Saudara dan saudari telah berada dilandasan yang betul bila saudara/i mengambil keputusan memohon untuk melanjutkan pelajaran di UiTM suatu masa dahulu, kini, saudara dan saudari telah pun bergelar mahasiswa atau mahasiswi UiTM. Kalian telah berada dalam kancah pergelutan menimba ilmu pengetahuan. Disini, di UiTM anda telah dan akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan dan latihan disepanjang melalui tempoh pengajaran dan pembelajaran dalam kursus yang anda ikuti. Semua bidang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM melalui 24 buah fakultinya adalah fardhu kifayah. UiTM mengharapkan anda boleh dan berupaya menguasai bidang yang anda pelajari dan ceburi, seterusnya menjadi pemimpin yang menerajui bidang pengajian yang anda ikuti atau ceburi.
Objektif utama anda menjadi mahasiswa UiTM adalah untuk menuntut ilmu dan menjadi mahasiswa yang berjaya dalam bidang yang anda ikuti, justeru itu, tanamkanlah dalam diri anda sifat menyintai ilmu pengetahuan. UiTM mahu anda menjadi mahasiswa yang boleh BERFIKIR dan memahami sesuatu yang tersurat dan tersirat disebalik pemahaman sesuatu ilmu, UiTM mendidik anda supaya mampu menganalisa data dan maklumat untuk membuat keputusan yang tepat dan betul, menilai fakta bagi memantapkan hujah dan menghuraikan formula menjadi persamaan-persamaan yang boleh dileraikan, menyepadukan teori dan praktikal menjadi modus operandi. UiTM mahu anda memahami bahawa rahsia disebalik penemuan sesuatu ilmu pengetahuan itu tersembunyi sifat Rahman dan Rahim Allah S.W.T. Justeru itu, jadilah mahasiswa yang menyintai ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment