga etnik Kazak, Uzbek, Kyrgyz dan lain-lain di wilayah ini dimasukkan juga ke pusat pendidikan ini jika tak pandai bahasa Cina. Budaya asal mereka dikekalkan menerusi persembahan muzik dan tarian.
Bagaimana kalau kita gunakan kaedah sama dalam mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan kita? Tentu dikatakan kejam, zalim dan sebagainya. Malah, kalau serius tulisan Jawi pun diwajibkan. Alangkah baiknya kalau boleh buat juga. 😁
Itulah alasan mengapa China mewujudkan pusat pendidikan dan vokasional itu kala wilayah Xinjiang sering berlaku pemberontakan sejak berzaman. Pengeboman berani mati terakhir direkodkan ialah pada 2014. Kashgar adalah bandar yang sering berlaku hal ini. Mereka yang disyaki terlibat anasir keganasan akan diberi pilihan untuk "re-education" atau didakwa (jika kesalahan serius, terus didakwa).
Ditambah lagi dengan slogan pembebasan Turkistan Timur (iaitu merujuk kepada Xinjiang) dengan bendera biru berkibar, bukankah wajar China melabel mereka sebagai kelompok pemisah? Negara mana yang tenang dengan tindakan begini? Kisah GAM di Aceh? Kisah Kurdi di Turki?
Bukanlah semua Uyghur terkesan. Hanya mereka yang disyaki terlibat atau terpengaruh dengan anasir keganasan dan pemisah.
Kata wakil pegawai kerajaan China, terpulanglah kepada kita menilai hal ini. Mahu percaya atau terus prejudis, silakan. Mereka sudah tunjukkan dan menjawab persoalan yang dilemparkan.
Sepanjang aku menulis tentang Xinjiang, aku tak menulis apa yang mereka maklumkan kecuali apabila aku beritahu. Lebih setahun aku sudah membaca sejarah panjang mereka. Hanya datang untuk melihat dengan mata kepala sendiri keadaan yang dirakam sejarah.
Jika benar dakwaan penindasan itu, adalah wajar kita perjuangkan hak mangsa diadili dengan benar. Itu adalah hak kemanusiaan. Itu sememangnya tiada kompromi. Dan wajarlah perlindungan diberikan buat mereka yang dizalimi.
Usah berikan tanggapan salah bahawa ini 'isu agama' kerana umat Islam di China itu ada 10 etnik. Hanya etnik Uyghur yang dikaitkan dengan pergolakan ini. Lebih 10 juta lagi umat Islam lain diberikan kebebasan menurut situasi setempat mereka.
Shadian di Yunnan misalnya, umat Islam mereka hidup di bandar umpama Madinah. Azan berkumandang sahut menyahut antara 7 buah masjid. Kedai ditinggalkan tanpa penjaga. Waktu solat kedai ditutup. Anak remaja fasih berbahasa Arab. Tadika Islam pun dibenarkan. Pengamal tarikat di Lanzhou, Gansu juga dibenarkan berkumpul untuk majlis haul.
Jaga-jaga dengan tindakan kita. Polisi China sering berubah mengikut situasi. Jika silap langkah, umat Islam lain di China turut terkesan. Tanganilah isu ini dengan dialog.
China adalah negara yang boleh berbincang. Contohi Saad Abi Waqqas, Ibnu Wahab, dan Ibnu Batuttah.. mereka pergi mengadap Maharaja China, sampaikan ajaran Islam. Hari ini mereka masih banyak tak faham tentang Islam.
Contohi Tun M.. dapat selesaikan isu Proton dan ECRL. Situasi menang-menang. Itu lebih wajar kita usahakan. Nantikanlah menteri agama kita ke sana. Mereka lebih bijak atasi isu ini. Siapalah aku untuk komen.
Aku sempat berbual dengan seorang gadis Uyghur yang boleh baca jawi Uyghur tapi tak reti tulis. Cakap Cinanya pun fasih. Berjaya nampaknya..Hehehe..
Nota: Aku hanya pencinta sejarah, pengembara jalanan, penyebar keamanan dan kasih sayang, dan penulis yang suka berkongsi pengalaman.

Monday, April 15, 2019

Kerajaan Bersungguh Menambahbaik Projek Laluan Rel Pantai Timur.

Kerajaan Bersungguh Menambahbaik Projek Laluan Rel Pantai Timur.

Pengumuman kerajaan berkaitan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyumbangkan pelbagai impak positif kepada industri pengangkutan dan logistik di Malaysia. Kejayaan Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, mengurangkan kos pembinaan kepada RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion, menunjukkan kesungguhan kerajaan memajukan industri pengangkutan dan logistik di negara ini.

“Dengan jarak jajaran asal sepanjang 688 kilometer itu dikurangkan 40 km kepada 648 km dengan tambahan formasi landasan berkembar, pengurangan kos sebanyak RM21.5 billion dilihat berbaloi kerana pengurangan hampir satu pertiga daripada kos pembinaan asal. Ini menunjukkan kawasan 40km yang dikurangkan itu membawa kos pembangunan yang sangat tinggi khususnya kos pembinaan terowong sepanjang 17km,” menurut Dr Harlina Suzana Jaafar, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA.

Dr Harlina menambah, “Jika dilihat daripada aspek pengurusan logistik, semua perniagaan dan urusan impot dan ekspot di kawasan pantai timur boleh disatukan atau di ‘hub’kan di Pelabuhan Klang. Dengan cara ‘hub’ ini, ia boleh meningkatkan tahap efisien dan kapasiti pelabuhan, dan secara langsung kos perjalanan dan pengangkutan barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih rendah.”

“Dari segi aspek pengurusan pengangkutan pelanggan pula, stesen Putrajaya Sentral, Kajang dan Bangi bakal berkembang pesat menjadi stesen utama untuk perjalanan pelanggan ke Kawasan Pantai Timur” katanya lagi.

“Diharap pihak kerajaan mengambil kira dan mengkaji keterkaitan jaringan (connectivity) yang efisien di antara stesen yang bakal dibangunkan dengan ERL, LRT dan stesen Komuter untuk kemudahan rakyat awam” katanya

Sunday, April 14, 2019

RAJA MANGGA

The  Guinness Book of World Records  pada tahun 1995,  telah menabalkan Carabao dari Filipina sebagai mangga termanis dunia!

Mangga Filipina rupanya.

Mangga Carabao sendiri mempunyai 14 jenis.
Ukuran Brix kemanisannya adalah berbeza antara setiap jenis. Pilihan Guinness Book of World Record adalah Sweet Elena dari   Zambales, Pulau Luzon.  Catatan kemanisannya menggunakan  Refractometer adalah 18.98 °Bx atau °Brix. Sweet Elena dimahkotakan tiga tahun berturut-turut sebagai mangga termanis.

Ukuran Brix adalah untuk mengukur kandungan gula dalam buah-buahan menggunakan alat yang dipanggil Refractometer.

Namun, adik beradik Sweet Elena dalam keluarga Carabao iaitu Guimaras Super (Galila) mempunyai  22.3 °Bx, lebih manis sebenarnya dari Sweet Elena. Itu mengikut ukuran dibuat oleh Bureau of Agricultural Research of the Department of Agriculture pada tahun 2003.

Tetapi mangga bukan hanya diukur keenakannya semata-mata dari kandungan gula. Kandungan rasanya yang lain sama ada lemak, unsur masam, keharuman, tebal nipis fiber dan lain-lain juga menjadi ukuran.

Dari sudut kandungan gula atau TSS (Total Solubal Solid), manga tempatan kita Chakonan tidak jauh ketinggalan sebenarnya. Tetapi keenakan mangga lebih dari sekadar manisnya saja.
 
Saya membuat catitan tentang kemanisan  Manggang Kalabaw/Mangga Kalabaw - dalam sebutan bahasa Tagalog -  ini untuk menunjukkan kedekatan kemungkinan negara kita boleh menghasilkan mangga terbaik dunia. Filipina sangat serumpun dengan kita.

Kalabaw atau carabao semakna dengan kerbau dalam bahasa kita. Orang Thai juga menggunakan perkataan yang sama untuk kerbau mereka. Pengertian yang sama untuk ternakan pesawah - Kalabaw/Carabao/Kerbau - ini menunjukkan sekali lagi kedekatan itu.

Ia mengingatkan saya kepada  Carabao Dang Energy Drink - iaitu minuman kedua popular di Thailand dengan penguasaan 21% pasaran minuman segera Thailand.

Carabao Dang menggunakan kepala kerbau bertanduk panjang sebagai simbol minuman mereka dan ia bermaksud semangat jagoan seperti gagah dan beraninya kerbau atau carabao. Pengasas minuman ini ialah bintang rock  Yuenyong Opakul dengan gelaran popularnya  Aed Carabao. Kini minuman ini telah memasuki pasaran Amerika, Australia, Cina, India dan lain-lain.

Kembali kepada mangga Sweet Elena, sejarahnya menarik.

Keenakannya menyebabkan ia pernah menjadi hidangan White House dan Buckingham Palace.

Pokok mangga yang ada sekarang berasal dari sebatang pokok induk  berusia  108 tahun yang masih hidup dalam taman persendirian Penida Moselina Malabed seluas 5 ha, terletak    di Sabang, Sta. Cruz, Zambales.

Ini mengingatkan kita, usaha persendirian dalam penghasilan BENIH TERBAIK juga  boleh mencapai kejayaan menakjubkan.

Oleh itu, jangan malas menjadi PENGGILA BENIH!

Moyang Sweet Elena dari keluarga besar Carabao telah menjadi kegilaan orang Sepanyol sekian lama. Mangga bernama  Ataúlfo - dan di Mexico, ia mempunyai banyak gelaran - bayi, muda, kuning, madu, Adaulfo, Adolfo atau  Champagne - sebagai bukti populariti mangga ini di sana, adalah berketurunan Carabao.

Baka asal Carabao ini telah dipaksa belayar oleh Sepanyol menaiki kapal  Manila Galleons menyeberangi lautan  Pacific sejak abad ke 16 lagi. Manila Galleons adalah nama bagi pelayaran kapal dagang Sepanyol dari Acapulco ke Manila dan patah balik sebanyak dua kali dalam setahun sepanjang   1565 hingga 1815.

Sepanyol kemudian membawa ibu mangga  Ataulfo dengan nama  Manila Mango atau Manilita  ke Mexico pada tahun  1779 dan dikembang biak di sana. Dari  Mexico, ia menjejak kaki ke Amerika dan dipilih sebagai tanaman hiasan halaman rumah kerana saiz pokoknya kecil dan warna buahnya bila masak.

Fairchild Tropical Botanic Garden's 2010 International Mango Festival di  Miami, Florida telah memilih mangga ini sebagai tanaman hiasan taman pilihan. Saya sengaja menyebutkan ini semua untuk menunjukkan keluasan spektrum isu berkaitan.

Dalam menunjukkan kebanggaan terhadap mangga mereka , Guimaras telah mengadakan Manggahan Festival setiap tahun dengan sambutan menggalakkan dan Guimaras sampai digelar sebagai Bandaraya Mangga atau Mango City.

Hari ini, Filipina menduduki tempat keenam tertinggi dalam jumlah eksport mangga dan keluaran mangga dengan nilai keseluruhan sebanyak  USD 41 jua.

73 % pengeluar mangga Filipina adalah pekebun kecil sahaja dengan keluasan kebun di bawah 3 ha.  Kebun berkeluasan  3  hingga  9.99 ha pula menyumbang 24% dari keluasan keseluruhan kebun mangga.

Ini menunjukkan ekonomi mangga boleh diusahakan oleh petani kecil.
Mangga membantu menjana ekonimi kepada 2,5 juta petani Filipinan. Angka yang signifikan.

Dalam rangka ekonomi masa hadapan mangga, mungkin  pengumuman penemuan The National Mango Board of Orlando, Florida, bahawa mangga mampu melawan sel  kanser paru-paru,   leukemia,  prostate dan lebih berkesan untuk melawan sel kanser payu dara dan   colon, akan melonjakkan lagi permintaan mangga.

Saya memulakan tulisan ini pagi ini selepas saya selesai ‘berbual mesra’ dengan Himsagar, Chaunsa, Banganapali, Langra dan Dehseri dalam taman kecil saya. Meniru usaha Penida Moselina Malabed dari Zambales.

Satu-satunya keturunan Carabao yang saya ada hanyalah Davao. Dikirim oleh rakan dari Manila. Ditanam bersebelahan Sien Ta Lone dari Myanmar.

Mana satu lebih lazat?

Mungkinkah satu hari di Kuala Lumpur, akan diadakan pertandingan mangga terlazat dunia?

Untuk menentukan mangga mana sebenarnya Raja Mangga Dunia?

HUSAM MUSA
Jumaat, 12 April 2019.

NENAS STALIN PALING MANIS oleh YB Husam Musa

NENAS STALIN PALING MANIS

Jika diktator Rusia Joseph Stalin masih hidup, saya yakin beliau akan memesan Nenas MD 2 terbang ke Kremlin.

Saya terbaca sebuah buku mengenai Sejarah Makanan yang mencatitkan makanan kegemaran pemimpin dunia, termasuk Stalin, Shah Iran, Karl Marx dan lain-lain.

Puas saya mengeledah, saya terlupa tempat letak buku ini, tajuknya dan pengarangnya juga.

Apa yang masih ingat adalah catatan penulis buku ini tentang surat Joseph Stalin kepada Mao Tse-Tung, rakan komunisnya di Beijing.

Sebagai rakan satu ideologi, mungkin Stalin tidak segan berkongsi masalahnya - mendapatkan bekalan nenas yang cukup!  Khususnya nenas yang sudah di tin kan.

Agak silu jika didengar oleh pihak Barat yang menjalani Perang Dingin dengan Stalin dan Mao. Isunya hanya nenas?

Stalin meminta Mao meluluskan sebidang tanah di bahagian selatan Cina untuk kerajaan Rusia menanam nenas dan seterusnya membina kilang mengetin nenas. Ini untuk membolehkan bekalan nenas Stalin tidak terganggu!

Mao malangnya menolak cadangan itu.

Mao nampaknya tidak menjadikan kehendak perut Stalin sebagai hitungan polisi negaranya dan hubungannya dengan Rusia.

Stalin, agak saya, sangat kempunan.

Jika Stalin boleh mendapat jaminan bekalan itu dari Malaysia, sudah tentu beliau akan berbuat demikian. Enam bulan diliputi cuaca sejuk, bukan mudah untuk masyarakat Rusia, termasuk pemimpin sekeras Stalin.

Menikmati keenakan buah tropika boleh merawat kemurungan dikurung cuaca sebegitu.

Rahsia selera Stalin itu agak saya sama dengan selera keseluruhan masyarakat Rusia.

Keghairahan terhadap buahan tropika seperti papaya, nenas, jambu, manggis dan rambutan, tertanam dalam selera mereka.

Jika Stalin sukakan nenas yang sudah diproses, tentunya beliau juga akan sukakan nenas segar seperti MD 2.

Cuma, pada waktu itu, ketiadaan  rangkaian dan kemudahan pengangkutan seperti sekarang, khususnya kargo udara, meninggalkan Stalin tanpa pilihan.

Jika panggilan keenakan buah tropika boleh membuka pintu selera rakyat Rusia, ia adalah satu peluang pasaran yang besar untuk Malaysia.

‘Nenas Stalin’ dari negara kita harus segera mencari pintu memasuki pasaran Rusia dengan iklan besar terpampang dalam surat khabar Rusia esoknya : Stalins Pinneapple From Malaysia!

Di bawahnya, satu muka penuh iklan mengenai 17 manafaat kesihatan memakan nenas seperti link ini :17 Nutritional Benefits of Pineapples | Organic Facts
https://www.organicfacts.net/health-benefits/fruit/pineapples.html

Menteri Pertanian Salahudin Ayub tentu akan semakin sibuk mencari ladang dan peladang baru untuk nenas kegemarannya MD 2.

HUSAM MUSA
Ahad 14 April 2019.

Keputusan PRK Rantau.

Wednesday, April 10, 2019

Sebuah kisah bagaimana TABUNG HAJI bermula..

Profesor Diraja Ungku Aziz

Awal tahun 1950-an, Ungku Aziz (kini Profesor DiRaja Ungku Aziz yang merupakan pensyarah ekonomi di Universiti Malaya) telah menjalankan satu kajian bertajuk “The mobilisation of domestic savings in South East Asia”. Melalui kajian ini, Ungku Aziz dapat mengkaji bagaimana orang Melayu menyimpan duit dan tujuan mereka menyimpan duit. Beliau mendapati bahawa tujuan utama orang Melayu menyimpan adalah untuk menunaikan haji.

Hasil jualan getah oleh bakal-bakal haji dan gadaian tanah rizab digunakan untuk menampung perjalanan ke tanah suci. Sumber : arkib negara

Selain menyimpan duit secara tradisional (celah atap, bawah bantal etc), orang melayu juga akan membeli beberapa haiwan ternakan dan haiwan-haiwan ini akan dijual bila tiba masanya untuk menunaikan haji. Kita selalu dengar atuk nenek kita jual tanah, kebun, sawah, jual ternakan dan sebagainya untuk ke haji. Sebahagian pula, menyewakan atau memajak harta harta ini untuk beberapa tahun.

Tapi cuba bayangkan, dah bertahun pergi Haji naik kapal dan apabila pulang ke tanah air dah tidak ada aset lagi. Lebih malang ada yang dah jual rumah sekali. Ini sudah tentu tidak baik bagi ekonomi umat Islam di Tanah Melayu.

Selain itu, Jemaah Haji Malaysia perlu mendapatkan sendiri khidmat syeikh-syeikh haji. Meraka ini terdiri daripada ulamak dan broker atau ejen syarikat tempatan. Perkhidmatan yang disediakan tidak seragam dan banyak bergantung pada budi bicara mereka kerana ketika ini belum wujud peraturan atau undang-undang yang menjaga kebajikan jemaah haji.

Bermula dengan kunjungan seorang kawan lama, Dr. Zaki Badawi (almarhum), seorang ulamak dari Mesir, Ungku Aziz cuba mendalami soal riba (faedah) yang dilarang dalam Islam bagi membolehkan rancangannya untuk menubuhkan sebuah tabung kerana orang Melayu menjarakkan diri daripada simpanan bank kerana Riba’. Beliau mahu memastikan wang yang digunakan untuk ke Mekah tidak bercampur riba. Ungku Aziz mengatakan :

“Saya tahu Islam mengharamkan bunga (riba), iaitu bayaran tetap bagi kegunaan pinjaman wang, tetapi tidak melarang sebarang bentuk pembahagian keuntungan yang tidak ditetapkan semasa pinjaman. Jadi soal ini serta soal wang untuk ke Mekah yang saya mahu satukan.”

1963 – Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein Mengetuai mesyuarat pertama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji di Kuala Lumpur.
Melihat kepada keadaan ini, Ungku Aziz telah menyerahkan satu memorandum bersejarah bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal–Bakal Haji” kepada kerajaan Malaysia pada Disember 1959. Memorandum ini mencadangkan penubuhan sebuah badan yang boleh menyimpan wang serta menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah. Tabung ini akan memberi pembahagiaan keuntungan bukan pembayaran bunga (riba’) kepada penabung.

Namun, idea ini tidak dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Malaysia tidak dapat membuat keputusan muktamad berhubung dengan soal riba hinggalah apabila Rektor Universiti Al-Azhar iaitu Sheikh Mahmoud Al-Shaltut melakukan kunjungan ke Tanah Melayu.

“Setelah menerima memorandum itu, Kerajaan telah mengundang delegasi Arab yang pakar dalam soal ini untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut lagi dengan saya.”

“Tanggungjawab mengendalikan soal ini diberi oleh Kerajaan kepada Datuk Khalid bin Awang Osman. Beliau mengadakan pertemuan yang dihadiri oleh Syeikh Mahmoud Al-Shaltut, iaitu Pengarah (Sheikh Al-Azhar) Universiti Al-Azhar. Kepada beliaulah terletaknya kata putus. Kalau tak silap, hampir dua belas orang tiba. Perbincangan itu diadakan di tempat kediaman saya dan pada masa itu Allahyarham Haji Wan Kadir, Timbalan Menteri dari Kuala Terengganu menjadi jurubahasa kami.” kata Ungku Aziz.

“Perbincangan itu penting kerana kerana kalau delegasi tersebut menolak cadangan saya, maka kerajaan tidak akan meneruskannya. Jadi, lama juga kami berbincang, saya memang sudah sedia untuk menjawab setiap yang dikemukakan termasuk pelaksanaannya nanti. Berbagai-bagai soalan dikemukakan pada saya dalam pertemuan itu. Nampaknya mereka sedar konsep ini belum ada dalam dunia Islam dan akhirnya mengakui ini memang satu langkah yang baik, sambil bergurau memuji pula,” kata Ungku Aziz.

Setelah mengkaji secara mendalam Rektor Al-Azhar merasa yakin sepenuhnya tentang kebaikan cadangan ini malah beliau menyifatkan rancangan itu sebagai usaha yang akan memberi manfaat besar kepada umat Islam.

2 September 1968 – Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein merasmikan pembukaan bangunan Tabung Haji di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada Jun 1960, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji yang dipengerusikan oleh Y.B Menteri Muda Kementerian Luar Bandar, Tuan Haji Abdul Khalid bin Awang Osman. Jawatankuasa ini kemudiannya mengemukakan Kertas Putih 22/62 pada Kerajaan pada 24 Januari 1962. Pada September 1962, Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji telah dilulusakan Parlimen. Maka lahirlah Tabung Haji.

Sumber: FB Ambil Peduli

Monday, April 8, 2019

WALI DAN KOPI oleh YB Husam Musa

WALI DAN KOPI

Dua Wali (masyarakat setempat mempercayai mereka adalah Wali) pemaju kopi yang menarik perhatian saya. Baba Budan dari India yang hidup di abad ke 16 dan Ahmadou Bamba dari Senegal yang meninggal pada tahun 1927.

Baba Budan diingati jasanya membawa pulang TUJUH BIJI KOPI pertama ke India dari Yaman. Dari benih yg ditanam oleh Baba Budan, kini Karnataka menjadi wilayah pengeluar kopi utama India.

Berbeza dari kebanyakan negara pengeluar  lain, kopi Karnataka di tanam di bawah teduhan pokok lain. Ia dikatakan menjadikan kopi Karnataka lebih istimewa berbanding kopi lain.

Itali menjadi negara utama mengimport kopi Karnataka, selain German, Russia, Sepanyol, Belgium, Slovenia, United States, Jepun, Greece, Netherlands  dan Perancis. Itali mengimport 26% dari keluaran kopi mentah India.

Semuanya bermula dari TUJUH BIJI KOPI dibawa pulang Baba Buldan dari perjalanan hajinya.

Kini, India mengeluarkan 8,200 tan kopi mentah setiap tahun. 71% dari pengeluaran ini adalah dari Karnataka, khususnya dari Lereng Bukit Baba Buldan!

India kini mempunyai 250,000 pekebun kecil kopi. Terhasil dari minat PEMUNGUT BENIH/SEEDS COLLECTOR - Baba Buldan.

