PUTRAJAYA 14 Jun - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa mahu setiap ketua setiausaha kementerian (KSU), timbalan KSU, ketua pengarah (KP) serta pemimpin jabatan dan bahagian sektor awam memiliki akaun Facebook dan Twitter sendiri mulai esok.
Beliau berkata, saranan tersebut perlu bagi membolehkan pegawai atasan dan ketua jabatan menjawab setiap kritikan dan tuduhan liar yang dilemparkan oleh pihak tertentu melalui dua saluran media sosial yang popular itu.
Katanya, langkah itu merupakan peluang terbaik kepada mereka untuk lebih mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
"Kita selalu berada di pihak yang menerima kritikan dan tuduhan sedemikian dan saya percaya sudah tiba masa untuk menjawabnya dengan fakta.
"Dalam masa sama, kita juga perlu mempertahankan nama baik penjawat awam pada setiap masa dengan menggunakan dua saluran media sosial terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Interaksi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Bersama KSN, di sini hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan PTD itu turut melancarkan Tabung Khas Kebajikan Persatuan PTD.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa setiap kementerian dan jabatan kerajaan memiliki akaun Facebook dan Twitter bagi menangani kritikan awam dan mempromosikan program yang dirancang oleh mereka.
Serentak dengan saranan tersebut, Ali berkata, beliau ada mekanisme tertentu untuk memastikan setiap KSU, Timbalan KSU, KP dan pemimpin jabatan dan bahagian mematuhi i saranan tersebut "Salah satunya, mereka perlu jadi 'kawan' Facebook dan pengikut Twitter saya," katanya.
No comments:
Post a Comment