Friday, September 24, 2010

Berperanan Dalam Hidup - Jangan Jadi Biawak Hidup

Manusia adalah khalifah dimukabumi, ia adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan Tuhan. Justeru, manusia seharusnya berperanan untuk memakmurkan mukabumi kerana manusia adalah pemimpin dan ketua kepada segala makhluk Tuhan yang ada dimukabumi. Justeru, manusia sewajarnya membangunkan kehidupan umat serta ikut serta mempersembahkan sebuah karya dan jasa yang sesuai dengan kemampuan kita dan bukan sebaliknya. Lebah yang mati dalam sarangnya akan dibawa dan dicampak keluar oleh lebah yang masih hidup daripada sarangnya kerana lebah yang mati tidak berperanan dalam komuniti lebah untuk produksi madunya. Pokok yang telah mati dan kering ditaman rekriasi akan ditebang kerana ia merbahayakan orang yang lalu lalang dibawahnya.

Maka adalah tidak wajar bagi seorang manusia yang cukup sifat dan sihat tidak berkerja, tidak berkarya dan tidak berperanan langsung dalam usaha membangunkan kehidupan umah yang lebih bahagia, makmur, aman dan sentosa. Seorang murid sekolah rendah kebangsaan yang enggan ke sekolah kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya wajar dirotan supaya dia mahu berdiri dan berlari menuju ke sekolah. Seorang pekerja yang malas dan suka tidor sewajarnya ditegur dan tidak dibayar upahnya supaya dia serik dan sedar terhadap kemalasannya.

Seorang Profesor atau Profesor Madya diuniversiti yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu memberikan kemanfaatan kepada orang lain, sewajarnya dihapuskan dari kamus orang yang memiliki nama dan dikenang oleh orang ramai. Ini adalah kerana dia tidak mahu berkorban dan tidak memberikan contoh yang baik kepada orang ramai dan universiti.

Seseorang dipanggil biawak hidup jika dia tidak memiliki kebaikan langsung di dalam kehidupan ini dan dianggap sebagai sampah dan panau masyarakat. Dia ialah makhluk yang paling hina dan rendah di mukabumi kerana hidup sehariannya hanya makan, minum dan tidur. Sumber motivasi yang ada dalam dirinya telah kering dan tidak mengeluarkan air lagi, lembah kebaikan yang ada dalam dirinya sudah gersang kekontangan, justeru kewujudannya berhak dianggap tidak berwujud kerana dia tidak memberikan manfaat kepada orang lain. Mereka menjadi penyumbang utama kepada kenaikan harga barang dan inflasi kerana menghabiskan makanan tetapi tenaga yang terhasil daripada makanan tersebut tidak mereka gunakan untuk kebahagiaan dan kebaikan ummah. Justeru, janganlah kita menjadi biawak hidup. Jadi maunia yang memberi manfaat kepada tuhan, manusia dan bangsa.


No comments: