Tuesday, October 14, 2008

Jadilah Mahasiswa dan Mahasiswi UiTM Yang Budiman..!

Mahasiswa budiman ialah mahasiswa yang mempunyai budi pekerti yang mulia, bersifat sopan santun, sentiasa menghormati pensyarah, selalu menghargai rakan seperjuangan, sering membantu rakan yang kesusahan, suka menolong orang yang memerlukan, sentiasa berbaik sangka dengan semua rakan seperjuangan, pensyarah dan kakitangan universiti dan mempunyai hati yang bersih dan jernih. Mahasiswa yang budiman ialah mahasiswa yang selalu memberi manfaat kepada orang lain dan memberi faedah kepada universiti, ibubapa, keluarga dan persekitaran.

Jika sekarang anda telah mempunyai CGPA yang baik, sesungguhnya itu bukanlah hasil usaha anda seorang, ia juga adalah berkat hasil usaha pensyarah anda, guru-guru anda semasa bersekolah dulu, ayahanda, bonda, rakan-rakan seperjuangan anda di universiti dan persekitaran pembelajaran dan pengajaran di universiti dan pelbagai lagi faktor lain.

Justeru itu, kejayaan yang saudara kecapi pada hari ini adalah juga hasil daripada pengorbanan orang-orang yang berada disekeliling saudara, oleh yang demikian maka sewajarnyalah anda sentiasa membantu sesama insan dan menjadi mahasiswa yang budiman. Bantulah rakan-rakan anda yang CGPA nya lebih rendah daripada anda dalam pelajaran. Jadilah seperti semut yang saling bantu membantu untuk menjayakan kesinambungan sebuah kehidupan bangsanya.

Yakinlah, bahawa Allah S.W.T akan selalu menolong hambaNya sepanjang seorang hambaNya itu gemar menolong orang lain, sifat suka tolong menolong sesama insan akan menjadikan rezeki anda melimpah ruah, sebaik-baik pemberian adalah yang ditunaikan sebelum ada permintaan. Hari ini anda menolong orang lain, esok orang lain akan menolong anda. Ia akan menyemaikan tali persaudaraan dan membuahkan jalinan persahabatan. Kesimpulannya, jadilah mahasiswa yang BUDIMAN kerana disebalik sifat BUDIMAN tersebut tersembunyi rahmat Allah S.W.T yang infiniti.

No comments: