Uji kaji "Malaysia Baharu", saya agak, akan menemui jalan buntu jika demokrat radikal atau fundamentalis demokrasi tidak berfikir dengan jernih dan tenang.
Demokrat radikal atau fundamentalis demokrasi, seperti juga radikal Islam dan kaum fundamentalis agama, selalunya "kaku" melihat sisi lain persoalan bermasyarakat.
Yang mereka lihat, apa yang "unggul" dalam idealisme yang dikejar-kejar itu tanpa mengambil kira sangat tanggapan-tanggapan orang lain di sekeliling mereka.
Dalam mana-mana masyarakat, dalam mana-mana perubahan, akan sentiasa ada golongan radikal dan fundamentalis. Ibarat perdebatan Edmund Burke dengan Thomas Paine terhadap Revolusi Perancis 1789 walau sama-sama suka kemerdekaan Amerika Syarikat.
Burke, walau mati 1797, sudah meramalkan kacau-bilau yang datang dari nafsu Jacobinisme revolusi tersebut, yang melahirkan Napoleon Bonaparte dan perang di serata Eropah.
Orang sekarang mengenali Burke sebagai pembaharu konservatif, yang mengutama tradisi dan institusi masyarakat, pendukung perubahan secara perlahan-lahan. Sementara Paine lebih radikal dalam dukungannya pada perubahan dua revolusi itu.
Dalam hal ini, Burke ternyata lebih tepat menolak kegelojohan perubahan. Mungkin golongan konservatif lebih berupaya meneliti persekitarannya berbanding liberal --- macam kajian ahli psikologi sosial, profesor Jonathan Haidt.
Kajian juga menunjukkan mereka yang sikap politiknya ekstrem cenderung tidak dapat melihat kesilapan diri sendiri. Sama ada ekstrem liberal atau ekstrem konservatif, mereka tidak boleh menilai diri kerana terlalu yakin.
Mungkin kita sebut ini dengan ungkapan mudah, "paradigm paralysis", kekakuan melihat sisi-sisi lain persoalan kerana terjerat dalam satu kerangka berfikir yang difahami dengan selesa, oleh itu dipegang kuat-kuat.
[ii]
Dalam masyarakat kita saat ini, sama ada penyokong PH atau sekadar pemerhati yang berharap perubahan bermakna, kita akan perasan kecenderungan demokrat radikal atau fundamentalis demokrasi.
Mereka mengimpikan perubahan disegerakan, dunia yang tempang pada era BN dulu, mahu dibetulkan sesegera mungkin tanpa menyedari risiko penolakan meluas susulan kebimbangan orang ramai, lalu menggagalkan hasrat perubahan tersebut.
Namun mereka perasan mereka sudah berjuang dengan gigih, bersuara dengan lantang dan tegas, tidak seperti orang lain yang "masih bertolak ansur" dengan kekuatan lama yang konservatif dan mengongkong.
Bagi si radikal dan sang fundamentalis ini, jalan ke depan hanya "satu dan lurus" seolah-olah manusia ini hanya ketulan-ketulan objek yang tidak berfikir dan tidak berperasaan.
Seolah-olahnya manusia itu semuanya rasional, jujur tanpa kepentingan, dan psikologi mereka stabil berdepan suasana baru dan tidak menentu selepas perubahan besar 9 Mei lalu.
Tetapi ... dalam sejarah perubahan negara dan sejarah perkembangan demokrasi, perubahan tidak bergerak lurus. Malah cita-cita demokrasi tidak selalu membuahkan hasil demokratik.
Sebaliknya jalan autokrasi, dengan kestabilan institusi, boleh menghasilkan kemajuan ekonomi lebih baik jika kedaulatan undang-undang dan hak asasi sudah ada dalam sistem buruk itu.
[iii]
Kalau menurut kajian Francis Fukuyama, demokrasi melulu tidak selalunya baik. Demokrasi tidak muncul sendirian dan kaku, macam acuan kuih yang pasti membentuk adunan. Apa jenis adunan kuih, acuan itu dengan pasti memberi bekasnya.
Demokrasi bukan macam acuan kuih. Demokrasi akan berinteraksi dengan nilai-nilai setempat, nilai konservatif yang berakar umbi dalam masyarakat selama ini.
Misalnya di Malaysia, politik kaum yang mewarnai bahasa politik negara kita, ia bukan baru muncul sejak 1957 tetapi jauh lebih awal lagi. Politik ini bukan muncul tanpa sebab.
Nilai agama dan kaum, yang bercantum dengan ekonomi dan budaya, pasti memberi bekas yang kuat apabila acuan demokrasi lama itu mahu diubah bagi proses pendemokrasian yang lebih terbuka dan "sama rata".
Dalam ungkapan akademik, pengkaji masyarakat sivil menyebutnya "modal masyarakat", social capital.
Macam kajian klasik Robert Putnam di Itali, kenapa utara negara itu boleh maju berbanding masyarakat di selatan. Banyak kajian sebenarnya boleh dikaji tentang hal ini. Ia bukan baru seperti buku Fukuyama malah banyak kajian dalam tempoh 20-30 tahun lalu lagi.
[iv]
Menurut Fukuyama lagi, negara perlukan institusi yang baik untuk membina budaya demokrasi yang boleh menggerakkan kemajuan ekonomi.
Negara yang lemah institusi tetapi ingin segera memilih jalan demokrasi seperti Britain atau Amerika Syarikat akan cenderung mementingkan puak-puak politik kerajaan dalam birokrasi (macam BN dulu, dan kini mula dihayati oleh PH).
Akibatnya demokrasinya lambat maju sehingga reformasi institusi dilakukan untuk membina birokrasi yang profesional, bebas pengaruh payung politik (political patronage) elit berkuasa.
Jerman, walau asalnya tidak demokratik tetapi ada institusi yang kuat, lebih cepat kemajuan ekonomi sehingga berjaya mengatasi Britain, negara pencetus Revolusi Industri.
Jerman waktu itu disebut mengamalkan model "liberal autocracy". Tetapi apabila demokrasi diterapkan kemudian, khususnya selepas dua Perang Dunia, negara lebih cepat maju dalam model demokrasi.
[v]
Ertinya, demokrasi yang diimport masuk akan bertembung dengan nilai sedia ada. Ia pasti menentangnya, mengubah suai dan juga menerimanya.
Pastinya, tidak semua akan ditolak tetapi apakah akibat pergeseran nilai-nilai lama itu dengan usaha perubahan "Malaysia Baharu"? Apabila ia akan menguntungkan Malaysia dan hasrat perubahan itu? Atau, ia menjadi penghalang utama?
Sepanjang 15 tahun lepas, dalam tulisan-tulisan saya yang tidak seberapa, dalam perbualan-perbualan warung dengan teman-teman, saya sering menekankan perlunya memahami "modal sosial" negara ini dan bagaimana pengalaman negara-negara lain membina demokrasi mereka.
Sewaktu saya mula membaca teori "ruang awam" Jurgen Habermas atau "Islam sivil" Robert Hefner, pada 2002 hingga 2005, buku Fukuyama itu belum terbit. Begitu juga kajian sejarah James M Burns.
Tetapi kini dua karya ini dengan jelas dapat dirujuk, dan jauh lebih menyeluruh dan lebih meyakinkan kita bahawa nilai setempat akan membentuk model demokrasi kita sendiri.
Malaysia tidak akan jadi Athens, tidak akan jadi UK, Perancis Jerman, Jepun atau Amerika Syarikat. Malaysia akan membentuk demokrasi tersendiri gaya kita sendiri, "dalam acuan kita" seperti disebut dalam dokumen Wawasan 2020.
Contoh mudah "acuan kita" itu, lihat bagaimana kita memahami dan hidup sebagai orang Islam. Islam kita tidak jadi Arab Saudi, Iran, Pakistan atau Maghribi. Malah Islam kita, jika diperhatikan, tidak sepenuhnya sama dengan Indonesia.
No comments:
Post a Comment