Inilah dikatakan KEKUATAN BENIH/THE POWER OF SEEDS.

Ulama sufi se orang lagi yg memajukan kopi adalah Sheikh Ahmadou Bamba.

Ulama kurun ke 20 ini dikenali kerana pendekatan amannya dalam memperjuangkan kemerdekaan Senegal dari Perancis.

Kali pertama saya mengenali ulama konstruktif dan berwibawa tinggi ini menerusi buku bertajuk Shaykh Ahmadou Bamba - A Peacemaker for Our Time - tulisan Michelle R Kimball,  yang dijual di kedai buku Kinokuniya di KLCC.

Sekalipun dibuang negara beberapa kali oleh Perancis, Ahmadou tetap meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan negaranya menerusi jalan damai dan diplomasi.

Mempunyai pengikut yang ramai menerusi gerakan pendidikan dan pembaharuannya -  Mouride Brotherhood atau Muridiyyah.

Selain berpolitik, beliau turut membangunkan bandar dan perkampungan baru serta pusat-pusat pendidikan bersepadu.

Hingga kini, gerakan  yang diasaskannya masih aktif.

Lalu, apa hubungan Sheikh Ahmadou Bamba dengan kopi?

Ketika Baba Budan hidup di kurun ke 16, Shaykh Ahmadou hidup di awal kurun ke 20. Ketika Baba Budan tidak meninggalkan sebarang potret kecuali sejarah, Ahmadou meninggalkan foto tunggal yang dirakamkan oleh SB Perancis - memakai jubah putih, berserban dan menutup sebahagian mukanya. Berwajah tenang dan berkarisma - potret satu-satunya ini sampai sekarang menimbulkan getaran pengaruh di kalangan penduduk Senegal.

Ketika Baba Budan mengusahakan penanaman kopi, Ahmadou menjadi pencetus memberi nilai tambah kepada kopi.

Kini kopi ciptaannya yang dikenali sebagai Kopi Touba atau Cafe Touba - menjadi minuman yang satu-satunya menyebabkan jualan Nescafe di beberapa negara sekitar Senegal menurun!

Kopi Touba semakin digemari. Baik di Senegal mahu pun negara sekitar seperti Gabon dan Guinea-Bissau. Di Guinea-Bissau, kopi ini sudah menjadi minuman utama negara.

Ahmadou mencampurkan biji kopi dengan sejenis rempah di kenali sebagai GRAINS OF SELIM. Grains of Selim atau   Guinea pepper (buah kering dari pokok renek Xylopia aethiopica YANG  dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan DJAR).

Saya tidak tahu sama ada herba ini boleh tumbuh atau tidak di negara kita. Jika Baba Budan berani mencuba menyemai kopi di benua baru lima kurun yang lalu, mengapa tidak kita cubakan biji Grains of Selim ini disemai di tempat kita.

Jika ia tak tumbuh, kita import saja buah rempah pelik ini untuk dicubakan sebagai produk baru kopi kita. Cafe Touba versi Malaysia.

Ini mengingatkan kepada kedudukan pengusaha kita yang  pandai menghasilkan produk hiliran kopi - sampai-sampai kita sebagai pengimport kopi boleh mengeksport semula produk kopi yang telah ditambah nilai menjadikan eksport kopi Malaysia melebihi nilai import.

Kita mengimport kopi dengan jumlah yang agak besar.  Dari berjumlah RM 51.59 juta pada tahun 1988 kepada lebih dari  RM 972.3 juta pada tahun 2013. Kenaikan purata tahunan jumlah import pula adalah sebanyak 17.8 %.

Namun ia diatasi oleh eksport bernilai RM 1.3 billion pada tahun 2013.

Ia adalah hasil tambah nilai. Kita mengeksport semula kopi mentah yang telah diolah.

Pada masa yang sama, pengeluaran kopi mentah tempatan terus berkurang dari tahun ke tahun untuk beberapa tahun kebelakangan.

Dari anggaran keluasan  7,500 ha pada tahun 2007 kepada separuh angka itu -  3,760 ha -  pada tahun 2013. Jumlah pengeluaran berkurang dari   21,213 tan  pada tahun 2007 kepada 14,739 tan pada tahun 2013. 

Menjadikan kita semakin bergantung kepada kopi import untuk menampung keperluan negara.

Saya terbaca -  Nor Amna A’liah Mohammad Nor dan Mohd Amirul Mukmin Abd. Wahab, dua orang penyelidik Mardi menerusi kertasnya bertajuk  ‘Exploring the Potentials of Coffee Industry in Malaysia’ - mencadangkan negara menambahkan keluasan penanaman kopi kepada 10,000 ha menjelang 2020. Bagi mengurangkan kebergantungan import.

Kepelikan kopi berbanding beras ialah, di kebanyakan tempat, semakin maju sesebuah negara,  purata penggunaan beras  semakin merosot. Sedang penggunaan kopi pula semakin meningkat.

Sekali lagi saya menunggu, di mana benih Grains of Selim?

Siapa pula pengilang Kopi Touba Ahmadou Bamba pertama Malaysia?

Jangan lupa royalti untuk saya, jika anda orangnya.

Husam Musa
Ahad, 7 April 2019

Saturday, April 6, 2019

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun oleh YB Husam Musa

Mana Manis Keledek Cilembu atau Keledek Jepun?

Keledek Jepun atau Japanese Sweet Potato semakin mendapat tempat bagi pengguna Malaysia. Di kebanyakan pasar raya besar, terjual ubi keledek ini dengan harga yang jauh lebih lumayan.

Pasaraya Jaya Grocer mengiklankan harga se kg ubi ini pada RM22. Keledek kita, disebut  berharga  RM2.50 sekilogram di pasaran!

Jepun dianggarkan mengeluarkan 860,000 metrik tan Keledek Manis Jepun setiap tahun, dengan harga purata USD 9 se kg di pasaran dunia.

Pengeluaran Malaysia, mengikut statistik Jabatan Pertanian, adalah sekitar 50,000 tan keledek biasa. Bukan Keledek Manis Jepun.

Dengan jumlah pengeluaran itu, Jepun menduduki tempat ke 12 dalam ranking eksport keledek dunia.

Japanese Sweet Potato atau nama Jepunnya Satsuma-Imo, mendapat nama kerana rasanya luar biasa manis dan textur fiber atau serat yang lembut dan halus.

Bagaimana Jepun boleh menghasilkan ubi berkualiti dunia ini?

Saya terbaca sebuah buku yang mendakwa benih asal Satsuma-Imo  adalah dari Cilembu, Bandung, Indonesia! Bukan asal Jepun pun.

Wah! Ini sudah lebih!

Ia dibawa pulang ke Jepun oleh seorang tentera Jepun yang bertugas di Bandung semasa Perang Dunia Kedua. Ia kemudian ditanam di Jepun dan dikembangkan. Dengan kuasa perdagangan Jepun yang meluas, ubi itu masuk ke periuk atau oven kita di Malaysia. Menjadi makanan istimewa di restauran ternama. Enak sekali dimakan dengan daging steak.

Malangnya, ubi ini hanya menembu pasaran kita tetapi tidak ke kebun dan ladang-ladang kita.

Mungkin dengan anggapan, kita tidak mampu meniru mutu Jepun, sekalipun hanya keledek.

Sesiapa yang pernah melintasi Kampung Cilembu, Sumedang, Bandung, Jawa Barat Indonesia - sudah pasti terpandang gerai-gerai ubi keledek dan ubi kayu sepanjang jalan. Tapai ubi kayu tergantung di palang gerai, isinya kental dan rasanya sangat manis.

Di atas gerai pula, longgokan ubi keledek dua warna kulitnya. Merah perang dan kekuningan pucat. Ada yang mentah, dan tersedia juga yang sudah dipanggang dan boleh segera dimakan. Berduyun kereta berhenti di tepi jalan kerana singgah menikmati Ubi Cilembu asli.

Ubi Cilembu panggang dengan jelas menunjukkan jalur  dan tompok seakan gula melaka cair atau madu terdapat di dalam isi ubi ini.

Kali pertama saya menemuinya, saya menyangka ubi ini  dimasukkan air manisan. Rupanya, ia adalah kemanisan asli ubi ini dan perubahan isinya selepas dipanggang.

Ia dianggap ubi keledek termanis di dunia! Jauh lebih manis dari Japanese Sweet Potato.

Enaknya tidak tertandingkan. 

Tetapi apakan daya. Nasib Ubi Cilembu tidak seberuntung keturunannya yang tumbuh di Jepun. Selain rasa yang lebih isitimewa, sejarahnya juga lebih tua. Ia sudah dikenali sejak zaman Belanda, se awal 1914.

Selain itu, ubi yang juga dikenali sebagai Ubi Madu Cilembu, tidak pun dikenali oleh kebanyakan pengguna negara kita. Ia jauh ketinggalan dari cucu cicit bakanya Satsuma-Imo di pentas dunia.

Ini sudah tentu tidak adil. Tetapi kekuatan pasaran, promosi dan daya profesionalisma yang berbeza memberikan nasib yang berbeza.

Lalu, di mana kedudukan pekebun kita dalam isu ini?

Saya tertarik dengan penemuan oleh  Agustina Monalisa Tangapo menerusi kajian untuk tesis Phd beliau di  Institut Teknologi Bandung (ITB).

Rahsia kemanisan Ubi Madu Cilembu terletak pada MIKROBES!

Tesis bertajuk ‘Dinamika Populasi Bakteri Rhizosfer dan Endofit Pada Budidaya Ubi Jalar Cilembu’  berjaya merungkai misteri kemanisan madu sebuah ubi.

Dengan kuasa Allah, bakteria RIZOSFERA dan ENDOFIT yang kaya di bumi Cilembu telah bekerja secara senyap memberikan rezki kemanisan ubi yang luar biasa itu.

Mengikut Dr Augustina, jika bakteria ini dikembang biakkan di bumi yang lain juga, kemanisan Ubi Madu Cilembu tetap terhasil.

Mikrobes ini nampaknya perlu dihijrahkan segera ke Malaysia, khususnya Bacok, Kelantan untuk muncul  sebagai Jelapang Keledek Madu Malaysia pada masa akan datang!

Kita menunggu, siapa cepat.

Husam Musa
Sabtu, 6 April 2019

Tuesday, April 2, 2019

Team Building Jawatankuasa Penggerak Biro(JPB)



Pasukan merupakan satu kelompok atau kumpulan pekerja yang bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu matlamat spesifik dalam organisasi. Anggota pasukan adalah terdiri daripada dua atau lebih pekerja yang saling bersandaran, berinteraksi dan bersepakat untuk melaksanakan strategi tertentu ke arah pencapaian matlamat bersama.

Secara mudahnya kerja berpasukan merujuk kepada sekumpulan pekerja dalam organisasi yang melaksanakan tugas secara berganding bahu antara satu sama lain dalam kumpulan tersebut dan sama-sama bergabung bagi mencapai matlamat kumpulan. Ahli-ahli pasukan akan berinteraksi rapat, berkongsi maklumat, membuat keputusan dan memikul tanggungjawab bersama bagi melakukan tugas yang ditetapkan dalam ruang-lingkup tugas dan kuasa yang diperturunkan.

Justeru, kerja berpasukan adalah gabungan kebolehan, kemahiran dan pengalaman yang dilakukan secara bersepadu untuk menghasilkan output kerja yang lebih tinggi dan segi kuantiti dan kualiti berbanding usaha yang dilakukan secara perseorangan. Oleh itu menerusi kerja berpasukan, organisasi dapat mengharapkan berlakunya peningkatan hasil yang maksimum berbanding dengan pertambahan kos dan sumber yang minimum. 

Selaras dengan itu, pada 20-31 hb. Mac 2019, Kolej Kediaman Delima menganjurkan program”Team Building  Jawatankuasa Penggerak Biro(JPB)” di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat. Objektif utama program ini ialah membina keserasian dalam berkerjasama dikalangan JPK dan JPB sebagai satu pasukan Kolej Kediaman Delima. Diantara aktiviti yang dijalankan dalam program ini ialah Latihan Dalam Kumpulan, water confident, masuk hutan dan pelbagai lagi.

Monday, April 1, 2019

10 SEBAB ELOK BEKERJA DULU SEBELUM BUAT BISNES oleh Norizan Sharif

10 SEBAB ELOK BEKERJA DULU SEBELUM BUAT BISNES

1. Belajar perancangan bisnes. Faham bagaimana nak buat sasaran bisnes. Biasa dengan jargon dan alatan pengurusan.

2. Belajar pengurusan organisasi - sistem dan proses kerja. Jadi taklah hentam keromo saja sampai staf tak hormat dengan bos.

3. Belajar komunikasi - terima arahan sebelum beri arahan. Belajar bagaimana menguruskan konflik. Belajar ilmu persuasion atau pemujukan.

4. Bina modal sosial - lebarkan jaringan yang boleh dimanfaatkan apabila buat bisnes nanti. Kenal orang, tahu di mana nak minta pendapat, di mana nak minta sokongan.

5. Boleh simpan wang untuk kegunaan peribadi sebelum bisnes menjadi. Pastikan ada simpanan untuk kegunaan peribadi selama 12 bulan pertama bisnes.

6. Belajar menguruskan pelbagai ragam manusia di tempat kerja. Mudah kenal siapa kaki ampu, siapa tak kenang budi, dan siapa yang kita boleh percayai.

7. Berpeluang ambil kursus dan persijilan bagi memantapkan skil. Setakat ada ijazah dan diploma tak cukup. Bina kompetensi lain.

8. Belajar undang-undang bisnes dan regulatory requirements. Belajar bagaimana mendokumenkan proses bisnes. Jadi taklah buat bisnes dengan cakap mulut saja.

9. Faham dunia pekerjaan, nanti taklah perlekeh orang lain yang bekerja. Orang yang selalu perlekeh orang lain ini ialah orang yang tak pernah lihat dunia yang lebih luas.

10. Ada pengalaman bekerja. Kalau bisnes tak menjadi, boleh cari kerja lain. Nak pergi interview tak kekok sangat :)