Nasihat Raja Ali Haji (1808-1873)
Jika anakanda jadi menteri, orang berilmu anakanda hampiri
Lawan mesyuarat lawan berperi, supaya pekerjaan jadi ugahari
Hendaklah perkasa adabnya wazir, di dalam kitab sudah terukir
Hendaklah jauhkan pekerjaan mungkir, supaya jangan jadi gelincir
...
Jika anakku menjadi Qadi, hendaklah mengikut salaf yang madhi
Adil dan insaf di dalam ardi, Allah dan Rasul supaya radhi
Hendaklah mesyuarat dengan ulama’, supaya hukuman tiada cuma
Rasuah dan sorong jangan diterima, supaya tuan beroleh nama
Kitab al-Fiqih hadis dan tafsir, hendaklah telaah serta berfikir
Jauhkan tamak loba dan kikir, keraskan makruf jauhkan mungkir
....
Ayuhai segala raja menteri, serta pegawai kanan dan kiri
Hendaklah jaga ingatkan negeri, perompak penyamun kempak pencuri
Kehidupan rakyat janganlah lupa, fakir miskin hina dan papa
Janganlah sekali tuan nan alpa, akhirnya bala datang menerpa
Beberapa negeri terkena bala, sebab perbuatan kepala-kepala
Kerana perbuatan banyak yang cela, datanglah murka Allah Ta’ala
...
Nasihat ayahanda anakanda fikirkan, khianat syaitan anakanda jagakan
Orang berakal anakanda hampirkan, orang yang jahat anakanda jauhkan
Setengah orang fikir keliru, tidak mengikut pengajaran guru
Tutur dan kata haru biru, kelakuan seperti hantu pemburu
Tingkah laku tiada kelulu, perkataan kasar keluar selalu
Tidak memikirkan aib dan malu, bencilah orang hilir dan hulu
Itulah orang akalnya kurang, menyangka dirinya pandai seorang
Takbur tidak membilang orang, ke sana ke mari pergi menggarang
Setengah yang kurang akal dan bahasa, tingkah dan laku bagai raksaksa
Syarak dan adat kurang periksa, seperti harimau mengejar rusa
Ke sana ke mari langgar dan rempuh, apa yang terkena habislah roboh
Sedikit marah hendak melupuh, inilah perbuatan sangat ceroboh
Anakanda jauhkan kelakuan ini, sebab kebencian Tuhan rahmati
Jika di bawa ke sana sini, tidaklah laku satu diwani
Jika memerintah lemah dan lembut, kepada tempat barang yang patut
Orang pun banyak suka mengikut, apa kehendak tidak tersangkut
Jika memerintah dengan cemeti, dengan perkataan pasti pasti
Sekalian orang bencilah hati, tiadalah suka berbuat bakti
Inilah nasihat ayahanda nan tuan, kepada anakanda muda bangsawan
Nafsu yang jahat hendaklah lawan, supaya anakanda jangan tertawan
Inilah akhir kalam tersurat, kepada medan ilmu mesyuarat
Amalkan dia janganlah berat, supaya tertolak segala mudarat.
No comments:
Post a Comment