Kenyataan Akhbar: Setiap Perjalanan Pasti Berakhir, dan bertemu Permulaan Baharu
Tanggal 9 Mei 2018 telah menyaksikan arus perubahan berlaku.
Peralihan kerajaan di peringkat pusat secara aman yang memperlihatkan perubahan parti pemerintah, dan membuktikan peri pentingnya proses peluasan ruang demokrasi.
Dalam memastikan penyempurnaan agenda reformasi yang telah dipersetujui bersama oleh Pakatan Harapan, rakyat dan kesemua pemegang taruh wajib menyambut dengan bersuara dan memberi kritikan membina untuk memastikan agenda reformasi terlaksana dengan jayanya, termasuklah meneruskan polisi dan program oleh kerajaan terdahulu demi manfaat rakyat.
Susur galur perjalanan politik saya telah bermula sejak 1998, 20 tahun lalu - selaku aktivis dan seterusnya terlibat secara langsung sebagai sebahagian daripada pimpinan pusat dalam Parti Keadilan Rakyat yang saya kasihi. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada seluruh akar umbi KEADILAN yang memberikan saya ruang dan peluang untuk berkhidmat buat kalian.
Dalam lapangan ini, terdapat beberapa prinsip dan idea perjuangan yang saya pegang teguh sehingga hari ini dan saya sentiasa percaya, hidup sebaiknya diteruskan dengan berpegang kepada kepercayaan dan idealisme kita. Atas dasar itu, kepercayaan itu telah menjadi batu asas kepada pengumuman hari ini.
Saya dengan ini, meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat, dan menyerahkan semula pelantikan saya sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri Pulau Pinang. Pucuk pimpinan utama telah dimaklumkan dengan keputusan ini.
Khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan sebagai penggubal polisi masih diteruskan sehingga tamat tempoh yakni pada Pilihan Raya akan datang. Saya juga akan tetap kekal sebagai ahli biasa KEADILAN.
Sukacita juga saya maklumkan yang saya juga tidak lagi akan berkhidmat untuk mana-mana jawatan di peringkat persekutuan. Untuk itu, saya serahkan kepada keputusan parti berhubung jawatan yang dilantik di peringkat syarikat di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang.
Saya kekal selaku Ahli Parlimen ‘backbencher’ yang komited dengan agenda reformasi. Saya juga serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan berkait dengan lantikan oleh parlimen sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Saya telahpun melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang setelah terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Pun demikian, saya akan tetap meneruskan kerja-kerja advokasi sebagai sebahagian daripada rakyat dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Kekesalan utama saya adalah pengumuman ini sepatutnya dilakukan lebih awal, namun ternyata ianya bukan sesuatu yang mudah untuk saya suarakan.
Kelewatan mengumumkan keputusan ini mengambil kira perkembangan politik yang sepertinya tidak berpenghujungan selama sembilan bulan, diikuti dengan pemilihan parti yang begitu sengit dan mencabar - maka ditakdirkan saat inilah masanya keputusan ini diumum.
Setelah menimbang tara segalanya, dan melihat situasi ini dalam perspektif yang lebih besar sejajar dengan di mana saya berdiri, dan pegangan saya berkaitan dengan politik, saya harus mengotakan apa yang bertakhta di dalam hati.
Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pucuk pimpinan yang saya hormati dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang saya kasihi.
*Nurul Izzah Anwar*
*17 Disember 2018*
No comments:
Post a Comment