SHAH ALAM 16 Jun - Tiga daripada empat
pelajar universiti maut selepas sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki
mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di
Kilometer 14.5, Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi ini.
Dalam kemalangan pada pukul 5.15 pagi itu, pemandu, Adam Ab. Rahman
bersama Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan yang duduk di
bahagian penumpang belakang mati di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, Nurfarina Mokhtar yang duduk di sebelah pemandu bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan.
Kesemua mangsa berusia 18 tahun dan mereka baharu mendaftar masuk ke universiti dua minggu lalu.
Adam merupakan pelajar Diploma Pengajian Sukan di Kampus Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang; Ameer (pelajar asasi jurusan
perakaunan di UiTM Shah Alam), Nurul Maizura (pelajar asasi Sains
Pertanian, Universiti Putra Malaysia) dan Nurfarina (pelajar asasi
Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, UiTM Shah Alam)
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendnn Ruslan
Abdullah berkata, ketika kejadian, empat sahabat tersebut dalam
perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Shah Alam dipercayai selepas
mengunjungi taman tema i-City di sini.
Menurutnya, setiba di lokasi, kereta berwarna kuning itu dipercayai
hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
"Akibat daripada rempuhan kuat, bonet kereta yang terperosok di bawah
pembahagi jalan rosak teruk dan dinding kereta sebelah kanan terkopak
menyebabkan pemandu dan seorang penumpang wanita yang duduk di belakang
tercampak keluar.
"Dua mangsa lagi ditemui dalam kenderaan tersebut namun seorang
daripada mereka telah meninggal dunia kerana cedera parah," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Ruslan memberitahu, kesemua mangsa yang maut akibat cedera parah di
kepala dan anggota badan manakala mangsa yang cedera ringan hanya luka
serta lebam di muka.
Katanya, tiga pelajar yang maut kemudian dibawa ke Hospital Tengku
Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat manakala seorang lagi
yang cedera dirawat di hospital sama.
"Setakat ini, pihak kami sedang berusaha mengenal pasti punca sebenar
kemalangan tersebut sama ada kereta itu dipandu laju atau pemandunya
mengantuk atau cuba mengelak sesuatu objek di lokasi kejadian," katanya.
Difahamkan, kira-kira sehari sebelum kejadian, Adam dari kampus UiTM,
Jengka Pahang datang ke Selangor menaiki kereta terbabit untuk berjumpa
dengan rakan-rakannya itu yang berjaya melanjutkan pengajian di
universiti.
Empat sahabat tersebut kemudian dikatakan bersiar-siar di sekitar
Shah Alam dan selepas mengunjungi i-City di sini, mereka dipercayai mahu
ke ibu kota untuk membeli barang keperluan namun tidak kesampaian
apabila terlibat dalam kemalangan.
Adam berasal dari Muar, Johor; Ameer (Jasin, Melaka), Nurul Maizura
(Wilayah Persekutuan Labuan) dan Nurfarina (Tanah Merah, Kelantan).
No comments:
Post a Comment