BESUT 24 Julai - Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang dikuasai berterusan sejak 2004, setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Keputusan yang sekali lagi dibuat oleh pengundi di Kuala Besut, di kawasan majoriti Melayu itu memberikan makna yang sangat besar bagi BN untuk kembali menstabilkan pemerintahan negeri dengan kelebihan dua kerusi DUN (17:15).
Ini bermakna menutup peluang Pas yang mengharapkan pengundi di sini memenangkannya untuk mencipta sejarah menjadikan DUN tergantung apabila jumlah kerusi dapat disamakan melalui kempen 16:16 dan memaksa pilihan raya negeri diadakan.
Calon BN, seorang profesional muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman,37, memperoleh 8,288 undi manakala pencabarnya, seorang kontraktor, Endot@ Azlan Yusof,48, atau lebih dikenali dengan Che Long memperoleh 5,696 undi yang menyaksi peningkatan majoriti daripada 2,343 kepada 2,592 manakala 125 undi rosak.
Apa yang lebih menarik BN memenangi di semua pusat daerah mengundi termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang tewas sebelum ini.
Dengan slogan Kuala Besut Bertambah Biru, BN mencatat sedikit pertambahan dari segi majoriti yang dikaitkan dengan penurunan peratus keluar mengundi daripada 87 peratus dalam pilihan raya umum (PRU) lalu kepada 80 peratus.
Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A. Rahim Jusoh, di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Majlis Daerah, Gong Gemuntong Jertih kira-kira pukul 10 malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK.
Yang turut sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil di samping Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof.
Sebanyak 16,534 pengundi termasuk 55 peratus daripadanya merupakan pengundi muda menunaikan tanggungjawab hari ini manakala Sabtu lalu, 1,148 orang terdiri daripada anggota tentera udara dan isteri mereka telah mengundi.
Namun, setelah kesemua pusat pengundi ditutup pukul 5 petang menyaksikan 13,188 pengundi atau mencecah 80 peratus keluar mengundi seperti yang dijangkakan oleh SPR.
PRK diadakan berikutan kematian Dr. A Rahman Mokhtar yang mewakili BN pada 26 Jun lalu dan semasa PRU lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas, Napisah Ismail.
Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri memperoleh 8,809 undi manakala pencabarnya 6,375 undi, 144 undi rosak.
Lapan pusat mengundi yang disediakan dan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali di SK Pulau Perhentian yang ditutup pada pukul 3 petang.
Melalui PRK ini juga, SPR memperkenalkan kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal, tidak lagi calitan di kuku seperti dalam PRU lalu bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.
PRK pernah diadakan di Kuala Besut 34 tahun lalu, juga dalam bulan Ramadan dan dimenangi calon BN.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130725/dn_01/Tambah-majoriti#ixzz2a4KhwoVw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment