Sunday, April 14, 2019

RAJA MANGGA

The  Guinness Book of World Records  pada tahun 1995,  telah menabalkan Carabao dari Filipina sebagai mangga termanis dunia!

Mangga Filipina rupanya.

Mangga Carabao sendiri mempunyai 14 jenis.
Ukuran Brix kemanisannya adalah berbeza antara setiap jenis. Pilihan Guinness Book of World Record adalah Sweet Elena dari   Zambales, Pulau Luzon.  Catatan kemanisannya menggunakan  Refractometer adalah 18.98 °Bx atau °Brix. Sweet Elena dimahkotakan tiga tahun berturut-turut sebagai mangga termanis.

Ukuran Brix adalah untuk mengukur kandungan gula dalam buah-buahan menggunakan alat yang dipanggil Refractometer.

Namun, adik beradik Sweet Elena dalam keluarga Carabao iaitu Guimaras Super (Galila) mempunyai  22.3 °Bx, lebih manis sebenarnya dari Sweet Elena. Itu mengikut ukuran dibuat oleh Bureau of Agricultural Research of the Department of Agriculture pada tahun 2003.

Tetapi mangga bukan hanya diukur keenakannya semata-mata dari kandungan gula. Kandungan rasanya yang lain sama ada lemak, unsur masam, keharuman, tebal nipis fiber dan lain-lain juga menjadi ukuran.

Dari sudut kandungan gula atau TSS (Total Solubal Solid), manga tempatan kita Chakonan tidak jauh ketinggalan sebenarnya. Tetapi keenakan mangga lebih dari sekadar manisnya saja.
 
Saya membuat catitan tentang kemanisan  Manggang Kalabaw/Mangga Kalabaw - dalam sebutan bahasa Tagalog -  ini untuk menunjukkan kedekatan kemungkinan negara kita boleh menghasilkan mangga terbaik dunia. Filipina sangat serumpun dengan kita.

Kalabaw atau carabao semakna dengan kerbau dalam bahasa kita. Orang Thai juga menggunakan perkataan yang sama untuk kerbau mereka. Pengertian yang sama untuk ternakan pesawah - Kalabaw/Carabao/Kerbau - ini menunjukkan sekali lagi kedekatan itu.

Ia mengingatkan saya kepada  Carabao Dang Energy Drink - iaitu minuman kedua popular di Thailand dengan penguasaan 21% pasaran minuman segera Thailand.

Carabao Dang menggunakan kepala kerbau bertanduk panjang sebagai simbol minuman mereka dan ia bermaksud semangat jagoan seperti gagah dan beraninya kerbau atau carabao. Pengasas minuman ini ialah bintang rock  Yuenyong Opakul dengan gelaran popularnya  Aed Carabao. Kini minuman ini telah memasuki pasaran Amerika, Australia, Cina, India dan lain-lain.

Kembali kepada mangga Sweet Elena, sejarahnya menarik.

Keenakannya menyebabkan ia pernah menjadi hidangan White House dan Buckingham Palace.

Pokok mangga yang ada sekarang berasal dari sebatang pokok induk  berusia  108 tahun yang masih hidup dalam taman persendirian Penida Moselina Malabed seluas 5 ha, terletak    di Sabang, Sta. Cruz, Zambales.

Ini mengingatkan kita, usaha persendirian dalam penghasilan BENIH TERBAIK juga  boleh mencapai kejayaan menakjubkan.

Oleh itu, jangan malas menjadi PENGGILA BENIH!

Moyang Sweet Elena dari keluarga besar Carabao telah menjadi kegilaan orang Sepanyol sekian lama. Mangga bernama  Ataúlfo - dan di Mexico, ia mempunyai banyak gelaran - bayi, muda, kuning, madu, Adaulfo, Adolfo atau  Champagne - sebagai bukti populariti mangga ini di sana, adalah berketurunan Carabao.

Baka asal Carabao ini telah dipaksa belayar oleh Sepanyol menaiki kapal  Manila Galleons menyeberangi lautan  Pacific sejak abad ke 16 lagi. Manila Galleons adalah nama bagi pelayaran kapal dagang Sepanyol dari Acapulco ke Manila dan patah balik sebanyak dua kali dalam setahun sepanjang   1565 hingga 1815.

Sepanyol kemudian membawa ibu mangga  Ataulfo dengan nama  Manila Mango atau Manilita  ke Mexico pada tahun  1779 dan dikembang biak di sana. Dari  Mexico, ia menjejak kaki ke Amerika dan dipilih sebagai tanaman hiasan halaman rumah kerana saiz pokoknya kecil dan warna buahnya bila masak.

Fairchild Tropical Botanic Garden's 2010 International Mango Festival di  Miami, Florida telah memilih mangga ini sebagai tanaman hiasan taman pilihan. Saya sengaja menyebutkan ini semua untuk menunjukkan keluasan spektrum isu berkaitan.

Dalam menunjukkan kebanggaan terhadap mangga mereka , Guimaras telah mengadakan Manggahan Festival setiap tahun dengan sambutan menggalakkan dan Guimaras sampai digelar sebagai Bandaraya Mangga atau Mango City.

Hari ini, Filipina menduduki tempat keenam tertinggi dalam jumlah eksport mangga dan keluaran mangga dengan nilai keseluruhan sebanyak  USD 41 jua.

73 % pengeluar mangga Filipina adalah pekebun kecil sahaja dengan keluasan kebun di bawah 3 ha.  Kebun berkeluasan  3  hingga  9.99 ha pula menyumbang 24% dari keluasan keseluruhan kebun mangga.

Ini menunjukkan ekonomi mangga boleh diusahakan oleh petani kecil.
Mangga membantu menjana ekonimi kepada 2,5 juta petani Filipinan. Angka yang signifikan.

Dalam rangka ekonomi masa hadapan mangga, mungkin  pengumuman penemuan The National Mango Board of Orlando, Florida, bahawa mangga mampu melawan sel  kanser paru-paru,   leukemia,  prostate dan lebih berkesan untuk melawan sel kanser payu dara dan   colon, akan melonjakkan lagi permintaan mangga.

Saya memulakan tulisan ini pagi ini selepas saya selesai ‘berbual mesra’ dengan Himsagar, Chaunsa, Banganapali, Langra dan Dehseri dalam taman kecil saya. Meniru usaha Penida Moselina Malabed dari Zambales.

Satu-satunya keturunan Carabao yang saya ada hanyalah Davao. Dikirim oleh rakan dari Manila. Ditanam bersebelahan Sien Ta Lone dari Myanmar.

Mana satu lebih lazat?

Mungkinkah satu hari di Kuala Lumpur, akan diadakan pertandingan mangga terlazat dunia?

Untuk menentukan mangga mana sebenarnya Raja Mangga Dunia?

HUSAM MUSA
Jumaat, 12 April 2019.

No comments: