Isu bahasa masih tak selesai sejak zaman BN hingga ke PH. Yalah, PH masih baharu katanya mungkin ambil masa. Hmm..
Sedikit aku sambung kisah di Kashgar, Xinjiang. Mungkin kita patut belajar daripada China.
Seperti yang dah diceritakan sebelum ini mengenai sejarah panjang bangsa Uyghur sebelum berada dalam wilayah kekuasaan China, mereka merupakan bangsa yang punya rupa, cara hidup, budaya, tulisan dan bahasa berbeza.
Logiknya ia mencurigakan kerajaan kerana tak mahu sejarah lama berulang. Sejarah apa tuan-tuan? Sejarah dua bangsa bukan-Cina yang pernah menguasai China iaitu bangsa Monggol (Dinasti Yuan) dan bangsa Manchu (Dinasti Qing).
Yalah, kalau kita orang Melayu pergi kedai Cina di Malaysia, tiba-tiba dia cakap Cina apabila berurusan dengan kita, mesti ada rasa curiga yang mereka sedang mengutuk atau menipu kita. Itulah sangkaan kita sedangkan dia sebenarnya berbual kosong dengan rakannya (contohlah). Ditambah pula tak faham 4 nada bunyi Mandarin yang menyebabkan kita rasa dia sedang kutuk kita apabila cakapnya kasar.
Maka, diwajibkan orang Uyghur mengikuti kelas bahasa, budaya dan sebagainya sebagai cara mengekalkan keamanan dan kestabilan negara sepertimana rakyat lain. Hal ini tak menjadi masalah besar bagi Hui kerana mereka sememangnya berbudaya dan berbahasa Cina.
Jadi, wujudlah pusat pendidikan dan vokasional ("re-education") di Xinjiang. Ada juga etnik Kazak, Uzbek, Kyrgyz dan lain-lain di wilayah ini dimasukkan juga ke pusat pendidikan ini jika tak pandai bahasa Cina. Budaya asal mereka dikekalkan menerusi persembahan muzik dan tarian.
Bagaimana kalau kita gunakan kaedah sama dalam mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan kita? Tentu dikatakan kejam, zalim dan sebagainya. Malah, kalau serius tulisan Jawi pun diwajibkan. Alangkah baiknya kalau boleh buat juga. 😁
Itulah alasan mengapa China mewujudkan pusat pendidikan dan vokasional itu kala wilayah Xinjiang sering berlaku pemberontakan sejak berzaman. Pengeboman berani mati terakhir direkodkan ialah pada 2014. Kashgar adalah bandar yang sering berlaku hal ini. Mereka yang disyaki terlibat anasir keganasan akan diberi pilihan untuk "re-education" atau didakwa (jika kesalahan serius, terus didakwa).
Ditambah lagi dengan slogan pembebasan Turkistan Timur (iaitu merujuk kepada Xinjiang) dengan bendera biru berkibar, bukankah wajar China melabel mereka sebagai kelompok pemisah? Negara mana yang tenang dengan tindakan begini? Kisah GAM di Aceh? Kisah Kurdi di Turki?
Bukanlah semua Uyghur terkesan. Hanya mereka yang disyaki terlibat atau terpengaruh dengan anasir keganasan dan pemisah.
Kata wakil pegawai kerajaan China, terpulanglah kepada kita menilai hal ini. Mahu percaya atau terus prejudis, silakan. Mereka sudah tunjukkan dan menjawab persoalan yang dilemparkan.
Sepanjang aku menulis tentang Xinjiang, aku tak menulis apa yang mereka maklumkan kecuali apabila aku beritahu. Lebih setahun aku sudah membaca sejarah panjang mereka. Hanya datang untuk melihat dengan mata kepala sendiri keadaan yang dirakam sejarah.
Jika benar dakwaan penindasan itu, adalah wajar kita perjuangkan hak mangsa diadili dengan benar. Itu adalah hak kemanusiaan. Itu sememangnya tiada kompromi. Dan wajarlah perlindungan diberikan buat mereka yang dizalimi.
Usah berikan tanggapan salah bahawa ini 'isu agama' kerana umat Islam di China itu ada 10 etnik. Hanya etnik Uyghur yang dikaitkan dengan pergolakan ini. Lebih 10 juta lagi umat Islam lain diberikan kebebasan menurut situasi setempat mereka.
Shadian di Yunnan misalnya, umat Islam mereka hidup di bandar umpama Madinah. Azan berkumandang sahut menyahut antara 7 buah masjid. Kedai ditinggalkan tanpa penjaga. Waktu solat kedai ditutup. Anak remaja fasih berbahasa Arab. Tadika Islam pun dibenarkan. Pengamal tarikat di Lanzhou, Gansu juga dibenarkan berkumpul untuk majlis haul.
Jaga-jaga dengan tindakan kita. Polisi China sering berubah mengikut situasi. Jika silap langkah, umat Islam lain di China turut terkesan. Tanganilah isu ini dengan dialog.
China adalah negara yang boleh berbincang. Contohi Saad Abi Waqqas, Ibnu Wahab, dan Ibnu Batuttah.. mereka pergi mengadap Maharaja China, sampaikan ajaran Islam. Hari ini mereka masih banyak tak faham tentang Islam.
Contohi Tun M.. dapat selesaikan isu Proton dan ECRL. Situasi menang-menang. Itu lebih wajar kita usahakan. Nantikanlah menteri agama kita ke sana. Mereka lebih bijak atasi isu ini. Siapalah aku untuk komen.
Aku sempat berbual dengan seorang gadis Uyghur yang boleh baca jawi Uyghur tapi tak reti tulis. Cakap Cinanya pun fasih. Berjaya nampaknya..Hehehe..
Nota: Aku hanya pencinta sejarah, pengembara jalanan, penyebar keamanan dan kasih sayang, dan penulis yang suka berkongsi pengalaman.
No comments:
Post a Comment